Saturday, February 26, 2011

Naza tubuh kolej automotif


SM NASARUDIN (tiga dari kanan) bersalaman dengan Paul (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani MoU menubuhkan sebuah kolej automotif.


KUMPULAN Naza dan Help International Corporation Bhd (Help) bakal bekerjasama membangunkan sebuah kolej automotif dan pengurusan pengangkutan. Ia bertujuan meningkatkan jumlah pekerja dalam bidang tersebut di Malaysia, negara Asia Tenggara (Asia Tenggara) dan beberapa lokasi terpilih.

Kerjasama itu dinyatakan dalam satu perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak pada Rabu lalu. MoU tersebut akan memberi fokus ke arah penubuhan sebuah syarikat kerjasama (JVCO) yang akan mengendalikan sebuah kolej dan menawarkan pelbagai kursus dalam pendidikan automotif.

Pegangan saham dalam JVCO antara Kumpulan Naza dan Help ialah 50:50. JVCO akan menubuhkan tiga buah kampus untuk kolej automotif tersebut yang terletak di Lembah Klang, Gurun Kedah dan Seri Alam, Iskandar Malaysia, Johor. Semua itu dilaksanakan tempoh lima tahun.

"Usaha sama bersama Help bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Kami percaya ia akan menjadi kombinasi terbaik terhadap kekuatan masing-masing. Sebagai peneraju dalam perniagaan automotif, kami sangat memahami keperluan dan kelayakan yang diperlukan oleh industri.

"Help memiliki rekod yang baik dalam bidang pengajian tinggi. Apabila kemampuan ini digabungkan, kami akan berada dalam posisi terbaik untuk membangunkan bakat-bakat baru demi kemajuan industri," kata Pengerusi Bersama Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

MoU ditandatangani oleh SM Nasarudin serta Pengasas Bersama dan Presiden Help, Datuk Dr. Paul Chan. Majlis turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI dan Pengarah Perancangan Help, Adam Chan.

Menurut Paul, penubuhan kolej automotif merupakan pelan-pelan Help untuk menawarkan latihan teknikal dan vokasional.

"Kolej automotif yang baru ini akan mempunyai program komprehensif dalam latihan teknikal dan teknologi. Termasuklah kejuruteraan automotif, pengangkutan dan pengurusan logistik, operasi serta kawalan kualiti serta reka bentuk kenderaan.


NAZA mempunyai rekod cemerlang dalam dunia automotif negara.


"Antara kursus yang lain bakal diperkenalkan ialah pengurusan sumber manusia, khidmat pelanggan, pemasaran, pengurusan eksport, kewangan dan keusahawanan. Pada masa akan datang, kursus perancangan urban dan pengangkutan bandar turut ditawarkan. Kami tidak hanya memfokus kepada kemahiran-kemahiran teknikal, malah memupuk kemahiran keusahawanan dalam industri automotif," kata Paul.

Kelebihan usahasama itu ialah Naza sudah pun memiliki pengalaman dan kemudahan latihan. Ini bermakna kolej tersebut boleh memulakan operasinya pada tahun 2011. Help turut merancang untuk bekerjasama dengan institusi-institusi lain, selain negara-negara yang terkenal dalam bidang automotif seperti Perancis, Jerman, Jepun dan Britain.

Para pelajar juga boleh bekerja dan menjalankan praktikal di Naza. Pihak Help juga telah berbincang dengan banyak banyak badan profesional dalam industri, mereka memberi sokongan padu dan akan bekerjasama dengan Help.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: