Sunday, February 27, 2011

Mahu ubah persepsi

BAKAT MUDA... antara remaja Orang Asli yang terbabit dalam klinik bola sepak anjuran YE.
BAKAT MUDA... antara remaja Orang Asli yang terbabit dalam klinik bola sepak anjuran YE.

SEJAK kemenangan pasukan bola sepak negara dalam kejohanan Piala Suzuki AFF 2010, kesuraman bola sepak negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagaikan meniti zaman kebangkitan semula.

Kecemerlangan gabungan skuad senior dan Bawah 23 tahun pasukan negara terus meniti di bibir peminat sukan bola sepak, namun ia bukan tercipta dalam sekelip mata.

  • Foto

    BERJAYA...Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad (MK Land) dan Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal menyampaikan piala kepada remaja Orang Asli yang terbabit dengan kejohanan bola sepak bawah umur kelolaan YE.

  • Foto

    SEMANGAT...pasukan remaja daripada Akademi Bola Sepak Desa Temuan.

  • Foto

    MENARIK...aksi pemain dalam satu perlawanan.

  • Foto

    TUNJUK AJAR...Rajagobal memberi nasihat kepada (dari kiri) Saharul, Visan, Firiszuan, Razif dan Imran.

Ia membabitkan komitmen besar, terutama dalam mencari bakat muda dalam negara yang diasah bagi menggalas tugas mengangkat semula martabat bola sepak negara.

Atas kesedaran itu juga, Yayasan Emkay (YE) yang diterajui syarikat gergasi negara, Kumpulan Emkay, mengambil inisiatif mencungkil bakat baru dalam sukan bola sepak negara melalui beberapa klinik bola sepak di peringkat kebangsaan.


Terbaru, YE mengambil langkah positif dalam usaha pencarian bakat muda ini dengan memilih remaja di kalangan Orang Asli yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih besar, sama ada di peringkat kelab, negeri mahupun negara.Klinik bola yang dijalankan secara bersepadu itu membabitkan tujuh perkampungan Orang Asli di Belum, Temenggor, Hulu Perak, tidak termasuk Desa Temuan, Petaling Jaya, Selangor.


Klinik terbabit dikendalikan bekas pemain bola sepak Selangor, Michael Palani. Lebih menarik perhatian, klinik bola sepak ini anjuran YE turut mendapat sentuhan dan nasihat ketua jurulatih pasukan kebangsaan, K Rajagobal.

Hasilnya, baru-baru ini lima remaja Orang Asli iaitu Firiszuan Sabri, Saharul Dhalan, Visan Longo, Razif Rajan dan Imran Ghazali, masing-masing berusia 15 tahun, terpilih menyertai latihan skuad bola sepak remaja kelolaan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ketika ditemui pada kejohanan Piala Yayasan Emkay di Desa Temuan, Damansara Perdana, baru-baru ini, ternyata remaja terbabit teruja diberi peluang menyertai skuad remaja kendalian FAS itu.

Bagi mereka, ia batu loncatan untuk mempertingkatkan kemahiran dan prestasi permainan dalam bola sepak.

Imran yang bermain di posisi penyerang berkata, dia tidak mahu mensia-siakan peluang bermain dengan skuad remaja FAS bagi mencerahkan masa depannya dalam dunia bola sepak.

Anak jati Orang Asli kelahiran Desa Temuan ini menyimpan impian menggunung untuk mewakili skuad senior Selangor.

"Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya mahu mencipta nama dalam sukan ini, jadi sekarang terpulang kepada saya untuk membuktikannya.

"Mungkin ramai beranggapan anak Orang Asli jauh ketinggalan dengan remaja di bandar, oleh itu tiba masanya untuk mengubah persepsi ini," katanya.

Gandingan Imran di posisi depan, Razif turut menyatakan minat untuk berjaya dalam sukan ini, namun menganggap pemilihan menyertai skuad remaja FAS sebagai permulaan.

"Bukan mudah untuk saya, cabaran rakan lain sangat hebat. Saya tidak boleh main-main jika ingin berjaya.

"Saya ingin buktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya dan menjadi pemain bola sepak disegani," katanya yang menjadikan penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali yang kini bermain dengan Pelita Jaya FC di Indonesia sebagai pemain pujaannya.

Sementara itu, Visan yang tiga tahun bersama YE berkata, kini bertambah ramai remaja Orang Asli terbabit secara langsung dengan program pembangunan bola sepak remaja.

"Ia memang bagus untuk kami. Dulu, rakan saya (remaja Orang Asli) hanya duduk di kampung dan tidak terdedah dengan dunia bola sepak luar.

"Mereka hanya bermain untuk suka-suka, tetapi sekarang kami sedar boleh pergi jauh dalam sukan ini jika ada bakat," katanya.

Kelima-lima remaja Orang Asli yang terpilih menyertai pasukan remaja FAS berasal dari Desa Temuan di Petaling Jaya, Selangor. Mereka bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara dan menyertai klinik kendalian YE sejak tiga tahun lalu.


APA KATA K RAJAGOBAL

"KETIKA menyaksikan aksi remaja Orang Asli dalam klinik bola sepak anjuran YE, saya terkejut dengan kebolehan mereka bermain bola.

Daripada segi pengawalan bola dan keputusan membuat hantaran bola, mereka memang bagus. Ramai yang berbakat dan mereka perlu diberi pendedahan lanjut.

Lima pemain remaja yang terpilih menyertai skuad remaja FAS perlu digilap sebaik-baiknya. Ini adalah permulaan buat mereka, mereka boleh pergi lebih jauh jika diasah betul-betul.

Saya sebenarnya tertarik dengan pendekatan (klinik bola sepak Orang Asli) ini, meskipun negara sudah lama menjalankan program bola sepak bawah umur. Ini kerana, melalui inisiatif tertentu seperti mendekati remaja Orang Asli, pembangunan bola sepak remaja negara kelihatan lebih menyeluruh.

Di kalangan Orang Asli, saya dapati bukan saja remajanya, malah pemain senior mereka juga berpotensi dibawa bermain dengan kelab mahupun negeri.

Sebab itu, perlu ada pendedahan supaya bakat mereka tidak disia-siakan. Terpulang kepada persatuan bola sepak negeri untuk mengambil langkah selanjutnya.

Apapun, saya memuji usaha YE mengadakan klinik bola sepak di kalangan Orang Asli, terutama membabitkan perkampungan tertentu yang jauh dari masyarakat luar.

Pembangunan sukan melalui klinik bola sepak remaja sebenarnya satu platform besar dalam membangunkan bola sepak negara.

Jangan anggap enteng kerana inilah formula paling berkesan bagi memajukan bola sepak negara, sebagaimana ia sudah lama dijalankan di negara luar," kata Rajagobal.



INFO
> Klinik bola sepak anjuran Yayasan Emkay adalah satu program kemasyarakatan yang bertujuan mengetengahkan bakat di kalangan remaja Orang Asli dalam pembangunan bola sepak negara
> Klinik ini dijayakan menerusi penyeliaan bersama Akademi Bola Sepak Desa Temuan dan Kompleks Hutan Belum-Temenggor, Hulu Perak
> Di Hutan Belum Temenggor, klinik bola sepak dijayakan di tujuh perkampungan Orang Asli, antaranya Kampung Sungai Tiang, Semelor, Sungai Kejar, Sungai Chiong, Desa Damai, Desa Permai dan Sungai Raba
> Remaja yang dikenal pasti berbakat dalam sukan bola sepak akan digarapkan untuk menyertai kelab, negeri dan negara
> Klinik ini dikendalikan oleh Michael Palani, bekas pemain bola sepak Selangor dan turut mendapat nasihat daripada ketua jurulatih pasukan kebangsaan, K Rajagobal
> Hampir tiga tahun mengadakan klinik bola sepak, Yayasan Emkay berjaya mengetengahkan lima remaja Orang Asli iaitu Firiszuan Sabri, Saharul Dhalan, Visan Longo, Razif Rajan dan Imran Ghazali, masing-masing berusia 15 tahun, menyertai latihan bersama skuad bola sepak remaja kelolaan Persatuan Bola Sepak Selangor



PROFIL

NAMA: Firiszuan Sabri
UMUR: 15 tahun
ASAL: Desa Temuan, Petaling Jaya
POSISI: Pertahanan
KOMEN: "Saya gemuruh tetapi gembira terpilih menyertai FAS. Bukan mudah untuk terus kekal dalam pasukan (remaja) ini, tetapi saya yakin mampu pergi jauh"

NAMA: Saharul Dhalan
UMUR: 15 tahun
ASAL: Desa Temuan, Petaling Jaya
POSISI: Pertahanan
KOMEN: "Banyak perkara yang saya pelajari sejak menyertai klinik bola sepak YE. Tidak mudah untuk dipilih dalam pasukan, jadi saya tidak akan lepaskan peluang diberi"

NAMA: Visan Longo
UMUR: 15 tahun
ASAL: Desa Temuan, Petaling Jaya
POSISI: Tengah
KOMEN: "Jarang remaja Orang Asli berjaya dalam sukan bola sepak, oleh itu saya dan rakan mahu menjadi contoh kepada rakan lain. Bersama FAS, saya yakin dapat tingkatkan prestasi"

NAMA: Razif Rajan
UMUR: 15 tahun
ASAL: Desa Temuan, Petaling Jaya
POSISI: Penyerang
KOMEN: "Saya tidak akan mengalah meskipun sedar bukan mudah untuk terus kekal dalam pasukan. Bagaimanapun, saya anggap itu satu cabaran untuk berjaya"

NAMA: Imran Ghazali
UMUR: 15 tahun
ASAL: Desa Temuan, Petaling Jaya
POSISI: Penyerang
KOMEN: "Saya ingin bermain dengan pasukan Selangor, saya jadikan pemilihan dalam skuad remaja FAS sebagai titik permulaan"

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: