Thursday, February 24, 2011

Livonia pilihan Rosyam Nor


ROSYAM NOR mengumumkan juara Pilih Kasih musim kedua.


Tidak dinafikan finalis program realiti Pilih Kasih musim kedua (PK2) sangat berbakat dan menyerlah kali ini. Setelah menyaksikan kesemua persembahan peserta, agak sukar mahu meramalkan kejuaraan milik siapa.

Namun, setelah 11 minggu berhempas- pulas memberi persembahan yang terbaik, gelaran juara menjadi milik Ratu Cantik Borneo 2010, Livonia Ricky Guing dengan memperolehi undian sebanyak 26.6 peratus.

Livonia, anak gadis yang masih berusia 20 tahun itu juga telah berjaya mengalahkan enam rakannya yang lain iaitu, Yuzwan Yunus, 24, di tempat kedua, Ku Hariz, 26, di tempat ketiga, serta Jay Izwazir, 29, Nur Jannah,24, dan Lia Natalia dalam final yang bersiaran langsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Selain trofi, Livonia juga berjaya membawa pulang hadiah berupa sebuah kenderaan pikap jenis Trekker berharga RM55,000, wang tunai RM10,000, pakej penjagaan kereta Shine Shine bernilai RM2,399 berserta keahlian lima tahun barangan kosmetik dan spa Mustika Ratu berjumlah RM7,000.

Hadiah lain yang dimenanginya termasuk baucar penginapan tiga hari dua malam untuk dua orang di Holiday Villa Hotel & Residence Doha, Qatar, gelang tangan magnetik dan beg bagasi kulit Edymium.

“Dalam undian 50 peratus tersebut, sememangnya saya juga memilih Livonia. Ini kerana kita mencari pelakon untuk ke hadapan yang mesti punyai kriteria seperti paras rupa, bakat dan karisma,” jawab penerbit program Pilih Kasih, Rosyam Nor ketika ditanya mengenai peserta pilihannya untuk bergelar juara PK2.

Apa yang memberi kelainan pada musim ini ialah penambahan anugerah iaitu Anugerah Khas TM yang mana anugerah ini dimenangi oleh Jay Izwazir.


BARU bermula. Dari kiri: Yuzwan Yunus, Livonia dan Ku Hariz meraikan kemenangan mereka.


“Pemilihan Jay Izwazir sebagai pelakon terbaik TM ini dilihat dari peningkatan minggu pertama hingga minggu terakhir. Ini bermakna, persembahan Jay stabil hingga ke pentas final.

“Ada peserta lain, peningkatan mereka bermula dari minggu pertengahan dan kami pilih mereka bukan kerana bakat lakonan semata-mata tetapi juga mengambil kira disiplin mereka,” ulas Rosyam tentang pemilihan Jay.

Pentas akhir kali ini memberi kelainan apabila finalis musim ini diberi cabaran yang bukan sahaja menguji bakat mereka akan tetapi perlu bersedia dari segi minda dan fizikal apabila mereka diberikan skrip lakonan drama hanya ketika di set penggambaran dan bukan sebelumnya.

Selain drama berjudul Tulus yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Aziz M.Osman menjadi pembuka tirai, para finalis juga diberi cabaran melakonkan watak teater yang menekankan tema ceria pelajar kolej dan juga persembahan monolog dengan berlatar belakang konsep kabaret tahun 50-an yang diberi nama Kabaret Bunga Tanjong.

Selain itu, di dalam sidang akhbar yang diadakan selepas pentas akhir tersebut, melihatkan bakat yang ada di dalam peserta Pilih Kasih, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya dalam perbicangan bersama produksi Suhan Movies untuk menerbitkan sebuah drama 13 episod yang mana pelakonnya adalah peserta program Pilih Kasih sendiri.

“Konsep drama ini mungkin seperti drama muzikal Britannia High. Segalanya masih lagi di dalam perbincangan dan kami telah pun fikirkan idea ini dari kemunculan PK1 lagi,” jelas Datuk Ibrahim yang berpuas hati dengan rating program ini yang melonjak naik.

Menambah kenyataan itu, ujar Rosyam, dia akan berusaha untuk menggabungkan peserta musim pertama dan dua untuk memberi peluang kepada peserta menempa nama di dalam industri seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: