Monday, February 28, 2011

Neelofa, Ainaa kejar ilmu




MELIHAT dua sosok tubuh genit mereka, masing-masing memiliki rupa paras fizikal yang menarik serta gaya pembawaan diri tersendiri.

Dikurniakan pakej penampilan yang sebegitu, Noor Neelofa Mohd. Noor, 22 dan Shalma Ainaa Bruhanutheen, 20, berusaha untuk memanfaatkan anugerah itu sebaik mungkin.

Sejak berusia belasan tahun, Neelofa dan Ainaa sudah mengorak langkah untuk mencari sumber pendapatan sendiri menerusi pembabitan mereka dalam dunia komersial.

Meskipun tidak menganggap ia sebagai satu tugasan hakiki, kedua-duanya mengakui seronok mengisi waktu dengan aktiviti sedemikian. Tambah mereka, tiada kata dapat menzahirkan rasa puas apabila mendapat hasil daripada titik peluh sendiri.

“Saya mula terlibat dalam bidang komersial sejak berusia 15 tahun. Saya bergerak sendiri kerana ibu bapa mempunyai komitmen kerja masing-masing.

“Meskipun begitu, mereka merestui apa yang saya lakukan. Saya melihat pembabitan ini sebagai salah satu daripada minat. Pada masa yang sama, galakan ibu bapa menjadi pembakar semangat saya,” ujar Ainaa.


AINAA (kiri) dan Neelofa merupakan pelapis baru yang mewarnai dunia lakonan dan komersial.


Bagi Neelofa pula, dia mula aktif dalam iklan komersial selepas tamat sekolah iaitu pada usia 17 tahun.

Katanya, kali pertama menghadiri uji bakat, pelbagai perasan kurang selesa timbul di fikirannya termasuk kurang keyakinan diri, segan dan bimbang.

“Saya berasa kekok, tidak tahu nak bergaya depan kamera dan macam-macam lagi. Lama-kelamaan saya mula seronok dan iklan pertama yang saya bintangi ialah untuk jenama Nokia pada tahun 2007.

“Sama seperti Ainaa, saya tidak mendapat tunjuk ajar sesiapa. Memang rasa puas apabila kita menerima habuan atas kesungguhan sendiri. Ketika itu, tiada langsung niat untuk popular memandangkan usia baru belasan tahun,” tutur gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.

Digabungkan bersama dalam sesi fotografi baru-baru ini, baik Neelofa mahupun Ainaa, kedua-duanya saling mengenali antara satu sama lain dan tidak lagi mengadu kekok apabila diminta untuk memberikan aksi di hadapan kamera.

Maju selangkah

Giat membintangi iklan komersial sehingga ke hari ini, Neelofa dan Ainaa turut menyimpan impian untuk menggilap nama mereka di peringkat yang lebih tinggi.

Atas alasan itu, Neelofa membuat keputusan untuk menyertai sebuah pertandingan yang dikelolakan oleh sebuah majalah berbahasa Melayu menerusi pencarian Dewi Remaja 2010.

Mengikuti pertandingan itu hampir dua tahun, Neelofa berjaya mengukir satu lagi fasa indah dalam hidupnya apabila dinobat selaku juara.

“Tidak dinafikan impak kemenangan itu amat bermakna bagi saya walaupun mungkin ada segelintir yang telah mengenali saya menerusi bidang iklan komersial.

“Sebenarnya, saya tidak berapa gemar mahu bertanding atas faktor rupa. Namun, selepas saya menyertainya, saya akui ia secara tidak langsung membantu saya membina personaliti saya seperti sekarang,” jelas anak ketiga daripada sembilan adik-beradik ini.

Perjalanan yang sama turut dilalui oleh Ainaa apabila gadis kelahiran Kuala Lumpur ini dijulang selaku pemenang pencari model menerusi majalah berbahasa Inggeris iaitu Cleo pada tahun lalu.


NEELOFA menjuarai pertandingan Dewi Remaja 2010 iaitu pertandingan yang pernah melahirkan bintang seni seperti Scha Al-Yahya dan Datin Annahita Bakavoli.


“Berbanding Neelofa, saya memang mahu menyertai pertandingan tersebut untuk melonjakkan nama saya sekali gus membina platform yang lebih baik untuk masa depan.

“Ketika itu usia saya 19 tahun dan saya memang mencari pendedahan dengan cara yang lain meskipun sudah terlibat dengan dunia komersial terlebih dahulu.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya terima selepas itu walaupun ia tidak sepenuhnya seperti apa yang saya gambarkan. Namun, saya tidak pernah menyesal dengan apa yang telah saya usahakan,” luah anak kedua daripada empat adik-beradik yang aktif bermain futsal itu.

Bekalan ilmu

Menyedari hakikat bintang mereka tidak akan kekal bersinar selama-lamanya, Neelofa dan Ainaa sudah memperkemaskan bekalan mereka untuk menempuh kehidupan. Banyak yang mereka sedang lakukan demi meniti masa depan yang lebih terancang dan teratur.

Bagi mereka, ke pelosok dunia mana pun mereka pergi, ilmu tetap menjadi keutamaan sebagai bekalan wajib.

Ainaa bakal menamatkan pengajian di peringkat diploma dalam tempoh tiga bulan lagi dalam jurusan pengurusan pemasaran fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles di ibu negara.

“Ibu bapa saya sering tegaskan bahawa ilmu penting untuk menjamin masa depan kita. Dalam aliran yang sedang saya kecapi sekarang ini, kita tidak akan selama-lamanya berada di zon yang selesa.

“Justeru, sepanjang tahun ini, saya akan memperlahankan karier komersial saya melainkan tugasan yang melibatkan kontrak. Itu pun kena curi-curi masa.

“Selepas tamat pengajian, saya akan terlibat pula dengan latihan amali selama tiga bulan dan jika semuanya berjalan lancar, saya akan terbang ke Sydney, Australia pada Ogos ini untuk sambung pengajian di sana selama 15 bulan,” kata penghias komersial tuala wanita berjenama Laurier itu.


AINAA mula mengorak langkah dalam bidang komersial sejak usia 15 tahun.


Disebabkan Ainaa mengambil jurusan pemasaran fesyen, dia yang gemar mengumpul beg tangan turut menyimpan bercita-cita mahu memiliki jenama sendiri pada suatu hari nanti.

Sementara itu, Neelofa turut bersetuju dengan lontaran pendapat Ainaa, Dia menyifatkan, sehingga ke akhir hayat ilmu tidak akan pernah habis untuk dipelajari.

“Pada saya, sampai mati pun kita tidak akan pernah habis menuntut ilmu. Ilmu itu terlalu luas untuk diperkatakan dan sekarang pun saya tengah belajar banyak selok-belok kehidupan.

“Ilmu merupakan satu-satunya bekalan yang akan kekal menjadi milik kita tidak kira apa pun yang berlaku. Sekarang pun saya sudah mula membuka perniagaan kasut walaupun hanya menumpang di butik ibu di Taman Tun Dr. Ismail.

“Saya ada jenama kasut sendiri iaitu Lofa. Ia hanya kecil-kecilan, namun saya mahu mengembangkan prospeknya hingga ke peringkat yang lebih tinggi,” tutur penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Pemasaran Antarabangsa, Kolej Universiti Sunway ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: