Tuesday, February 8, 2011
Trilogi Cinta raih rating tinggi
Pada awal penerbitannya, pelbagai kontroversi timbul. Rangkaian 40 episod begitu banyak diperdebatkan dan akhirnya dipersetujui pihak RTM.
Selain itu, kekangan masalah kewangan menyelubungi Suhan Movies, drama bersiri Trilogi Cinta menelan kos RM1.6 juta dan Rosyam mengakui perlu menyiapkan naskhah berkenaan dalam tempoh empat bulan.
Namun, penerbit dan pelakon utama Rosyam Nor kini boleh menarik nafas lega apabila drama itu berjaya mencecah rating tertinggi sejak ditayangkan tiga minggu lalu.
Sumber RTM berkata, drama Trilogi Cinta ditayangkan di saluran TV1 berjaya meraih hampir 1 juta penonton ketika ditayangkan.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan apabila berjaya berada di belakang drama bersiri Roda Roda Kuala Lumpur yang ditayangkan di TV2.
Rosyam berkata, kejayaan itu menyuntik semangatnya untuk menghasilkan lebih banyak drama berkualiti.
“Saya berterima kasih kepada pihak RTM yang memberi peluang dan percaya dengan karya dan usaha Suhan Movies. Walaupun pada awalnya isu episod terlalu banyak menjadi kontroversi hangat, namun kerjasama pelakon antara faktor utama kejayaan drama ini. Pelakon komited dan memberikan sepenuh komitmen untuk drama ini,” katanya.
Rosyam berkata, dia bangga apabila semua pelakon berjaya membawa watak dengan baik.
“Tidak banyak drama atau filem lakonan Fauziah Ghous menampakkan wajah sebenarnya. Saya bangga dengan Fouziah yang muncul tanpa solekan untuk watak Norjina.
“Tidak ramai pelakon mahu menunjukkan wajah sebenar. Fouziah memberikan sepenuh komitmen sepanjang empat bulan penggambaran.
“Ditambah penampilan Aida Khalida, Siti Fazurina dan Amyza Aznan. Kesemua mereka membuatkan penonton geram, marah dan benci dengan watak dilakonkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Drama bersiri memaparkan kisah cinta tiga segi antara Razif lakonan Rosyam Noor, Salmi (Amyza Aznan) dan Norjinah (Fauziah Ghous) yang berlaku tanpa diduga.
Kecurangan Salmi mendatangkan musibah apabila dia terlibat kemalangan dan lumpuh. Kerana cinta, Razif menerima Salmi semula. Norjinah pada awalnya adalah pembantu rumah ditugaskan menjaga kedua-dua anak Razif, namun keadaan menjadi tegang apabila hubungan mesra mereka dicemburui Salmi.
Dalam diam Razif menaruh hati kepada Norjinah, namun serba salah melihatkan keadaan isterinya yang lumpuh.
Berikutan itu, pelbagai konflik timbul cuba dipaparkan Trilogi Cinta.
Bakal terbitkan drama adaptasi novel
Rosyam berkata, syarikatnya banyak menghasilkan drama berdasarkan novel terbaik karya penulis Sharifah Abu Salem.
“Saya ada keserasian bekerja dengan Sharifah Abu Salem. Novelnya sentiasa mencapai jualan tertinggi.
“Saya lihat, drama adaptasi ini, bilangan penonton bertambah kerana bukan sekadar penonton biasa sebaliknya pembaca novel juga tertarik menonton drama ini.
“Cabaran ini memberi motivasi kepada saya untuk terus mengangkat novel terbaik dijadikan drama,” katanya bakal menerbitkan drama Asmara musim kedua slot Lestary di TV3.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: