
DENGAN senyuman manis tidak lekang di wajah, Kumar Karthigesu membetulkan duduknya di atas lantai. Bukan duduk bersila seperti biasa, betis kanannya disilangkan ke atas paha kiri. Bagi orang biasa, kedudukan seperti itu mungkin agak kurang selesa, tetapi tidak bagi Kumar biarpun untuk tempoh berjam-jam lamanya.
Di tangan lelaki berusia 38 tahun itu, terdakap sebuah instrumen. Bukan gitar dan mahupun ghazal, ia adalah sebuah alat muzik tradisional masyarakat India. Sitar adalah sebuah alat muzik tradisional yang disanjung tinggi di India Utara sejak zaman dahulu dan dianggap sangat suci.
Keistimewaan sitar terletak pada getar alunan bunyinya yang mengusik naluri dan minda sekali gus mendekatkan seseorang dengan elemen spiritual.
Bagi Kumar, kerajinannya mempelajari kelas vokal karnatik, tabla dan biola dengan restu guru spiritualnya, Swamy Shantanand Saraswathi sejak berumur enam tahun memberi kelebihan untuknya mendalami kehebatan sitar.
Mungkin kerana terpengaruh dengan keagungan Raja Sitar itu, anak kedua pasangan Dr. R. Karthigesu dan Dr. Puvaneswary itu tidak pernah puas mempelajari ilmu sitar biarpun perlu berkelana sehingga ke India. Berkat kesungguhan itu membolehkan Kumar kini mencapai tahap Master Sitar.
“Muzik sitar bersifat kompleks, versatil dan universal kerana ia berupaya mengusik naluri, hormon dan minda kita, pengalaman itu dilalui setiap kali bermain sitar,” ujarnya sambil jari-jemari kedua-dua tangannya memetik sitar ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya di sini.
Guru pertama
Ujar Kumar, biarpun minat terhadap sitar berputik lebih awal, hanya ketika dia berusia 11 tahun barulah dia dapat mendekati alat muzik itu. Segalanya bermula di Sekolah Tinggi Soar Valley, United Kingdom (UK) apabila keluarganya berpindah ke Leicester kerana bapanya memulakan pengajian ijazah doktor falsafah (Ph.D).

Katanya, cinta yang mula berputik terhadap sitar menyebabkan beliau mengikuti kelas sitar selama tiga tahun dari guru sitar, Pandit Dharambhir Singh. Apabila bakat bersatu dengan minat, petikan sitar Kumar menyentuh banyak hati sehingga dia berjaya memenangi anugerah Ahli Muzik Tahunan Terbaik 1984 anjuran London Carnatic Music Circle dan anugerah Ahli Muzik Terbaik Kebangsaan daripada The Brent Competition UK pada tahun 1985.
“Kejayaan itulah menjadi permulaan kehidupan saya bersama sitar. Bukan senang untuk menguasai sitar dalam tempoh terdekat ia memerlukan dedikasi, disiplin dan fokus dan itulah yang menonjolkan saya sebagai pemain sitar profesional.
“Saya juga sempat menyertai kelas vokal karnatik daripada Orme Maheswaran (mendiang) di Port Dickson sebelum bertemu guru pujaan, Ustad Usman Khan seterusnya mengikut beliau mempelajari sitar di Pune, India,” katanya.
Vokal karnatik merujuk kepada gaya nyanyian yang mengikut lenggok gubahan lagu. Skil muzik klasik yang berevolusi daripada tradisi Hindu itu berasal dari bahagian selatan India.
Jelas Kumar, kariernya sebagai guru sitar bermula selepas itu di The Temple of Fine Arts, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Puas menjelajah ratusan konsert sitar dan rakaman secara solo, Kumar menyertai orkestra fusion, Akasha Kebangsaan yang membuat persembahan di serata dunia.

Pencapaian Kumar sehingga ke tahap Master Sitar telah melayakkannya menerima Anugerah Karyawan Seni Muzik Negara oleh Kerajaan Malaysia.
“Muzik sitar adalah sebahagian daripada nafas saya. Apa yang saya pelajari kini diterapkan kepada lebih 200 anak murid di sekitar ibu negara, Pulau Pinang dan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara),
“Sitar merupakan muzik tradisi India yang indah dan versatil. Perjalanan saya masih jauh dalam dunia sitar dan saya akan mencapai impian saya menerusi petikan sitar ini,” katanya yang baru mengakhiri zaman bujangnya dengan mengahwini Dr. Shree Vidhya, 30.
Tidak mudah
Sementara itu, pensyarah sambilan kelas sitar di Universiti Malaya, Jayasree Arumugam, 53, berkongsi pendapatnya tentang kesukaran pembelajaran sitar.
“Sitar merupakan alat yang unik yang tidak mudah untuk dikuasai kerana anda memerlukan fokus dan dedikasi tinggi,” jelas Jayasree yang berpengalaman menjadi guru sitar selama 30 tahun.
Menurutnya, seseorang murid yang mempelajari sitar akan dilatih dengan swaram (not muzik), thaalam (ritma) dan lahyam’ (tempo) supaya mereka dengan mudah mengenali tentang irama itu,
“Anda perlu belajar duduk bersila sambil bersilang kaki dan sitar perlu dipegang secara menegak dan selari dengan badan anda. Mizrab (dawai logam) pula dipakai di jari sebelum dapat bermain sitar secara selesa dan sempurna.
“Ketika ini lebih 100 murid dari sekitar Lembah Klang termasuk pelajar Universiti Malaya (UM) mengikuti kelas sitar dengan saya dan mereka memang dilatih dengan cara ini,” ujarnya.
Menurut Jayasree yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Madras, pelajar lebih tertumpu untuk menggandingkan sitar dengan vokal karnatik.

Kelebihan vokal itu adalah untuk memudahkan penguasaannya mengikut rentak kerana ia lebih mengekalkan gaya dan ciri klasik India Selatan.
Namun, vokal Hindustan juga sesuai digandingkan dengan instrumen itu.
“Seseorang pelajar sitar memerlukan dua tahun untuk menguasai teknik asas dan 17 tahun sebagai pemain profesional kerana ia memerlukan fokus dan disiplin serta latihan yang banyak,” katanya.
Minat belajar
Sementara itu, Priscilla Lawrence Abit, 24, mengaku berminat mempelajari sitar walaupun alat muzik itu begitu asing berbanding peralatan tradisional kaumnya di Sarawak.
“Saya pernah dengar mengenai sitar sebagai alat tradisional India yang popular. Kali pertama mengikuti kelas itu, saya tertarik pada bunyinya yang amat merdu.
“Teknik bermain dengan memakai mizrab di jari telunjuk tangan kanan dengan rentak swaram dan lahyam’ pada sitar sambil mengikuti sruthipetti (peti muzik elektronik) sangat unik dan mendamaikan,” kata pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di UM itu.
Nurizzati Hazemi pelajar tahun akhir Fakulti Sains juga membuktikan muzik sentiasa merentasi budaya, agama dan bangsa walaupun berlatar belakangkan tradisi Melayu dan beragama Islam.
Menurut Nurizzati, dia sebenarnya tiada niat untuk mempelajari muzik sitar namun tidak menafikan bahawa dia gemar menikmati muzik.
“Saya mendaftar kelas sitar selepas kelas lain sudah penuh diisi pelajar. Namun, selepas mencubanya saya dapati ia sungguh ringan dan berlainan.
Tambahnya, dia sangat terharu dengan peluang itu kerana bukan sahaja boleh mengenali alat muzik tradisional India malah budayanya secara lebih dekat.
“Banyak perkara yang dapat saya kenali tentang sitar dan berhasrat untuk meneruskan kelas ini selepas tamat pengajian kelak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: