Friday, February 11, 2011

Urusan Aizat sempurna




PEMUDA berusia 22 tahun dengan nama Aizat Amdan tampak begitu seronok di atas pentas. Sering kali dia menari mengikut alunan lagu. Dalam kebanyakan masa, dia larut bersama vokal mantapnya dan sesekali mengundang derai tawa di kalangan peminat yang hadir pada hari itu.

Dibantu latar set yang sederhana tetapi mengesankan, ditemani barisan pemuzik muda yang tidak terkenal tetapi mengagumkan, dan Aizat sendiri telah merealisasikan sebuah konsert mini Urusan Aizat Amdan - Live In Damansara dengan jayanya. Secara total, urusan Aizat sudah diselesaikan dengan sukses.

Usai konsert berlangsung, Aizat tersenyum puas. Berbaloi biayaan sendiri yang dikeluarkan, namun yang paling penting adalah peminatnya terhibur dengan apa yang dipersembahkan sepanjang lebih sejam setengah itu.

"Alhamdulillah, walaupun pada awalnya saya agak gusar terutama daripada segi teknikal dan promosi, namun konsert ini berjalan dengan baik. Saya sendiri rasa berbaloi dengan kos yang dikeluarkan dan paling penting, peminat saya dapat menikmati muzik saya dengan baik," katanya bersungguh-sungguh.

Mengaku terdapat sedikit kecacatan dalam konsert tersebut, namun ia bukan hal yang besar jika mahu diukur dengan kesungguhannya menghiburkan lebih 700 peminat yang hadir pada hari itu.

Sementelah, ia bagai menjadi kayu ukur pengaruh muzik Aizat terhadap penggemar yang cenderung menyokong muzik luar berbanding anak seni tempatan.

Diusik ia juga lambang popularitinya, Aizat dalam tawa pantas menepis usikan tersebut. Katanya, dia tidak rasa dirinya popular.

"Tapi saya rasa ia lambang muzik saya dihargai. Ya, perkataan yang tepat apabila melihat ramai yang datang pada konsert tersebut adalah dihargai, bukannya popular. Malah saya rasa ia juga lambang muzik tidak mempunyai kasta peminat," katanya yang juga berasa muzik tidak perlu dikategorikan dalam satu-satu kelompok kerana muzik sepatutnya bebas dinikmati oleh semua.

Suksesnya mini konsert itu juga menjadi jalan utama untuk dia bergerak dengan konsert jelajah yang telah lama menjadi impiannya. Sengaja dia memilih Sabah sebagai destinasi pertama rangka jelajah tersebut sebelum diikuti Sarawak dan Semenanjung.


HANYA dalam tempoh tiga tahun menjadi anak seni, Aizat mampu mencorakkan kemahuannya dengan usaha dan kerja keras yang berterusan.


Masih lagi di dalam perancangan, apa yang menggembirakan pemuda ini adalah kebarangkalian jelajah tersebut mendapat tajaan oleh pihak yang berminat selepas hadir menonton konsert mininya tempoh hari.

"Insya-Allah, mungkin jelajah ini akan mendapat tajaan. Tapi semuanya masih dalam perbincangan. Saya berharap semua rancangan dapat dilaksanakan kerana konsert jelajah dan bertemu peminat adalah sasaran kerjaya saya pada tahun ini," katanya.

Tambah Aizat lagi yang malam itu memukau khalayak dengan untaian lagu hitnya seperti Erti Hari Ini, Sungai Lui, Hanya Kau Yang Mampu, Senyum, Percubaan Pertama dan Susun Silang Kata, apa yang penting juga, dia mahu akrab dengan peminat yang banyak menyokong perjalanan seninya selama tiga tahun ini.

Dalam rangka jelajah tersebut juga, Aizat mahu menjual produknya secara terus kepada peminat. "Saya kira, membuat persembahan dan kemudian menjual produk di tempat persembahan adalah cara yang betul untuk kita jual produk, sekali gus beramah mesra dengan peminat kita."

Terbit lagu orang


AIZAT dan gitar bagai tidak dapat dipisahkan lagi.


Ditanya apa sahaja agenda kariernya tahun ini, Aizat memberitahu dia kini sedang berjinak-jinak menjadi penerbit untuk penyanyi yang berminat dengan sentuhan dia dan abangnya, Anas.

Keberanian membikin lagu untuk orang lain timbul apabila ada yang meminta hasil karya daripadanya. Namun katanya, akan ada perbezaan antara karya untuk diri sendiri dan untuk orang lain.

"Mungkin yang membezakan karya untuk diri saya sendiri dengan yang saya bikin untuk orang adalah dari segi penulisan lirik. Tentang muziknya pula, saya rasa biar orang yang mendengar yang membuat pengadilan," katanya yang mengaku kerjasama menjadi lebih mudah apabila dia mengenali penyanyi yang meminta karyanya.

Dalam masa yang sama dia juga kini mengumpul material untuk album ketiganya yang dijanjikan Aizat sebagai bersifat lebih matang kerana dia menyasarkan untuk memasuki pasaran antarabangsa melalui karya terbarunya itu kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: