HAMPIR separuh abad jiwanya menyusuri pentas penuh warna, melangkaui ranjau berkelana menjunjung sandaran anak seni. Anita Sarawak masih belum ketemu titik pengakhirannya.
Jauh sekali mengenal erti puas dan bosan, bintang ini tidak henti memberikan yang terbaik dalam setiap inci perjuangannya sebagai penghibur.
Lama tidak ketemu, bicaranya masih sama, personaliti kekal menyenangkan, itulah pesona sinonimnya. Senyuman meleret tidak lekang menyempurnakan tutur, Anita mencuri ruang berkongsi rasa yang tidak pernah diterjemah.
Hakikatnya, anak kelahiran Singapura ini bagai cermin kepada simbolik sebuah kebahagiaan. Tidak lekang mengucap sayang, mengusik sesiapa yang perasan kelibatnya dan celotehnya penuh jujur, Anita berkali-kali memanjat syukur dikurniakan kesempurnaan menggapai impian yang lama disimpan.
“Sekelip mata 46 tahun itu berlalu pergi. Selama itu Kak Nita mengutip pengalaman yang mustahil diungkap satu persatu, sejuta kemanisan dan sebanyak itu juga rasa pahit menghimpit.“Namun itulah semangat serta kekuatan yang terus memimpin Kak Nita hingga ke saat ini. Siapa sangka, bakat kurniaan ini masih kuat dan terus mengalirkan keajaibannya buat Kak Nita.
“Jika ingin ditanya soal penat dan bosan, tipu jika Kak Nita katakan tiada. Namun usah dibebankan dengan perasaan itu. Memang pernah wujud rasa itu tatkala terlalu letih menentang cabaran terutama ketika merempuh usia muda dulu.
“Namun tanya semula pada hati sendiri, apa lagi yang bisa dilakukan jika tidak mahu terus berdepan liku. Kak Nita gagahkan diri dan pandang ke depan bagi menghentikan rasa itu daripada terus mengganggu.
“Malah pernah sekali rasa ingin berundur itu datang menghantui ketika munculnya Mahathir Abdullah 11 tahun lalu. Ketika itu Kak Nita hanya ingin bersama abang Mahathir dan menoktahkan perjalanan seni. Namun abang Mahathir yang menyokong untuk tidak berbuat demikian. Jelasnya, tiada alasan untuk Kak Nita berhenti,” katanya.
Mengecapi kegemilangan tanpa henti sejak kecil, dilahirkan daripada darah seni ibunya, primadona terkenal filem Melayu Klasik, Siput Sarawak dan Datuk S Roomai Noor (Allahyarham), kemudian terbang jauh memperdagangkan bakat di bumi Uncle Sam di Las Vegas selama 20 tahun sebelum kembali ke Malaysia mengukuhkan namanya 10 tahun lalu, Anita terlalu tinggi darjatnya sebagai anak seni.
Ribuan peminat yang sentiasa dahagakan persembahan hebatnya, berkilau di bawah limpahan publisiti dan populariti, Anita masih relevan meskipun menjengah usia 59 tahun.
Mulanya teragak-agak untuk ditanya, namun kemesraannya tidak mengundang rasa gusar untuk mencari kepastian. Adakah usianya yang kian meningkat menimbulkan rasa bimbang buatnya. Bukan sekadar makin tumpul pesona yang ada, malah risau juga usianya menjadi penghalang buatnya terus berjuang.
Penyanyi yang memiliki profil penghibur antarabangsa ini tidak sesekali tersentap, sebaliknya menyusun kata seraya ketawa berdekah.
“Memang ada rasa risau akan usia yang meningkat dan perasaan bercelaru kerana akan hilang peminat atau mereka yang menyokong.
“Namun rasa itu berlaku ketika Kak Nita berusia 29 tahun yang takut menjengah 30 tahun dan ketika berusia 39 tahun yang begitu menyakitkan kerana bakal beralih angka 40 tahun.
“Ketika itu memang berkecamuk dengan rasa bimbang. Namun itulah manisnya orang muda dan indahnya saat ketika masih segar.
“Namun selepas melaluinya dengan rasa ‘terpaksa’, Kak Nita mula memandang dengan matang dan optimis. Usia hanya angka dan bukan teori menentukan tahap kemampuan seseorang.
“Biarkan sejauh mana Kak Nita melangkah, perjuangan itu tidak berakhir. Mungkin apa yang berubah adalah mentaliti dan persepsi realistik.
“Perspektif hala tuju kerjaya itu tidak lagi sama. Tidak lagi menyanyi dan terus menghiburkan peminat bagi menampung kehidupan atau tanggungjawab kepada fitrah, sebaliknya Kak Nita ingin melihat pula pada aspek lain yang boleh digunakan dengan bakat kurniaan Tuhan ini.
“Pengaruh dan status yang ada Kak Nita gunakan untuk membantu meringankan bebanan orang sekeliling pula. Kak Nita ingin terus berjuang pada bakat ini untuk visi yang jauh lebih murni. Ini saja yang termampu dan jangan sesekali mempersoalkannya,” katanya.
Merentas segala kegemilangan bertahun-tahun lamanya, penghibur bertenaga ini tidak menyangkal akan lumrah alam yang memimpinnya jauh meninggalkan zaman mudanya.
Malah Anita cuba untuk tidak sibuk memikirkan soal tua kerana buatnya, hidup sebagai penghibur hanya perlu meletak fokus kepada seni dan peminat yang tidak jemu menyokong.
Memerhati busana, personaliti dan pesona yang melekat padanya, persepsi kononnya Anita seorang yang mewah dan mahal bagai menjadi stigma yang sukar dikikis.
Namun tidak pada mereka yang sering bekerjasama dengannya - pengamal media dan pihak pengurusannya. Anita dianggap sederhana, pemurah, penyayang dan cukup rendah diri. Anita wanita yang penuh kasih sayang di dada.
Memiliki hampir semua yang diidamkan wanita, Anita lengkap sempurna. Namun jika ia dilontar kepadanya, bingkas si pelantun Asmara, Bawalah Daku Pergi dan Seksis ini menolak sekeras-kerasnya tanggapan itu. Di sebalik senyumannya itu, tersembunyi satu hasrat yang masih gigih dikejar.
“Istilah sempurna terlalu besar ertinya. Pada mata kasar, benar ramai beranggapan begitu, namun hakikatnya Kak Nita masih terlalu banyak ruang bagi memperbaiki mana yang perlu. Segala-galanya ada ketentuan dan rezeki yang diberikan. Kak Nita terima dan sentiasa reda dalam apa saja yang tersurat.
“Sesuatu yang sukar disangkal adalah ketrampilan dan imej mewah yang ada pada Kak Nita. Jujurnya itu semua bukan realistik. Kak Nita bersederhana dalam apa saja dilakukan. Sebenarnya jika ada persepsi begitu, ia hanya andaian semata-mata.
“Yang menjadi kiblat buat Kak Nita sekarang adalah impian bagi menubuhkan satu organisasi kerja amal. Kak Nita ada terbabit dalam beberapa kempen kesedaran atau kerja-kerja amal, namun semuanya tidak rasmi dan dilakukan secara peribadi. Itu adalah sesuatu yang memang ingin dilakukan Kak Nita bersama suami.
“Tatkala Kak Nita sibuk ingin mengundurkan diri kira-kira 11 tahun lalu, itu juga pesanan dan semangat daripada suami buat Kak Nita supaya terus berdiri sebagai penghibur untuk tujuan berbeza, iaitu membantu mereka yang memerlukan menggunakan jenama yang ada.
“Sebagai selebriti, ini adalah kelebihan yang ada buat Kak Nita untuk membantu. Mungkin ini saja alternatif yang mampu menggembirakan Kak Nita hingga ke akhir hayat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: