Sunday, February 27, 2011

Singkap keindahan Rinjani

pix_middle

“TUKAR pelan Wan... kita tak payah ke Kemboja... kita ke Lombok.” “Lombok? Ada apa kat sana? Bukankah di pulau itu ramai anak dara Malaysia lari untuk kahwin?” getus hati penulis.

“Gunung Rinjani... gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia... cantik sungguh. Kita ke sana,” kata rakan penulis, Ramasamy Chellachamy.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    PERAH KERINGAT...laluan berpasir menuju puncak menguji kesabaran.

  • Foto

    SAHUT CABARAN...penulis (dua dari kiri) bersama rakan sependakian di kaki Gunung Rinjani.

  • Foto

    BERJAYA...penulis berada di puncak Rinjani setinggi 3,726. Di latar belakang Laut Bali.

  • Foto

  • Foto

Tanpa memanjangkan soal bicara, saya mula melayari Internet dan terpegun melihat keindahan serta cabaran disajikan Rinjani setinggi 3,726 meter (m) yang terletak di bahagian utara Pulau Lombok.

Disertai dua lagi rakan, Mat Halim Hamzah dan Mohamad Asraf Awaluddin, kami menyusun perancangan - menawan Rinjani dalam masa tiga hari dua malam sebelum melanjutkan perjalanan ke pulau dewata, Bali dan Jakarta.


Ketiadaan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Mataram, ibu negeri Lombok, memaksa kami terbang ke sana dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta. Lombok yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Barat berkeluasan 4,725 kilometer persegi dan berpopulasi 4.3 juta orang.Ia turut dikenali sebagai pulau 1,000 masjid kerana rumah Allah dibina di setiap pelosok; kebanyakannya menggunakan wang penduduk yang majoritinya pesawah.

Hari pertama - Seawal jam 6.30 pagi, kami bertolak dari Senggigi, ­bandar pelancongan tepi pantai di ping­gir Mataram. Tiga jam ­berkenderaan melewati laluan mendaki yang tidak ubah bagai ular kena palu, kami tiba di Sembalun Lawang - pintu masuk di bahagian timur Rinjani yang terletak pada ketinggian 1,156 m.

Selesai mendaftar diri dan mendapatkan permit masuk di Pusat Informasi Rinjani, kami bertemu bapak Jumadil atau Dil yang menjadi penunjuk arah sepanjang pengembaraan ini. Turut bersama kami, tiga porter atau pengangkut barang.

Sejurus memastikan semua ­kelengkapan dibawa bersama - sekecil-kecil pil sakit kepala hinggalah sebesar baju sejuk - kami memulakan pendakian jam 10.30 pagi sewaktu mentari terik memancar mengharungi kaki gunung yang bersavana - berumput paras pinggang.

Bagaimanapun, dua jam mendaki dan ketika hampir sampai di pos pertama, Pemantuan (sekadar pondok semata-mata) pada ketinggian 1,300 m, hujan lebat melanda.

Oktober bukan bulan tengkujuh di Rinjani, tetapi kecelaruan cuaca dunia mengubah segala-galanya. Apabila hujan tidak berhenti, kami meneruskan pendakian dan tiba ke pos kedua, Tengengean pada ketinggian 1,500 m sejam kemudian.

Di situ, kami menikmati hidangan tengah hari dalam hujan yang berterusan mencurah tanpa belas kasihan. Dil yang turut menjadi tukang masak menyediakan sup mi segera yang ringkas tetapi menyelerakan.

Kami turut ‘menjamu’ Dil dan rakannya dengan Milo segera yang kami bawa dari Malaysia. Berselera mereka meneguknya. Lebih kurang jam 3 petang, kami meneruskan pendakian.

Cuaca terus tidak menentu - pancaran mentari, gerimis, ­hujan lebat dan kabus tebal silih berganti. Di luar jangkaan kami, pendakian dari ­Tengengean ­melepasi pos ketiga, Pada ­Balong (1,800 m) menuju ke pos keempat, Plawangan 2 pada ketinggian 2,639 m benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental kami sehabis sudah.

Dalam keadaan basah dan kesejukan, kami mendaki tanah licin pada permukaan gunung yang hampir vertikal. Empat setengah jam memerah saki-baki kudrat, kami memijakkan kaki di Plawangan 2 - bekas mulut kawah gunung berapi yang meletus jutaan tahun dulu.

Kami berkhemah di sini untuk malam pertama sebelum cuba menawan puncak Rinjani awal pagi esok. Dil memberi ingatan - perjalanan ke puncak terpaksa dibatalkan jika dua keadaan berlaku; pertama, hujan dan kedua, angin kencang. Kami tidur dengan perasaan berbaur.

Hari kedua - Jam 2.30 pagi. Hujan baru berhenti. Suhu di luar sekitar 5 darjah Celsius. Keadaan persekitaran segelap-gelapnya.

Namun langit malam yang memayungi Rinjani menawarkan pemandangan menakjubkan. Jutaan bintang mewarnai angkasa raya - berkerdipan dan berkilau serta berkejaran seraya memukau mata memandang.

Kami berempat berada dalam khemah. Di kiri kanan, gaung mendalam. Tersilap langkah, maut yang menanti. Hanya jarak sejauh 1,087 meter memisahkan kami daripada menjejakkan kaki di puncak Rinjani - gunung berapi hidup kedua tertinggi di Indonesia dan antara yang tercantik di dunia.

Meskipun jarak perlu ditakluki cuma sekilometer namun berdasarkan keadaan muka bumi dan kelesuan badan, kami memerlukan sekurang-kurangnya empat jam untuk tiba di puncak.

Laluan yang hampir menegak serta pasir hitam gunung berapi yang berbijian tidak memudahkan pendakian kami. Apapun, kami tetap pasang cita-cita untuk berada di puncak pada saat fajar menyinsing menebarkan cahaya emasnya merentasi Laut Bali di bahagian barat Rinjani.

Tepat jam 3 pagi dengan bantuan Dil, kami berempat mula mengorak langkah untuk menawan ubun-ubun Rinjani. Dengan berpandukan lampu kepala dan suluh, kami perlahan-lahan menapak. Kaki terpaksa diinjak ke bumi secara berhati-hati. Bayangkan, pendakian bukan di atas batu, tetapi pasir gunung berapi yang seakan-akan pasir pantai yang menolak setiap langkah kami.

Dengan laluan runcing hanya selebar setengah meter, ditambah pula gaung di kiri kanan dengan kedalaman hampir 2,000 meter, kami tiada pilihan kecuali berhati-hati. Ketika jarak ke puncak tinggal 300 meter, sang mentari malu-malu memperlihatkan dirinya.

Namun 300 meter itulah yang paling payah. Kecondongannya hampir 75 darjah dengan suhu sekitar 6 darjah Celsius sungguh mencabar, tetapi semangat kami tetap menebal.

Tepat jam 6.55 pagi, kami tiba di puncak. Perasaan yang menguasai diri sukar digambarkan. Panorama di depan mata tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Terlalu indah sekali.

Ketika itu sang matahari makin galak. Pancarannya membiaskan bayang-bayang Rinjani ke Lautan Bali dan seolah-olah menyentuh pulau itu.

Malah, Gunung Agung yang terletak di Pulau Bali turut kelihatan dari puncak Rinjani. Danau Segara Anak dan Gunung Barujari turut jelas sekali. Keadaan sungguh damai dan mendamaikan.

Apabila kami turun kembali ke Plawangan 2, jam sudah 11 pagi. Pengembaraan diteruskan dengan menuruni permukaan gunung berbatu selama tiga jam setengah sebelum tiba di pos Danau.

Di situ, di tepi Danau Segara Anak dan berdepan Gunung Barujari (setinggi 2,363 m dan meletus kali terakhir pada 23 Mei tahun lalu) kami mendirikan khemah. Segara Anak terbentuk pada bekas kawah gunung berapi berkeluasan enam kilometer kali 8.5 kilometer. Tasik berkenaan dianggar sedalam 200 meter.

Tidak jauh dari situ, ada kolam air panas Aik Kalak. Selepas dua hari tidak basuh muka, apatah lagi mandi, peluang berendam di dalamnya sememangnya ditunggu-tunggu. Malam itu tidur kami didodoi gemuruh Barujari yang berterusan sehingga subuh.

Hari ketiga - Hari terakhir kami berada dalam dakapan Rinjani. Selesai bersarapan, kami memulakan perjalanan keluar dari kawah Barujari dengan memanjat gunung berbatu lebih dua jam sebelum tiba di Plawangan 1 pada ketinggian 2,641 meter.

Kami meneruskan pergerakan selama dua jam lagi untuk tiba di pos Mondokan Lolak (2,000 m) untuk makan tengah hari. Seterusnya kami melewati pos Montong Satas (1,500 m) serta mengharungi hutan tropika selama lima jam untuk tiba di Senaru - pintu keluar di barat Rinjani.

Meskipun penat ‘gila’, kini saya faham mengapa Rinjani disifatkan sebagai antara gunung berapi tercantik di dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: