Monday, February 28, 2011

Jadi model sara pengajian




BAGI yang pernah menonton beberapa siri komersial program America's Next Top Model Cycle 15 yang ke udara di saluran Astro Star World (Astro 711) baru-baru ini, sudah pasti tertanya-tanya siapakah jejaka kacak yang menjayakan iklan tersebut dengan gaya seksi tanpa baju sehingga mencairkan hati banyak kaum Hawa yang menontonnya.

Pasti ramai yang mahu mencari identiti figura yang mempunyai susunan gigi yang teratur, senyuman menawan serta berbadan tegap ini.

Pemilik nama Jason Godfrey ini memulakan karier glamornya dengan menghiasi helaian majalah serta beberapa iklan komersial yang tidak pernah ditayangkan di Asia Tenggara.

Mungkin ramai tidak tahu kemunculannya sebelum ini. Hakikatnya jejaka lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar dari Universiti Waterloo, Kanada ini merupakan antara kilauan kelahiran agensi Elite Model Management yang sebelum ini melahirkan supermodel tersohor dunia, Tyra Banks dan Cindy Crawford.

Godfrey yang ditemui di Bistro Alexis, The Gardens, Bangsar baru-baru ini memulakan karier dalam bidang peragaan ketika dia baru menjejaki ke universiti, pada mulanya hanya sekadar mencari duit poket untuk kegunaan sehariannya kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya.

"Ketika di tahun pertama, saya dapati kehidupan saya sebagai seorang pelajar memerlukan wang selain untuk membiayai yuran, saya juga perlu wang untuk tugasan tambahan bagi pengajian saya itu.


FIGURA tampan ini mengaku dirinya masih mentah dalam dunia pengacaraan.


"Kemudian saya menghubungi seorang kenalan keluarga yang merupakan pereka fesyen bagi membantu saya memulakan pekerjaan sampingan menjadi model," katanya yang turut memerlukan pendapatan sampingan kerana hobinya yang gemarkan aktiviti melibatkan alam semulajadi seperti mendaki gunung dan berkhemah.

Godfrey, 33, jejaka kacukan Kanada-Filipina ini, akhirnya berjaya menyertai agensi peragaan popular tersebut dengan bantuan kenalannya itu di rangkaian agensi tersebut di Toronto.

"Pada mulanya, saya rasa diri ini sangat teruk, terlalu bimbang dan agak kaku apabila bekerja dengan model-model berpengalaman kerana merasakan mereka sangat hebat, malah saya malu sekiranya mereka bercakap-cakap tentang diri saya.

"Memang diakui pada mulanya saya agak kaku, tetapi dalam masa saya sedang belajar untuk menjadi model profesional," katanya yang bakal muncul sebagai pengacara Oscar Breakfast Chat di samping pengacara popular, Lisa Selesner.

Tidak hebat

Berpeluang membuat liputan acara terbesar dalam hiburan dunia iaitu Anugerah Akademi (Oscar) ke-83 secara langsung di saluran Star Movies (Astro 413), hari ini, Godfrey ternyata teruja kerana diberi kepercayaan sedangkan dia masih mentah dalam bidang pengacaraan.

Mengakui minatnya yang mendalam terhadap filem membuka ruang untuk dia tampil berani untuk mengacarakan segmen khas ulasan acara berprestij itu.

"Saya memang gemar menonton filem dan saya yakin dengan minat saya itu yang akan membantu saya menyiapkan diri untuk Oscar. Sebenarnya tidak banyak yang saya tahu mengenai apa yang bakal berlaku tapi secara jujur saya memang gementar.


GODFREY mempunyai blog peribadi Big Smile No Teeth.


"Walaupun sebelum ini saya pernah terlibat dalam bidang pengacaraan, tetapi ia hanyalah rakaman, bimbang juga kerana untuk rancangan siaran langsung ini, saya perlu bijak mengawal setiap ayat yang dituturkan supaya mudah difahami dan diterima penonton," katanya yang sangat terhutang budi kepada Paulette Ellison iaitu seorang pengurus yang banyak membantunya di awal kariernya sebagai model.

Menurutnya, dia hanya mengambil masa kurang dua saat untuk memberi persetujuan ketika ditawarkan untuk mengacarakan rancangan tersebut walaupun mengakui tahun-tahun sebelum ini dia bukannya pengikut setia siri Anugerah Oscar.

Kata jejaka yang membesar di Kanada ini, kesibukan dia ketika menjadi pelajar dan pekerjaan sampingan menjadi model di Kanada, membataskan waktu untuk dia mengikuti sebarang rancangan di televisyen.


GODFREY tidak berani mencuba bidang lakonan kerana tahu kemampuan diri sendiri.


"Menjadikan bidang peragaan sebagai kerjaya telah memberi saya peluang untuk mengembara ke seluruh dunia, malah banyak pengalaman bernilai telah mengajar saya untuk berjaya dalam hidup.

"Bagi saya, apa jua peluang yang diperoleh walaupun bukan di dalam bidang peragaan, akan saya anggap sebagai cabaran serta satu platform untuk saya melebarkan bakat saya," kata Godfrey yang sering berkongsi setiap perjalanan kehidupannya bersama peminat di laman blognya, Big Smile No Teeth.

Tambahnya, peluang mengacara program itu bukan perkara main-main dan ia adalah batu loncatan untuk peluang lebih besar.

"Saya juga telah mendapat peluang untuk menjadi pengacara oleh Fox International, jadi lepas ini, saya akan muncul lebih kerap di kaca televisyen, bukan saya menjadi model iklan tetapi saya mengendalikan rancangan juga," katanya yang akan terus menjadi model walaupun mendapat tawaran bidang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: