
ANUGERAH Seri Angkasa (ASA) 2010 mencipta sejarah apabila tiga peneraju utama stesen penyiaran di Malaysia iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima dan Astro telah bergabung untuk menganjurkannya bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebagai peneraju induk.
Dalam satu majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini, perkara tersebut telah diumumkan sendiri oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.
Menurut Rais, selain dianjurkan secara bersama oleh ketiga-tiga stesen penyiaran tersebut, jumlah penyertaan ASA 2010 telah meningkat sebanyak 20 peratus kepada 521 penyertaan berbanding kali terakhir dianjurkan pada tahun 2006.
“Sebanyak 323 pencalonan kategori televisyen dan 198 kategori radio telah diterima. Sebanyak 53 kategori pula telah dipertandingkan berbanding 51 kategori sebelum ini.
“Sudah tentu ini adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan kerana di samping semua stesen penyiaran bergabung untuk menganjurkannya jumlah penyertaan juga semakin meningkat,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian.
Tambah beliau, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa ASA adalah satu medan terbaik untuk memberi penilaian dan pengiktirafan yang setimpal kepada hasil karya yang bermutu.
Dengan bertemakan Citra Budaya Malaysia, ASA 2010 yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Februari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra mempertandingkan 34 anugerah untuk kategori televisyen, 16 kategori radio, tiga Anugerah Khas Juri Televisyen, Radio dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa.
Setiap pemenang akan menerima hadiah berupa trofi dan sijil, sementara penerima anugerah kategori Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik bakal menerima hadiah berupa lawatan khas ke Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Saya yakin dan percaya bahawa dengan kerjasama yang erat ini juga membuatkan setiap stesen televisyen di negara ini akan meningkatkan lagi kualiti rancangan pada masa akan datang,” ujarnya.
ASA merupakan antara anugerah terawal yang pernah dianjurkan serta cukup berprestij di negara ini. Matlamat penganjurannya adalah untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan peryiaran terbaik.
Ia mula dianjurkan pada tahun 1972, tiga tahun selepas penggabungan Radio Malaysia dan TV Malaysia menjadi RTM. Beberapa kategori telah diperkenalkan seperti Drama Terbaik, Pelakon Drama Lelaki dan Wanita, Penulis Skrip dan Juruhebah Radio.
Sepanjang penganjurannya di antara tahun 1972 sehingga 2000, penyertaannya terbuka kepada kakitangan dan penerbitan yang disiarkan menerusi RTM sahaja.
Bagaimanapun, ASA 2004 telah mengorak langkah apabila buat pertama kali penyertaan telah dibuka kepada stesen swasta dalam usaha untuk mewujudkan persaingan yang lebih sengit dalam industri penyiaran tempatan.
1Malaysia
Ketika berucap, Rais turut memberi saranan supaya penerbitan kandungan siaran yang menjurus kepada mendokong gagasan 1Malaysia harus diperbanyakkan lagi oleh setiap saluran televisyen.
Jelas Rais, saranan berkenaan harus ditekankan supaya hasrat untuk memakmurkan hubungan antara kaum di kalangan masyarakat di negara ini akan tercapai.
“Sama ada stesen penyiaran milik kerajaan atau swasta, semua pihak berperanan menyerapkan unsur-unsur 1Malaysia melalui bentuk pemberitaan, drama, dokumentari atau rancangan berbentuk hiburan.
“Tidak mustahil juga sekiranya program yang menjurus kepada gagasan berkenaan akan diberi penghormatan serta pengiktirafan pada masa akan datang,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: