
PERCUTIAN bersama rakan-rakan ke Bandung, Indonesia pada tahun 2006 bukan hanya jalan-jalan kosong, tetapi detik itu adalah titik awal bagi Zaiferez Hadzere Zainal, 26, mengorak langkah ke dunia perniagaan.
Sewaktu di Bandung, Zaiferez memberitahu, dia amat teruja dengan perkembangan fesyen di sana termasuk pakaian yang sering digayakan kebanyakan kumpulan muzik di republik itu. Dia akhirnya ‘diperkenalkan’ kepada jenama Badger.
Atas pengalaman tersebut, bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Seri Iskandar, Perak itu bertekad membawa jenama itu menjengah Malaysia menerusi konsep francais.
“Pada tahun 2008, saya mula berniaga secara dalam talian dan menyertai bazar. Pergerakan kami semakin diterima sehingga saya berjaya membuka sebuah bilik pameran Badger di rumah saya pada tahun 2009.
![]() |
| WARNA merah semakin mendapat tempat di hati pemakai berbanding sebelum ini. |
“Pada tahun yang sama, saya dan tiga lagi rakan termasuk adik saya berjaya membuka sebuah kedai di Damansara Utama dan sehingga kini, sambutan dan sokongan yang diterima tidak mengecewakan,” katanya yang ditemui semasa pertunjukan fesyen Badger Malaysia baru-baru ini.
Pada masa yang sama, bermula tahun ini, Badger Malaysia turut menjalinkan kerjasama dengan jenama terkenal, Vans Malaysia disebabkan aliran fesyen yang sama.
Selain Vans, Badger Malaysia turut memasarkan beberapa jenama lain seperti Anti Beauty dan Slice Footwear yang turut berasal dari Bandung.
“Kami menawarkan pelbagai jenis fesyen dan pakaian termasuk untuk wanita di bawah satu bumbung. Aliran fesyen sama ternyata memudahkan banyak perkara.
“Lebih membanggakan, beberapa artis tempatan turut tertarik untuk memiliki fesyen Badger Malaysia seperti Noh Hujan, Hanafi Extrange, Black Mentor, Zizan Raja Lawak dan kumpulan Ultimate,” katanya selaku Pengarah Urusan Badger Malaysia.
![]() |
| SANDAL Vans menonjolkan gaya ringkas kepada pemakai. |
Pada masa akan datang, Zaiferez bercadang untuk mengeluarkan jenama pakaian sendiri dengan konsep yang sama, namun dia mengakui masih banyak lagi perkara yang perlu diambil kira.
“Kami masih lagi dalam proses belajar. Setakat ini, beberapa perkara telah dimulakan seperti konsep, tema dan fabrik yang sesuai untuk digunakan,” tambahnya.
Pernah menerima Anugerah Butik Streetwear Indie yang pertama, Zaiferez berharap Badger Malaysia akan mendahului jenama streetwear di negara ini dengan kualiti yang tinggi dan sambutan yang menggalakkan daripada peminat.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: