Monday, February 28, 2011

Utamakan penyelenggaraan elak musibah




Penyelenggaraan secara berkala amat penting untuk memastikan bangunan sekolah dan kuarters kediaman guru sentiasa selamat untuk diduduki.

Lazimnya, aspek penyelenggaraan dan baik pulih hanya dilakukan apabila pentadbir sekolah atau penghuni kuarters mengesan kerosakan fizikal yang mencolok mata seperti pintu atau tingkap pecah, tandas tersumbat dan rekahan pada bangunan.

Malangnya ada juga kerosakan yang terbiar tidak diselenggara walaupun kerosakan telah dilaporkan. Salah siapa?

Menuding jari memang mudah tetapi sebaiknya adalah mencari jalan penyelesaian untuk keselamatan dan keselesaan bersama.

Sebagai contoh, tangki air bocor atau lantai marmar pecah di kuarters guru tidak dibaik pulih kerana berlaku tarik-tali antara penghuni dan pemilik premis.

Kedua-dua pihak tidak mahu bertanggungjawab untuk memperbaikinya. Sepatutnya Kementerian Pelajaran selaku pemilik perlu bertanggungjawab dengan mengarahkan kontraktor yang diberi tender membina bangunan itu untuk membaiki segala kerosakan sekiranya ia masih dalam tempoh jaminan.

Jika tempoh itu telah tamat, maka satu mekanisme lain perlu dilaksanakan. Apa pun penghuni kuarters iaitu guru tidak boleh dibebankan untuk membaikinya kerana mereka adalah penyewa. Secara teknikalnya, mereka membayar sewa melalui potongan elaun perumahan dan sebahagian daripada elaun COLA.

Selain itu, aspek penyelenggaraan yang lebih penting dan perlu diberi perhatian ialah pendawaian wayar elektrik dan kawalan serangga perosak.

Mengikut piawaian standard antarabangsa, pendawaian dalam bangunan yang melebihi 15 tahun perlu diperiksa atau dibuat semula.

Hal ini kerana ia berisiko tinggi untuk berlaku lintar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran. Pastinya bila ini terjadi, nasi sudah menjadi bubur.

Begitu juga dalam bab mengawal ancaman serangga perosak khususnya anai-anai. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana natijahnya parah.

Serangga kecil ini boleh menyebabkan bumbung dan siling runtuh. Bayangkan jika ia berlaku ketika anak-anak kita sedang tekun mengikuti pelajaran di dalam bilik darjah. Aduh, sungguh memilukan!

Sebelum musibah ini berlaku, Kementerian Pelajaran perlu proaktif untuk membuat langkah-langkah pencegahan.

Bagaimanapun, keutamaan harus diberi kepada 600 buah sekolah yang berada dalam keadaan amat daif dan hampir sujud ke bumi seperti yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sarawak, baru-baru ini.

Semua sekolah ini telah dalam pengetahuan Kementerian Pelajaran dan tindakan untuk membaik pulih atau membina semula sedang dirancang serta akan segera dilaksanakan termasuk dengan menggunakan pembiayaan pihak swasta jika perlu.

Apa yang membimbangkan adalah keadaan di sekolah-sekolah lain yang telah berusia lebih 15 tahun. Walaupun nampak kukuh fizikalnya, dikhuatiri tanpa penyelenggaraan yang sempurna akan menyebabkan kejadian tidak diingini.

Kebimbangan ini berasas. Sedikit masa dahulu, ada bangunan makmal komputer sekolah runtuh sebelum sempat digunakan.

Malah baru-baru ini, dilaporkan ada sekolah baru yang dibina melibatkan kos jutaan ringgit dan belum pun satu dekad usianya telah berlaku keretakan pada struktur bangunannya.

Keadaan ini amat mendukacitakan dan perlu perhatian serius. Sewajarnya satu kajian dibuat agar penambahbaikan dapat dilakukan untuk pembinaan sekolah dan kuarters guru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Dalam konteks ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyarankan supaya bangunan sekolah dibuat secara lebih teliti dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan bagi mengelak berlakunya masalah seperti retakan kepada struktur bangunan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: