
DILABEL sebagai salah seorang daripada pendandan rambut yang hebat di lantai Hollywood oleh media, Ken Paves dicari ekoran sentuhan magisnya dalam industri tersebut yang bermula lebih kurang 14 tahun yang lalu.
Terkenal dengan sikap peramah, Paves yang sering terbang ke New York, Los Angeles, Chicago dan kediamannya di Clinton Township, Michigan sering dilihat dalam beberapa set popular di kaca televisyen seperti MTV, VH-1 dan The Oprah Winfrey Show sejak tahun 2003. Dia juga bertindak sebagai pakar dandan untuk program realiti popular, America’s Next Top Model.
Bakat mendandan yang mengalir dalam dirinya menyebabkan dirinya dikagumi kerana mempunyai visi dan cita rasa gaya rambut yang inovatif, cantik dan seksi.
“Saya percaya kerja keras saya dihargai kerana memang impian saya untuk membuatkan wanita yang berada di depan mata saya kelihatan unik dan cantik.
“Setiap wanita yang terlibat dalam perjalanan hidup saya telah memberikan saya inspirasi. Kecantikan tidak boleh dibeli atau diaplikasi, ia hanya boleh dihargai,” katanya.
Antara selebriti dunia yang pernah merasai sentuhan hebatnya ialah Jessica dan Ashlee Simpson, Celine Dion, Jennifer Lopez, Kim Cattrall, Fergie, Jessica Alba dan Heather Locklear.
Cetusan idea kreatifnya dalam industri dandanan rambut pernah menghiasi beberapa majalah popular seperti Vogue, Elle, Marie Claire dan Cosmopolitan.
Meskipun dia meletakkan kredit kepada ibunya yang merupakan tulang belakang dalam industri dandanan rambut dan fesyen, Paves turut mempelajari kemahiran tersebut di beberapa akademi berprestij seperti Akademi Vidal Sassoon, Institut Toni & Guy dan beberapa lagi salon di Eropah.

Sejak meninggalkan Clinton Township, Michigan, Paves memasang impian untuk membuka salon di tempat tinggalnya. Pada tahun 2002, impiannya itu berjaya dicapai dengan membuka Paves Salon. Dua lagi salon miliknya turut beroperasi di Los Angeles dan Florida.
Selepas kejayaan itu, dia sekali lagi berjaya mengukir sejarah apabila memiliki produk penjagaan rambutnya sendiri iaitu Flawless by Paves Professional yang merangkumi rejim mewah penjagaan rambut.
Dengan kejayaan dan kekayaan yang dimiliki, Paves tidak pernah sesekali lupa pada golongan yang kurang berkemampuan dengan mendermakan masa dan wang termasuk kepada Organisasi Operation Smile bagi membantu kanak-kanak yang lahir dengan kecacatan muka seperti sumbing.
Errol Douglas
Sementara itu, nama pendandan rambut Errol Douglas bukan asing lagi dalam kalangan kerabat diraja Britain, model dan selebriti antarabangsa.
Mula bekerja di salon rambut ketika berusia 11 tahun, kehidupan Douglas kini sudah jauh berubah apabila dia kini mampu bermegah dengan status pendandan rambut yang berjaya dan disegani ramai.
Bukan itu sahaja, Douglas juga mempunyai butik sendiri di Knightsbridge, London yang bukan sahaja terarah kepada dandanan rambut semata-mata, malah turut menawarkan khidmat kecantikan, tatarias kuku, katering, pemandu peribadi, seleksi barang kemas dan koleksi payung istimewa rekaannya.
Koleksi fotografi Douglas turut disiarkan di majalah sekitar United Kingdom dan seluruh dunia, manakala kemahirannya mendandan rambut pernah dipaparkan di dalam beberapa majalah popular seperti Vogue, Cosmopolitan, Elle dan Woman’s Journal.
![]() |
| ERROL DOUGLAS tidak lokek berkongsi kemahiran dan teknik mendandan rambut. |
Pendandan rambut berusia 46 tahun itu juga pernah menyandang beberapa anugerah berprestij seperti Anugerah Tahunan Pendandan Rambut Afro Britain (1994 dan 1996), Piala L’Oreal London (1996), Anugerah Cosmopolitan Style (1996) termasuk sebuah anugerah istimewa iaitu Anugerah Ahli Perintah Empayar British atau dikenali sebagai MBE.
Anugerah MBE merupakan salah satu daripada lima kelas anugerah cemerlang yang tersenarai dalam MBE dan ia diasaskan oleh King George pada tahun 1917.
“Bagi saya, anugerah MBE merupakan satu pengiktirafan yang tidak terhingga atas jasa saya dalam bidang ini dan ia amat bermakna buat diri saya,” katanya yang mengagumi pereka fesyen terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Tom Ford.
Bijak merancang hala tujunya, Douglas tidak membiasakan dirinya dengan mengambil jalan ringkas untuk mencapai kejayaan.
“Pada saya, pengalaman yang dikutip sebelum menjadi seorang pendandan profesional amat berharga dan saya amat tidak menggemari perasaan cemburu apabila kita berada dalam bidang yang sama. Ia membuatkan saya marah,” ungkapnya.
Disifatkan sebagai seorang yang boleh dipercayai, berkemahiran tinggi dan suka bereksperimen, Douglasmengakui seronok berkongsi dengan orang ramai.
“Penglibatan saya dalam pertunjukan fesyen dan seminar di seluruh dunia membolehkan saya dekat dengan dengan penonton. Antara negara yang pernah saya kunjungi ialah Australia, Britain, Kanada, Jerman, Itali, Sepanyol dan Switzerland,” jelasnya.
Sepanjang bergelumang dengan dunia dandanan rambut lebih 30 tahun, Douglas berkesempatan mendandan rambut ramai selebriti dan model terkenal dunia lelaki dan wanita.
Antaranya ialah Diana Ross, Christina Ricci, Uma Thurman, Emilia Fox, Annie Lennox, Valerie serta Naomi Campbell dan Cindy Crawford.
Selebriti lelaki pula seperti Lenny Henry, Rowan Atkinson, Brad Pitt, Forest Whittaker, Michael J Fox, David Seaman, Ian Wright, Roachford dan Jeff Goldblum.
Sam McKnight
![]() |
| EVA LONGORIA (kiri) dan Victoria Beckham antara pelanggan tetap Ken Paves. |
Meskipun namanya seringkali dikaitkan sebagai pendandan rambut profesional yang sudah berusia, kreativiti dandanan Sam McKnight tidak pernah lapuk. Sehingga kini, dia masih kekal sebagai pendandan rambut tersohor dunia.
Penglibatannya dalam industri dandanan rambut sejak tiga dekad lalu masih lagi ditagih, baik untuk pertunjukan fesyen mahupun dunia pengiklanan.
“Saya terlibat dalam industri ini secara tidak sengaja. Pada mulanya saya sekadar menolong seorang teman dengan bekerja di salon miliknya yang terletak di London.
“Namun lama-kelamaan, minat itu terbit dalam diri dan saya mula terfikir untuk mengumpul duit menerusi industri ini,” terangnya.
Antara banyak peluang mendandan mahkota selebriti ternama, McKnight masih terkenang pada ikon tersohor yang pernah menerima sentuhannya iaitu mendiang Puteri Diana.
“Saya suka dengan gaya potongan rambutnya. Saya berasa amat bangga apabila berpeluang menjadi sebahagian daripada pasukannya selama tujuh tahun,” ulas McKnight yang mula bekerja dengan puteri kesayangan ramai itu sehingga tahun 1997.
Selain Puteri Diana, Sam turut diketahui mempunyai hubungan yang akrab dengan pelanggan selebritinya seperti Lady Gaga dan Madonna.
Mengimbas kembali saat pertama kali bekerja dengan penyanyi berimej pelik itu, Sam memberitahu dia mula terlibat Lady Gaga sejak berjumpa dalam satu sesi fotografi kira-kira dua tahun yang lalu untuk majalah British Vogue.
“Kami turut bekerjasama menerusi penggambaran video Lady Gaga yang ketika itu sedang melakukan jelajah bersama jurugambar terkenal, Nick Knight.
“Selepas itu, kami sekali lagi bekerjasama untuk gambar kulit depan majalah Vanity Fair untuk edisi September 2010. Bagi saya, dia seorang yang mudah untuk diuruskan. Proses pemakaian rambut palsu itu berlangsung dengan baik,” imbasnya.
Selain penyanyi, antara model antarabangsa yang pernah didandan oleh McKnight termasuk Naomi Campbell yang dikenalinya sejak berusia 16 tahun; model Brazil, Gisele Bundchen dan Kate Moss.
Untuk rekod, Sam juga pernah menjadi duta global untuk jenama syampu terkenal Pantene. Selain itu, dia turut ditawar menjalinkan kontrak dengan jenama tersebut selama 10 tahun.
“Sehingga sekarang, penyembur rambut Pantene adalah benda yang perlu ada pada saya pada setiap masa,” ulasnya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: