Friday, February 25, 2011

'Jangan hina filem Melayu'

BERSAHAJA... menjadi  lelaki budiman bergandingan  dengan Nur Fazura dan Maya  Karin dalam filem Pisau  Cukur.
BERSAHAJA... menjadi lelaki budiman bergandingan dengan Nur Fazura dan Maya Karin dalam filem Pisau Cukur.

KEMUNCULANNYA sebagai jejaka budiman dalam filem komedi Pisau Cukur membuatkan ramai gadis jatuh hati. Tidak kurang ada yang mahu mengenali dengan lebih dekat jejaka bernama Shah Redza Minhat, 30.

Begitupun kelibatnya yang agak jarang dalam filem mahupun drama TV membuatkan ada pula berpendapat Redza begitu pemilih serta menjaga penampilannya di layar perak atau kaca TV. Dalam erti kata lain jejaka berasal dari Ipoh, Perak ini mahu menjaga eksklusiviti beliau.


Ditemui pada sesi fotografi khas bersama RAP, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, Redza bagaimanapun menjelaskan bukan niatnya mahu membataskan penampilan diri namun hal sebenar kerana dia terikat dengan tugas di sebuah institusi kewangan dan kebanyakan tawaran datang secara mendadak menyebabkan ia tidak dapat memberikan komitmen. Malah sesi fotografi tempoh hari pun terpaksa dibuat pada hari minggu.

  • Foto

    YAKIN... Redza kurang selesa apabila orang lebih menilai fizikalnya daripada bakatnya dalam dunia lakonan.

  • Foto

    SEGAN...Redza akui tidak pandai beraksi di depan kamera.

Begitupun Redza tetap menegaskan dia sangat serius dengan dunia lakonan. "Sebenarnya kesibukan sebagai pegawai pelaburan di sebuah institusi kewangan menyebabkan saya tidak dapat memenuhi kebanyakan tawaran yang datang. Selalunya aktiviti lakonan hanya boleh dilakukan pada waktu malam ataupun pada hujung minggu. Kerana itu saya lebih aktif dalam pementasan teater kerana latihan dan pementasan biasa dibuat pada waktu malam," katanya.


Seperkara lagi tegas Redza, dunia teater lebih memberikan lebih kepuasan dan menerusi pentas lakonan, dia berpeluang untuk menimba lebih banyak pengalaman. Jejaka berasal dari Ipoh, Perak ini sebenarnya sudah lama membabitkan diri dalam dunia teater sejak di zaman universiti lagi.

Kecintaannya kepada dunia teater juga membawa Redza pergi jauh dengan menghasilkan skrip. Ia satu pencapaian boleh dibanggakan. Hampir 10 tahun membabitkan diri dalam dunia teater, Redza sudah menghasilkan lima skrip yang sudah dan bakal dipentaskan.

"Saya bertuah kerana apabila bekerja saya mengenali satu sudut kehidupan yang lain dan dunia teater membawa saya menyelami satu lagi sisi kehidupan manusia berbeza. Ia satu pengalaman cukup menarik dan turut memberi ilham dalam berkarya," ujarnya.


Seperkara lagi jelas Redza, dia cintakan dunia teater kerana disiplinnya yang berbeza berbanding beraksi di depan kamera. Malah kesungguhan ditunjukkan warga kerja dalam bidang teater ini cukup mengagumkan.

"Dalam teater, setiap penggiatnya sama ada pelakon mahupun mereka yang terbabit di balik tabir benar-benar mencintai seni tanpa memikirkan sangat soal wang. Kebanyakan teater yang saya berlakon berskala kecil dengan belanja rendah, jadi bayaran diterima tidak tinggi. Percaya atau tidak ada antara mereka sanggup bekerja secara percuma kerana tahu pihak produksi kekurangan dana. Bagi mereka kepuasan jauh lebih penting berbanding wang ringgit.

"Semangat kerjasama juga tinggi. Ada antara penggiat teater berlakon sepenuh masa tetapi peluang untuk beraksi dalam drama mahupun filem tidak pernah dapat. Mereka saling menyokong dan memberikan peluang kepada mereka ini. Menerusinya kami belajar mengenal erti setia kawan," katanya lagi.


Melihatnya secara kasar pasti ada yang berpendapat bahawa Redza lelaki 'urban' dan tidak mungkin menonton filem Melayu. Bagaimanapun apabila membicarakan mengenai perkara ini, nada suaranya mula berubah. Dia menjadi lebih tegas dan berbicara dengan penuh semangat.

Hakikatnya, jangan menilai buku daripada kulit luarnya. Begitu jugalah dengan Redza. Janganlah ada sesiapa pun menghina filem Melayu di depannya kerana kecintaannya terhadap industri perfileman tempatan sangat tinggi kerana dia kaki wayang. Walaupun ada filem Melayu kurang dari sudut mutu dan pengisian, bagi Redza, ada sesuatu yang boleh ditimba daripada setiap karya itu."Saya asal orang kampung dan pernah hidup susah. Sewaktu saya kecil, ibu berpisah dengan ayah kandung. Waktu itu kami berdepan dengan kehidupan yang susah. Sehinggalah ibu berkahwin lain, barulah kami dapat hidup dengan selesa. Dalam melawan kepayahan hidup, filem menjadi 'escapism' (pelarian) buat saya untuk melupakan segala masalah. Duduk di Taiping waktu itu, pawagam hanya menayangkan filem Melayu dan ia berterusan hingga kini," katanya.


Sekiranya tidak sempat menonton filem di panggung, Redza akan mencari VCD dan DVD filem Melayu yang original. Walaupun harganya sedikit mahal, baginya itu saja cara untuk dia membantu penggiat industri filem tempatan.


"Kadang-kadang ada juga rakan dan kenalan yang memberi kenyataan buruk mengenai filem tempatan. Perkara itu membuatkan saya rasa terganggu kerana komen diberi sebelum mereka pergi ke panggung menontonnya. Menghukum sesebuah karya seni sebelum menyaksikannya pada saya adalah sangat tidak adil!

"Kadang-kadang saya sendiri jemput rakan-rakan datang ke rumah untuk menonton VCD yang dibeli. Menerusinya kami menilai dan membincangkannya. Walaupun tidak bagus sesebuah filem itu tapi sebagai penggiat saya dan rakan-rakan yang lain menggunakan ia sebagai bahan pembelajaran supaya apabila berpeluang menghasilkan karya sendiri, kekurangan itu akan dapat diubah," jelasnya.


Bagaimanapun Redza menjelaskan perkembangan filem tempatan dewasa ini boleh dibanggakan bukan saja dari sudut kutipan tetapi juga mutu penghasilan. Ini ditambah dengan bertambahnya penggiat muda yang menghasilkan filem dengan idea lebih segar.

Redza sendiri menjelaskan dia gemar terbabit dengan beberapa penerbitan filem indie kerana kebanyakan pengarah dan karyawan terbabit begitu kreatif dan bersungguh-sungguh menghasilkan karya.


Menyentuh mengenai perancangannya dalam dunia lakonan, Redza bersama beberapa orang teman merancang untuk menghasilkan produksi mereka sendiri.




>Profil
Nama Penuh: Shah Redza Minhat
Panggilan: Redza Minhat
Usia: 30 tahun
Asal: Ipoh, Perak
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Universiti Multimedia Malaysia (MMU)
Filem: Pisau Cukur, Gol & Gincu
Drama: Impian, Goda
Teater: Tat Nenas, Gadis Jalan Burmah, Right Toast, Serangan Zombie Pertama Di Kuala Lumpur, Medea, Romeo & Juliet

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: