Tuesday, February 8, 2011

Taman Negara Similajau mencabar, beri kepuasan

Antara generasi terawal yang menetap di Rumah panjang Jalong Tatau.

JIKA pada minggu lepas ruangan Diari Kembara memaparkan pengalaman penulis di Rumah Panjang Jalong Tatau yang cukup menarik dengan pelbagai kisah tersendiri, minggu ini penulis ingin berkongsi pengalaman mengenai penerokaan di Taman Negara Similajau.

Taman negara yang diwartakan pada 1978 itu, terletak 45 minit perjalanan dari pekan Bintulu dan sering menjadi pilihan pengunjung tempatan dan pelancong luar yang sukakan aktiviti mencabar.

Similajau merangkumi kawasan 8,996 hektar hutan dara pinggir pantai bermula dari Sungai Likau di selatan hingga ke Sungai Similajau di utara, termasuk 7,064 hektar di garisan pantai (kawasan darat) dan 1,932 hektar kawasan laut serta sebahagian daripada kawasan pemeliharaan untuk pelbagai spesies hidupan liar dan spesies pokok hutan.

Pantainya yang menghadap ke Laut China Selatan cukup indah dengan hamparan pantai yang berbatu dan berpasir putih dan keemasan.

Sejujurnya penulis dan beberapa peserta rombongan agak teruja kerana ini merupakan pengalaman pertama bagi sebilangan daripada kami menggembara ke dalam hutan taman negara dan peluang yang diberikan oleh pihak Tune Hotels tidak dilepaskan begitu sahaja.

Menariknya mengenai Taman Negara Similajau ini, terdapat 10 hentian seperti Golden Beach, Turtle Beach I & II, Batu Anchau, Sebubong Pool, Circular Trail dan Education Trail.

Namun atas faktor cuaca yang tidak menentu dan demi keselamatan semua peserta rombongan, kami dinasihatkan supaya tidak pergi jauh ke dalam hutan dan memilih Turtle Beach (Pulau Penyu) sejauh tujuh kilometer sebagai destinasi.

Keunikan dan kelainan yang ditawarkan di Taman Negara Similajau terletak kepada tiga khazanah hutan utama dan paling berharga di taman itu antaranya hutan pantai, hutan kerangas, hutan `Mixed Dipterocarp’ serta hutan paya bakau.

Manakala hidupan liar yang terdapat di taman ini pula adalah ikan lumba-lumba, penyu, buaya air masin di Sungai Likau dan belangkas.

Namun kunjungan kami tidak mengizinkan untuk bertemu dengan hidupan-hidupan yang dinyatakan kerana binatang-binatang berkenaan hanya akan muncul pada masa-masa tertentu.

Deruan ombak iringi perjalanan ke Pulau Penyu

Merentasi hutan di Taman Negara Similajau amat mencabar walaupun laluan disediakan bagi memudahkan semua pengunjung. Lebih menarik lagi laluan trekking di sini dekat dengan pantai.

Selain dapat menikmati keindahan dan kehijauan alam semula jadi, kedengaran deruan ombak yang menghempas pantai, sekali gus menaikkan semangat untuk terus mara menunju ke destinasi.

Kawasan sepanjang 30 kilometer ini penuh dengan pelbagai tumbuhan dan haiwan. Hutan itu dikatakan mempunyai 230 spesies burung termasuk kenyalang dan bangau dan buaya air masin. Walaubagaimanapun sepanjang perjalanan itu rombongan kami tidak berpeluang bertemu dengan haiwan itu.

Malah jaka bertuah, pengunjung boleh melihat ikan lumba-lumba bermain ombak di laut atau penyu naik ke darat untuk bertelur pada waktu tertentu.

Bagaimanapun, tidak dinafikan merentas hutan Similajau memang mencabar kerana laluannya yang tidak menentu dan adakalanya perlu mendaki. Ditambah pula keadaan hutan yang lembap kerana hujan pada hari sebelumnya menambahkan cabaran.

Namun semuanya rasa berbaloi apabila Pulau Penyu 1 mula kelihatan setelah lebih 7 kilometer merentas hutan dan kepuasan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata bila melihat keindahan ciptaan Tuhan.

Pantai ini terkenal bagi penyu bertelur pada musim antara April hingga September tetapi dalam jumlah yang kecil berbanding di pantai Taman Negara Talang Satang (bahagian Kuching) yang mana penyunya bertelur banyak.

Walaupun tidak dapat melihat penyu-penyu bertelur di pantai itu, melihat pasir yang berwarna keemasan di pulau itu sudah cukup untuk menghilangkan segala rungutan dan penat sepanjang perjalanan.

Kemudahan Taman Negara Similajau

Selain pelbagai khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara di taman negara ini, pihak pengurusan juga tidak mengabaikan aspek kemudahan seperti laluan dan papan tanda untuk memudahkan pengunjung merentasi sembilan perhentian di taman ini.

Lain-lain kemudahan yang disediakan di Taman Negara Similajau termasuk pelayaran melalui sungai dengan menggunakan bot di sepanjang Sungai Likau dan pantai bagi memberikan pilihan kepada pelawat untuk menikmati keindahan persekitaran dan laut di taman negara itu.

Bagi pengunjung yang ingin bermalam di taman ini, ada beberapa pilihan tempat penginapan disediakan seperti Rumah Rehat Kenamaan (VIP), Pandu Masuk Chalet (Drive In Chalet), Asrama 18 bilik dan tapak perkhemahan bagi mereka yang ingin mendirikan khemah di kawasan taman, tempat mandi awam, tempat barbeku dan pondok rehat.

Setakat 2008, kehadiran pelancong asing yang berkunjung ke Taman Negara Similajau ini berjumlah 1,700 orang, kebanyakannya membuat penyelidikan dan menikmati keindahan alam semulajadi.

Masa yang paling sesuai untuk melawat Taman Negara Similajau adalah antara Februari hingga Oktober apabila garisan pantai kelihatan begitu menarik dengan air lautnya kelihatan hijau bercahaya.

Taman ini menjanjikan satu kelainan dan keunikan bukan sahaja dari segi kemudahan yang ditawarkan malahan ia menyimpan banyak khazanah alam semula jadi yang boleh diterokai oleh pengunjung-pengunjungnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: