BELUM sempat mengharungi kehidupan sebagai seorang pelakon baru dengan tenang, pemilik nama Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa sudah pun berhadapan dengan pelbagai cerita yang kurang senang untuk didengar.
Sangkaan untuk tidak menimbulkan sebarang kontroversi sepanjang penglibatan dalam dunia hiburan ternyata meleset. Meskipun penonton belum pernah melihat lakonannya di kaca televisyen, gadis berusia 22 tahun itu telah diuji dengan pahit maung dunia selebriti.
Mungkin kelebihan memiliki bentuk fizikal yang sempurna dan sedap mata memandang telah membuatkan umum suka untuk bercerita perihal peribadinya.
Terbaru, empunya diri telah dikaitkan sebagai penyebab keretakan hubungan intim pelakon kacak Shahz Jaszle, 23, dan kekasih hatinya iaitu pelakon jelita, Maria Farida.
"Apa yang terjadi dengan mereka sememangnya tiada kena-mengena dengan saya," ujar Neelofa ringkas ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Dia yang turut mengetahui gosip tersebar luas itu berpendapat, itulah dugaan yang perlu ditelan sebaik sahaja mengambil keputusan untuk melangkah ke persada hiburan.
Khabarnya kemesraan Neelofa dengan Shahz bukan sekadar di set penggambaran filem Azura versi 2011 yang berlokasi di Paris dan London.
Sebaliknya, watak romantik yang dilakonkan mereka telah berlarutan sehingga ke luar lokasi dan kini masih menjalinkan hubungan sebagai sepasang kekasih.
|
|
Bukan itu sahaja, situasi itu menyebabkan Shahz mengambil tindakan untuk memutuskan ikatan percintaannya bersama Maria Farida, 40, hanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tidak boleh mengelak mudah dengan begitu sahaja, Neelofa berpendapat, desas-desus yang hadir mungkin tetap akan berlaku sekiranya dia berganding dengan aktor lain.
"Jika saya berlakon dengan pelakon lain mungkin gosip sebegini tetap akan tercetus. Namun, peminat di luar perlu dengar juga perkara sebenar daripada saya.
"Mana boleh saya terus ingin bercinta dengan Shahz sedangkan kami baru sahaja kenal antara satu sama lain sewaktu penggambaran filem itu. Tidak semudah itu untuk saya terjebak dalam percintaan," ujar Dewi Remaja 2010 itu.
Berbalik kepada situasi kononnya kemesraan terbawa-bawa sehingga luar lokasi, dia tidak menafikan hanya 12 krew produksi dan tiga pelakon yang terlibat sepanjang dua minggu menjalani pengambaran di sana.
Justeru itu, sudah pasti masa yang terluang dihabiskan bersama bukan sahaja berdua-duaan sebaliknya turut ditemani oleh jurusolek.
"Jangan terlalu cepat salah sangka. Lagipun, pelakon yang ada hanya tiga orang, jadi sudah tentu kami banyak lepak bersama," terangnya lagi.
|
|
Maria profesional
Berkesempatan menemubual Neelofa sendiri tidak disia-siakan untuk mengemukakan persoalan mengenai kebenaran bahawa Maria Farida telah menghubunginya.
Tidak berselindung, gadis ini mengakui kebenaran tersebut. Secara terus-terang, Neelofa kemudian memuji tindakan Maria Farida yang menghubunginya sendiri bagi mendapatkan kesahihan kisah itu.
"Kak Maria memang ada hubungi saya, bukannya untuk bergaduh atau apa. Dia bercakap dengan baik dan saya amat menghormatinya," katanya yang tidak mahu mengulas lanjut dan mengaitkan Maria Farida dalam gosip tersebut.
Sementara itu, gadis yang berdarah kacukan Melayu, Pakistan dan Arab itu baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya pada 10 Februari lalu.
Tetapi perkara hangat yang ingin diperkatakan di sini ialah, Shahz sanggup memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang semata-mata ingin meraikan hari jadinya.
Lantas Neelofa yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan memberi reaksi terkejut sekali gus menyangkal dakwaan terbabit dengan jawapan dan alasan tersendiri.
"Shahz tidak datang pun ke Pulau Pinang. Bahkan, malam 10 Februari saya dan krew Sekolah Terhebat sudah berada di Taiping, Perak. Mereka meraikan hari jadi saya di Taiping bukannya di Pulau Pinang seperti yang diperkatakan," katanya dengan bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: