Tuesday, February 8, 2011

Sini Ada Hantu seram



Masyarakat mungkin sering disogok dengan pelbagai kisah hantu dalam filem tempatan. Namun, garapan terbaru James Lee melalui Sini Ada Hantu (SAH) mempunyai kelainan berbanding filem seram lain.

SAH menggabungkan tiga kisah hantu popular dalam kalangan masyarakat tempatan, penonton dapat mengenali dengan lebih rapat setiap hantu itu. Ini kerana, setiap latar belakang hantu diceritakan dengan jelas melalui penceritaan dua watak utamanya, Ah Meng (Alvin Wong) dan Bakri (Baki Zainal).

Menariknya, kisah hantu diceritakan, hantu pokok pisang, hantu nombor ekor dan hantu asrama sering didengari, tetapi jarang dijadikan subjek filem atau drama. Kisah hantu dalam filem ini lebih segar dan watak hantunya lari daripada imej tidak jelas, berambut panjang dan muka menakutkan seperti sering digambarkan dalam filem lain.

Masih mengekalkan genre seram seperti filem pertamanya, Histeria, tidak ada adegan pelakonnya menjerit di dalam filem ini. Namun, penonton tidak akan terlepas meremang bulu roma tatkala watak hantunya muncul. Jangan risau, kerana ketakutan itu tidak dibiarkan berterusan kerana diselang-selikan dengan adegan komedi yang mencuit hati. Ternyata gabungan dua elemen itu menjadi kekuatan SAH.

Taruhan Lee untuk menggunakan wajah baru menjadi kerana lakonan kesemua mereka tidak menghampakan. Baki Zainal dan Alvin Wong sebagai watak utama berjaya menghidupkan filem ini dengan telatah lucu mereka. Kemunculan Fasha Sanda sebagai cameo dan penampilan khas beberapa pelakon lama seperti Kuswadinata, Patrick Teoh dan Kaza menyeimbangkan lakonan pelakon baru.

SAH dimulakan dengan kisah Ah Meng dan Bakri yang terpaksa bertugas menghantar mayat pada waktu malam. Bagi menghilangkan rasa mengantuk, mereka bergilir-gilir menceritakan kisah hantu terkenal dalam budaya masing-masing. Jalan cerita SAH digarap dengan teratur membolehkan penonton menikmati kisah hantu sebelum beralih ke kisah lain.

Dalam masa sama, penonton akan berdebar menantikan kesudahan kisah Ah Meng dan Bakri yang mengalami gangguan ketika perjalanan.

Secara keseluruhannya, filem ini tidak merugikan dan jangan lepaskan peluang menyaksikannya di pawagam mulai 10 Februari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: