Monday, February 28, 2011

Pencuri tahi bijih pecah lantai


BEGINILAH keadaan lantai sebuah rumah yang dikorek oleh pencuri tahi bijih di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Pencuri tahi bijih timah semakin naik tocang!

Jika dahulu, mereka mengorek kawasan tanah secara curi-curi kini mereka sanggup memecahkan lantai tiga buah rumah di Kampung Makam, Sungai Pinang.

Ia semakin menjadi-jadi sejak dua bulan lalu dan kegiatan itu menyebabkan penduduk berhampiran tempat tersebut bimbang ia merebak ke sekitar kawasan rumah mereka jika perkara berkenaan terus dibiarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Makam, Muhammad Imran Mohd Saad berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan mahu tindakan tegas daripada pihak berkuasa berkenaan.

“Kami sudah membuat dua laporan kepada pihak berkuasa mengenai tindakan pencuri tahi bijih timah ini termasuk memecah dan merosakkan tiga buah rumah kosong pada 15 Januari lalu,” ujarnya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi kejadian mendapati, terdapat lima deretan rumah kosong dua tingkat di situ manakala tiga daripadanya telah dimasaki penceroboh yang mengorek tanah di situ bagi mendapatkan tahi bijih timah atau nama saintifiknya tantalum menggunakan cangkul dan tukul besi pada waktu malam.

Malah, terdapat dua lubang sedalam dua meter dikorek di bahagian ruang tamu setiap rumah kosong itu yang kawasannya dipercayai sebahagian bekas lombong bijih sekitar tahun 1930-an.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: