JARUM jam menunjukkan pukul 7 pagi. Suasana hening dan langit membiru di Taman Johor Jaya seolah-olah memberi restu kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Johor Jaya 2, Johor Bahru merealisasikan acara Larian Merentas Desa 1Murid 1Sukan peringkat sekolah.
Pagi itu, Dataran Wawasan sekolah berkenaan dibanjiri dengan pelbagai warna pakaian lebih 1,000 pelajar mengikut rumah sukan masing-masing.
Jika pada hari Sabtu yang lain mereka mungkin enak dibuai mimpi di rumah, tetapi pada Sabtu 12 Februari lalu mereka teruja untuk bangun awal pagi semata-mata bagi menjayakan acara larian itu.
Dengan kehadiran hampir 100 peratus peserta, para pelajar, guru dan kakitangan sekolah menunjukkan komitmen yang tidak berbelah-bahagi demi meniupkan semangat 1Malaysia di samping meningkatkan tahap kecergasan pelajar menerusi acara sukan itu.
Lebih membanggakan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut serta bagi memeriahkan acara pada hari itu.
Tidak seperti kebiasaan, Larian 1Murid 1Sukan kali ini melibatkan pelajar daripada kelas pendidikan khas. Mereka dibantu oleh guru-guru pendidikan khas yang diketuai Cikgu Salmah Saari.
Walaupun tidak seperti rakan-rakan yang lain, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pelajar pendidikan khas ini wajar dicontohi kerana mereka tidak mahu ketinggalan memeriahkan larian itu walaupun diri mereka serba kekurangan.
Menurut Pengetua Cemerlang SMK Taman Johor Jaya 2, Chin Sim Lai, sambutan bagi aktiviti Larian 1Murid 1Sukan itu sangat memberangsangkan.
Ia adalah hasil daripada perancangan yang teliti oleh guru-guru di bawah seliaan Penolong Kanan Kokurikulum, Wan Bidah Wan Salleh.
"Aktiviti ini dapat dijayakan hasil usaha semua pihak lebih-lebih lagi pihak PIBG dan individu serta organisasi luar yang bermurah hati memberikan sumbangan.
"Saya harap acara sebegini dapat memberikan semangat kepada para pelajar untuk menyertai aktiviti kokurikulum selain merealisasikan matlamat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Sukan SMK Taman Johor Jaya 2, Rosman Rahman memberitahu program tersebut dapat meningkatkan kefahaman pelajar mengenai kepentingan aktiviti sukan dan semangat sayangkan sekolah.
|
|
Senamrobik beramai-ramai
Malah katanya, program itu selari dengan matlamat Larian Perdana Mahkota yang diadakan di Dataran Johor Bahru yang berlangsung pada hari yang sama.
Selain larian, para peserta berpeluang melakukan aktiviti senamrobik beramai-ramai dan memenangi cabutan bertuah. Hadiah untuk cabutan bertuah itu disumbangkan oleh pihak PIBG sekolah, syarikat GZAM Butik, N&Z Active Enterprise dan MMA Academy.
Pastinya, pada hari tersebut banyak keletah peserta dapat dilihat. Ada yang berlari dengan penuh semangat bersama rakan-rakan lain yang berbeza warna kulit dan agama.
Malah, ada pula yang 'pancit' tetapi masih berlari-lari anak hingga ke garisan penamat.
Dalam pada itu, pada hari yang sama bertempat di Dataran Majlis Bandaraya berlangsungnya pelancaran program 1Murid 1Sukan dengan salah satu acaranya ialah Larian Perdana Mahkota.
Tujuan larian itu diadakan tidak lain tidak bukan adalah untuk menarik penglibatan secara menyeluruh dan melahirkan pelajar dan guru yang ghairah bersukan.
Ia bertujuan membudayakan sukan melalui program 1Murid 1Sukan dan dalam masa yang sama mengisi dana tabung kebajikan dan pembangunan sukan sekolah negeri Johor.
Acara larian itu dilancarkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Idris sekali gus membuatkan acara tersebut lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: