KEMUNCULAN kumpulan boy band, The Wanted ke pasaran tempatan ternyata mengundang reaksi positif di kalangan peminat mereka di negara ini.
Manakan tidak, pada persembahan yang diadakan Ahad lalu di Laundry Bar, The Curve, The Wanted disambut baik dengan kehadiran penonton yang agak ramai sehingga memenuhi ruang legar tempat tersebut.
Mendengar muzik nyanyian kumpulan daripada Britain-Irish itu, mereka bukan membawakan muzik boy band yang biasa kita dengar seperti Back Street Boys, 911, Westlife, Boyzone mahupun N’Sync.
Mereka juga bukanlah sebuah kumpulan yang perlu mempunyai penampilan mengenakan pakaian yang sedondon setiap kali melakukan persembahan.
“Kami tak mahu menonjolkan gaya-gaya boy band yang biasa dilihat umum. Setiap kami memiliki karakter dan cita rasa yang berbeza, jadi kami memakai apa yang dirasakan sesuai untuk diri masing-masing.
“Kami juga tidak suka untuk menari serentak dengan aksi yang serupa seperti yang kerap dilakukan oleh boy band lain. Kalau boleh kami ingin jujur pada diri masing-masing dan bebas untuk melakukan apa saja ketika di pentas,” kata Max pada sesi temubual khas bersama media yang diadakan di Hotel One World, Isnin lalu.
The Wanted yang ditubuhkan oleh Jayne Collins (juga menubuhkan kumpulan The Saturdays) terdiri daripada Max George, Siva Kaneswaran, Jay McGuiness, Tom Parker dan Nathan Sykes di mana mereka ditemukan di sebuah pertandingan pencarian bakat baru di Britain pada tahun 2009.
Menariknya tentang kumpulan ini, mereka bukanlah ‘buta’ dalam pemahaman bermain alatan muzik. Malah The Wanted boleh membentuk sebuah band muzik jika mahu.
“Sebab itu The Wanted adalah kumpulan yang berbeza. Kami tahu bermain gitar, piano serta dram dan boleh bermain secara live di atas pentas.
“Selain itu, keinginan kami juga berbeza. Sebagai contoh, Jay sukakan genre muzik folk seperti penyanyi Cat Stevens (Yusuf Islam) dan Tom pula sukakan muzik seperti The Beatles dan Oasis.
“Itulah menariknya tentang kami, personaliti yang berbeza membuatkan kami bersatu dan rapat antara satu sama lain,” ujar Siva pula.
Ingin tembus pasaran Hollywood
Setiap penyanyi tidak kiralah dari negara mana sekalipun pasti ingin mencari tapak di pasaran Hollywood.
Begitu juga dengan The Wanted, perancangan membuat konsert jelajah Asia dan Eropah membuahkan hasil apabila mereka turut mendapat tempat berpeluang menandatangani kontrak dengan American Label Def Jam untuk penghasilan album kedua pada tahun ini.
“Jika Lily Allen, Adele dan Lady Gaga boleh bertapak di Hollywood, mengapa tidak kami? Ia satu cabaran untuk kami mengukuhkan nama di sana.
“Tambahan pula, kami berbeza dengan boy band lain di mana muzik kami kelihatan lebih indie, seperti pasaran muzik yang wujud sekarang.
“Kami gembira kerana bermula daripada April depan, kami akan kembali sibuk dengan konsert jelajah dan ternyata kami akan sibuk dengan kumpulan ini,” kata Siva.
Dalam pada itu, disoal pula mengenai adakah mereka memiliki teman wanita memandangkan mereka mempunyai jadual yang padat, kata Siva setiap mereka akan meluangkan masa dengan kekasih masing-masing menerusi laman sosial Skype jika terpaksa mengadakan konsert jelajah di luar kawasan London.
“Kami sangat rindukan teman wanita kami, tapi apakan daya, karier harus diutamakan dahulu. Kalau boleh kami mahu The Wanted bertahan lebih daripada 10 tahun,”ujarnya.
Sementara itu, kata Lucas pula, mereka gembira apabila berpeluang mengunjungi Malaysia kerana menganggap negara ini sebuah negara yang unik untuk dikunjungi.
Lebih-lebih lagi apabila tibanya soal makan, mereka sempat merasai makanan-makanan pedas seperti Asam Laksa, Nasi Lemak, Nasi Goreng dan beberapa menu lain.
“Tekak kami berasa lega apabila mencuba makanan-makanan ini. Bayangkan, ketika di negara Jerman baru-baru ini, hampir setiap hari kami terpaksa makan makanan segera seperti Burger King dan McDonalds.
“Selain itu kami juga sukakan cuaca di sini yang sentiasa panas. Kami pasti akan rindukan cuaca sebegini. Kami berharap agar dapat berkunjung semula ke Malaysia dalam masa terdekat,” ujar Lucas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: