Monday, February 28, 2011

Aura Anuar

pix_gal0
Anggap pencalonan dalam Top 5 ABPBH 2010 rezeki untuk dekati peminat seluruh tanah air

PESONA lelaki bernama Anuar Zain ini memang kuat. Peminat, terutama daripada golongan wanita, begitu menggilai dirinya. Maka tidak hairan setiap kali Anuar membuat kemunculan, pasti ada peminat yang datang menyerbunya.

Begitu jugalah keadaannya tatkala penyanyi Bila Resah ini tampil menjayakan acara siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Nama Anuar sering kedengaran dilaungkan peminat, tidak kurang mereka yang mengambil kesempatan merakam kenangan bersamanya.
Pekertinya yang elok menambah minat mereka untuk memuja lelaki ini. Sedaya mungkin, permintaan untuk bergambar tidak dihampakan, walaupun suasana cukup tidak mengizinkan. Namun Anuar sedar, tanpa peminat, belum tentu dia mampu berdiri gah seperti hari ini. Lalu, seboleh-bolehnya dia mahu melayan setiap permintaan terbabit.
Tahun ini, peminatnya cukup berbangga apabila nama Anuar turut melekat dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, yang bakal diketahui keputusannya pada 3 April nanti. Kali akhir Anuar berada dalam senarai Top 5 kategori itu empat tahun lalu, malah dia pernah menjulang trofi rebutan ramai ini pada ABPBH 2003.

Namun begitu, saingannya kali ini bukan calang-calang nama. Faizal Tahir, Aizat, Black dan Shahir ialah angkatan penyanyi lebih muda yang ketika ini memang hangat mencipta nama. Justeru, Anuar amat bersyukur apabila penyanyi ‘lama’ sepertinya terus dikenang peminat, membuat dirinya lebih bersemangat untuk menghasilkan produk terbaik buat mereka.

Anuar juga mengaku, sebagai anak seni, dia memerlukan pendedahan berterusan dalam media massa untuk ‘mendekati’ masyarakat. Perkara itu cukup disedarinya kerana setiap kali dia muncul dengan buah tangan baru, seterusnya mendapat pendedahan di akhbar, majalah ataupun media elektronik, ketika itulah juga dirinya akan turut ‘tersangkut’ pada senarai akhir.

“Sebenarnya, walaupun saya tidak mempunyai sebarang produk baru, saya terus aktif bergerak dalam bidang seni, seperti mengadakan persembahan pada majlis korporat dan sebagainya. Cuma, mungkin pendedahan agak kurang di media massa, berbanding ketika saya muncul bersama album. Lagi pun, tanpa buah tangan baru, tidak banyak cerita yang boleh saya kongsi bersama peminat.
“Sebagai anak seni, saya masih perlu bekerja dan mengadakan pelbagai persembahan. Apabila kita memiliki sesuatu pula, seperti album, ketika itulah kita tampil menghebahkannya kepada orang ramai.

“Pendedahan itu penting agar orang tahu yang kita masih aktif. Bermula tahun ini juga saya akan kembali aktif, serta berharap untuk lebih kerap muncul di khalayak,” katanya yang turut mengikuti siri jelajah ABPBH 2010 di beberapa lokasi.

Menurut penyanyi yang mempunyai tiga album solo sejak 1998 ini, rezekinya bagai datang bergolek pula sebaik saja dia membuat perancangan untuk muncul bersama album terbaru sedikit masa lagi. Bukan saja rancangan pembikinan produk terbaru dipermudahkan, malah namanya turut melekat dalam Top 5 ABPBH 2010, yang seterusnya memudahkan pemuda ini mendekati peminat.

“Bak kata orang, seperti rezeki terpijak pula tahun ini apabila saya dicalonkan dalam Top 5 ABPBH 2010. Ia membuka jalan lebih luas untuk saya mempromosikan album yang bakal keluar nanti, seterusnya memperkenalkan lagu Sedetik Lebih, yang menjadi lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa. Lagu itu akan turut dimuatkan dalam album baru nanti.

“Dengan landasan Top 5 ini juga, saya dapat mengikut beberapa siri jelajah ABPBH2010 ke beberapa lokasi. Ini jalan terbaik saya memasarkan diri kerana khalayak yang datang ialah peminat yang berbeza, serta orang yang menyokong di belakang kejayaan kita selama ini,” katanya.

Bangga dengan artis baru

KEMUNCULAN penyanyi generasi baru yang turut dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, nyata memberikan semangat buat anak kelahiran Merlimau, Melaka ini, untuk lebih tekun memajukan karier muziknya.

“Saya sebenarnya berbangga dengan kemunculan artis baru kerana merekalah yang sebenarnya membawa suatu aliran terkini dalam mewarnai dunia hiburan. Daripada keyakinan mereka tonjolkan ketika mengadakan persembahan, saya dapat belajar sesuatu daripadanya. Merekalah wakil kepada cita rasa peminat masa kini.

“Menerusi kemunculan artis muda ini, kita dapat perhatian betapa dunia muzik kita sudah banyak perubahan. Dari segi nyanyian ,ahupun bentuk muzik, perubahan yang semakin baik dapat disaksikan.

“Saya sendiri sangat meminati Faizal Tahir. Persembahannya sebelum ini tidak pernah mengecewakan saya, bahkan saya seronok menonton persembahannya. Saya berbangga kerana industri kita mempunyai penyanyi sepertinya. Saya turut meminati ramai penyanyi wanita, yang nyata mempunyai kelebihan masing-masing. Kita berbangga mempunyai penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Siti Sarah, Najwa dan ramai lagi," katanya.

Impikan penampilan di DFP

BERCERITA mengenai impiannya pula, jejaka berusia 41 tahun ini mengaku masih menyimpan keinginan untuk mengadakan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur. Katanya, seperti kebanyakan penyanyi tanah air lain, dia tidak terkecuali daripada mengidamkan persembahan di dewan berprestij ini.
Cuma, katanya, rezeki belum menyebelahinya untuk berbuat demikian, dek kekangan dari segi tajaan.

“Sebagai penyanyi, muzik dan bunyi sangat dititikberatkan dan DFP pula tempat yang memiliki ruang akustik terbaik untuk seni suara. Sebab itulah saya mengimpikan sebuah persembahan terhebat di sana.

“Biasanya kita sukar untuk mendapat ruang bunyi untuk konsert yang bagus. Jadi, sekiranya saya dapat mengadakan konsert di DFP, maka termakbul impian saya,” katanya yang bagaimanapun menegaskan, tumpuannya kini lebih terarah kepada proses pembikinan album, selain ABPBH2010.

Ditanya mengenai perancangan menamatkan zaman bujang, Anuar berkata, dia seperti sudah dapat mengagak, soalan cepu mas itu tidak akan terlepas diajukan pihak media.

“Kehidupan berdua itu buat masa ini, belum ada lagi. Dulu, saya ada jumpa seseorang, tetapi tidak menjadi kerana antara kami tidak ada kesesuaian. Jika ada jodoh, insya-Allah bila-bila masa saja akan saya menamatkan zaman bujang saya ini,” katanya yang tidak mahu perkara itu terlalu diperbesarkan, bimbang peminat naik bosan mendengarnya.

Pada malam kemuncak ABPBH2010 yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, 3 April ini, Anuar juga tidak ketinggalan diberikan penghargaan untuk mengadakan persembahan.

Peminat yang ingin mendengar kelunakan suaranya mengalunkan irama indah Sedetik Lebih, pasti enggan terlepas menyaksikan acara gilang-gemilang berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: