Monday, February 28, 2011

Sains teknologi tingkat prestasi akademik


Sebahagian murid menyiapkan rekaan masing-masing pada Minggu Sains dan Teknologi di SMS Hulu Selangor,baru-baru ini.


Penguasaan dalam bidang sains dan teknologi mampu melonjakkan prestasi akademik pelajar, kata Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains (SMS) Hulu Selangor, Rafiei Mustapa.

Justeru, baru-baru ini sekolah itu telah mengadakan Minggu Sains dan Teknologi 2011 untuk memberi peluang pembelajaran secara hands-on kepada para pelajarnya.

Menurut Rafiei, pembelajaran seperti itu amat perlu bagi seseorang pelajar dalam usaha untuk meningkatkan kefahaman mereka selain merasai sendiri pengalaman tersebut seterusnya dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Selain itu, ujarnya, program selama empat hari itu juga bertujuan memupuk daya kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar daripada pelbagai peringkat umur.

"Nilai kreatif dan inovatif amat diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah kerana ia mampu memberi kesan-kesan positif yang baik terhadap perkembangan minda pelajar," katanya.

Minggu Sains dan Teknologi anjuran SMS Hulu Selangor ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak tiga sekolah rendah dan empat sekolah menengah sekitar Hulu Selangor.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program tersebut termasuklah kuiz sains, pertandingan reka bot lumba anjuran RA3 Edu Science Corporation Sdn. Bhd., pertandingan bercerita, pertandingan memasak, mereka model sains dan pertandingan mewarna bagi murid-murid tadika.

Sementara itu, Ketua Panitia Sains, Norazrina Abdul Aziz berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dengan kemahiran sains dan kemahiran hidup.

"Ia juga dianjurkan untuk sekolah berkongsi pengetahuan dengan sekolah-sekolah berhampiran, selain menimbulkan minat di kalangan pelajar tersebut terhadap bidang sains dan inovasi.

"Sebagai sekolah kluster kecemerlangan, adalah menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk memastikan sekolah-sekolah berhampiran yang lain turut cemerlang," katanya yang juga Pengarah Minggu Sains dan Teknologi.

Tambahnya, program ini turut memberi faedah serta pengalaman baru kepada pelajar SMS Hulu Selangor itu sendiri kerana sumbangan dan penglibatan mereka dalam mengurus dan memastikan kelancaran program.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: