Wednesday, February 23, 2011

'Saya masih solo'...Misha Omar

pix_gal0
Misha naik muak asyik perjelas cerita dan gosip sudah basi

KETENANGAN untuk bersantai di hujung minggu lalu digegarkan dengan berita yang tidak mahu ditatapnya. Bukan kali pertama kesabarannya diuji dengan cerita perkahwinan palsu seperti itu. Malah andai difailkan kisah peribadi yang membabitkan penyanyi, pelakon dan pengacara ini, tentunya sudah bertimbun cerita Misha Omar bergelar isteri.

Statusnya juga sering ditukar-tukar sesuka hati. Ketika di awal kemunculannya dulu, penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini didakwa seorang janda dan terbaru, Misha dikatakan bergelar isteri ketiga seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.
Bagi Misya, apa yang pasti kisah sensasi itu benar-benar menyesakkan nafasnya. Ralat, terkilan, kecewa bercampur baur dalam jiwanya. Sebelum ini cerita yang sama pernah ditimbulkan namun Misha menafikan sekeras-kerasnya kesahihan perkara itu. Sebaik saja dia bersuara, cerita perkahwinan palsunya itu terus sepi.Bagaimanapun, selepas sekian lama senyap, tiba-tiba cerita menjadi isteri ketiga itu kembali ditimbulkan, lengkap dengan dakwaan kononnya penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini menerima hadiah jutaan ringgit disebabkan perkahwinannya itu.

Ketika dihubungi Hip petang Isnin lalu, Misha mengeluh panjang dengan cerita tidak betul yang dihadapinya itu.

Sambil menegaskan sekali lagi bahawa cerita perkahwinan itu tidak benar, Misha berharap dengan penjelasannya ini nanti, semua pihak akan faham dan tidak lagi membebani dirinya dengan pelbagai pertanyaan berkaitan ‘perkahwinan’ itu.

Hip: Komen Misha atas dakwaan bergelar isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk? Misha: Terus terang, saya memang kecewa sebaik saja saya membaca artikel yang ditulis di sebuah akhbar mingguan (bukan terbitan Kumpulan NSTP) Ahad lalu. Bagi saya, cerita mengenai kononnya sudah berkahwin dan menjadi isteri ketiga seorang Datuk itu sebenarnya cerita basi. Sebelum ini sudah berkali-kali saya menjelaskannya bahawa saya tidak ada kena mengena langsung sehinggakan saya sendiri muak untuk menjawab pertanyaan yang sama. Cerita mengaitkan dengan lelaki itu sebenarnya sudah timbul sejak 2009 lagi. Saya tidak faham mengapa cerita itu ditimbulkan semula. Apakah tujuan orang yang menyebarkan cerita itu? Ada yang mendakwa kononnya mereka ada bukti kukuh mengesahkan perkahwinan saya. Jika betul, tunjukkan bukti itu? Saya minta kepada mana-mana pihak yang sangsi dengan kenyataan ini supaya pergi sendiri ke Jabatan Agama dan buat pemeriksaan sama ada betul saya sudah bernikah atau sebaliknya.

Hip: Misha kenal dengan lelaki yang dikaitkan itu?
Misha:
Ya, saya kenal lelaki itu sekitar penghujung 2009. Perkenalan kami adalah atas dasar perniagaan. Memang kami pernah keluar bersama tetapi bersama kakak saya dan rakan-rakan lain. Apabila cerita seperti ini timbul, saya amat bersimpati dengannya. Dia ada keluarga yang perlu dijaga hatinya. Bagaimana penerimaan mereka apabila perkara ini digembar-gemburkan walaupun pada hakikatnya ia tidak benar sama sekali. Lebih membimbangkan saya adalah penerimaan ibu, bagaimana dia mahu berdepan dengan masyarakat sekeliling. Biasalah, orang kampung bila mengetahui cerita seperti ini, mereka akan lebih percaya dan bertebaranlah cakap-cakap nakal di belakang. Kasihan ibu saya yang terpaksa menanggung akibatnya atas kesalahan yang tidak saya lakukan. Terasa berat sangat dosa yang saya lakukan. Malah ada ketika air mata saya menjadi peneman apabila hati sudah tidak tertahan menanggung sarat bebanan.

Hip: Jadi sekarang Misha memang tidak berkahwin dengan lelaki yang dimaksudkan?
Misha:
Iya! Saya masih solo, belum berkahwin. Hanya itu jawapan yang saya boleh berikan. Berdasarkan artikel itu, apa yang cuba difokuskan adalah saya menerima pelbagai hadiah lumayan dan wang RM1 juta. Jika benarlah saya sudah berumah tangga, tak perlu untuk bersusah payah cari rezeki dalam bidang seni. Alang-alang dapat suami berharta lebih baik saya duduk goyang kaki. Apa perlunya saya buat pelbagai kerja dalam satu-satu masa. Menyanyi, berlakon teater, drama dan juga menjadi pengacara. Disebabkan itulah apabila timbul cerita-cerita seperti ini, hati saya jadi geram dan mahu saja menjerit supaya semua fitnah itu dihentikan segera.

Bakal muncul dengan album terbaru

Hip: Mungkin Misha tahu siapa dan tujuan individu itu menyebarkan cerita ini?
Misha:
Saya tidak tahu siapa dan apakah tujuannya berbuat demikian. Mungkin benar kata-kata senior saya dalam bidang ini, untuk berjaya kita kena kuat kerana kelazimannya, kita diperkatakan bukan kerana bakat yang kita miliki. Sebaliknya dengan cerita seperti ini. Jadi, dengan kesabaran yang ada, biarlah mereka berkata apa saja. Mungkin disebabkan artis seangkatan saya kebanyakannya sudah berumah tangga dan hanya tinggal saya saja yang masih solo membuatkan saya menjadi sasaran mereka untuk membuat cerita seperti itu.

Hip: Secara peribadi, pandangan Misha terhadap hidup bermadu?
Misha:
Kalau kita tanya pada sesiapapun, tentunya tak ada di antara mereka yang inginkan hidup bermadu. Pastinya setiap dari mereka hanya mahu menjadi satu-satunya isteri dalam kehidupan suaminya. Dan jika diizinkan, saya juga menginginkan kehidupan seperti itu. Namun, hidup ini adalah sebuah misteri yang kita tak tahu apakah yang menanti di hadapannya. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diramal. Jadi, saya tidak mahu terlalu takbur dengan mengeluarkan kenyataan seperti menentang takdir, bimbang ia akan terkena batang hidung sendiri.

Hip: Khabarnya Misha akan muncul dengan produk baru? Cerita sikit
Misha:
Album kompilasi saya yang berjudul Dia... Misha akan berada di pasaran pada 14 Mac depan. Ia mengandungi 16 buah lagu dan tiga daripadanya adalah lagu baru iaitu Berlalu, yang kini sedang rancak diputarkan di radio, Detik Antara Waktu dan juga sebuah lagu popular kumpulan Alleycats yang saya rakamkan semula bertajuk Kerana. Insya-Allah seiring dengan kemunculan album ini, saya akan mengadakan sebuah showcase khas. Besar kemungkinan showcase itu akan diadakan pada bulan Jun ini di Hard Rock Cafe. Saya harap semua peminat dapat menyaksikan showcase itu nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: