Wednesday, February 23, 2011

Pengasuh 400 si kecil

BANTU...Siti Salmah tidak kekok membantu mereka menaiki van untuk menjalani aktiviti luar.
BANTU...Siti Salmah tidak kekok membantu mereka menaiki van untuk menjalani aktiviti luar.

MENDIDIK kanak-kanak bukan tugas mudah dan untuk jangka masa singkat sebaliknya bermula dalam kandungan sehingga ke akhir hayat.

Malah tidak dinafikan, kesinambungan zaman kanak-kanak yang memberangsangkan akan dapat dilihat apabila mencecah alam remaja dan dewasa.


Anak anugerah Allah yang tidak ternilai harganya, suatu bentuk amanah yang wajib dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya supaya membesar menjadi khalifah Allah yang berguna. Malangnya ramai tidak menyedari dan mengabaikan tanggungjawab itu.

  • Foto

    SABAR MENDIDIK...jika diasuh, kanak-kanak mampu menguruskan diri sendiri secara perlahan-lahan.

  • Foto

    PANTAU PERKEMBANGAN...Mama Sal sentiasa meluangkan masa melihat perkembangan kanak-kanak di tadika Anakku Comel.

  • Foto

    CURAHAN KASIH...Siti Salmah (kanan) menyayangi setiap anak kecil yang hadir dalam hidupnya biarpun tiada pertalian darah.

Kenyataan itu sedikit sebanyak mencuit hati dan perasaan pemilik dan pengusaha Pusat Penjagaan Kanak-kanak, Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Anakku Comel, Siti Salmah Ibrahim, 54, yang mempunyai sifat dan naluri keibuan yang sungguh mendalam dan menyayangi setiap anak kecil yang hadir dalam hidupnya biarpun tiada pertalian darah.


Baginya, anak-anak adalah kurniaan terlalu berharga dan seharusnya anugerah itu tidak dipersia-siakan kerana lahirnya ibarat sehelai kain putih.


Dia yang berpengalaman hampir 20 tahun di bidang ini, bagaimanapun tidak menafikan kesukaran mengasuh, mendidik, mengawal dan menjaga kanak-kanak yang bukan darah daging sendiri.

"Bukan mudah menjaga lebih 400 kanak-kanak bermula daripada bayi sehingga berusia 12 tahun kerana setiap seorang daripada mereka memiliki karektor berbeza.


"Anak-anak itu bukan darah daging kami di sini tetapi mereka adalah amanah sangat mulia yang perlu diberi perlindungan sepenuhnya."Justeru, setiap anak yang hadir dalam hidup kami diterima sebagai satu tanggungjawab dan menganggap si kecil itu sebagai anak kandung sendiri," katanya yang menjalankan operasi taska berkenaan di Kuantan, Pahang.


Walaupun jadualnya padat setiap hari, Siti Salmah tidak menjadikan kesibukannya sebagai alasan mengabaikan pusat asuhan di bawah seliaannya.


"Saya sentiasa membuat pemantauan di setiap premis Anakku Comel dari semasa ke semasa dan bermesyuarat dengan penyelia cawangan, pengasuh termasuk pemandu untuk mendapatkan maklum balas mengenai setiap pusat jagaan," katanya.


Dengan pelbagai isu membabitkan kemalangan, penderaan, keracunan makanan, mahupun kematian di pusat asuhan kanak-kanak, Siti Salmah sentiasa memberi nasihat kepada kakitangannya untuk bertugas sepenuh hati, sentiasa tenang dan sabar serta dalam situasi ceria dan gembira.


Dia juga sangat bersyukur kerana belum pernah tadika dan taskanya terkena tempias negatif itu.


Bagaimanapun, Siti Salmah akur ada ketikanya menerima leteran dan umpatan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan caranya mengendalikan kanak-kanak di situ.


"Saya akui, kanak-kanak berusia empat tahun, jika mereka diajar dan diasuh untuk menguruskan diri sendiri secara perlahan-lahan, mereka pasti dapat melakukannya.


"Tetapi ada ibu bapa yang enggan menerima peraturan itu dan mengandaikan anak mereka tidak perlu berbuat apa-apa selain dijaga dan diberi makan serta bermain.


"Ini dinamakan pendidikan awal kanak-kanak dan ibu bapa perlu akur dan jika tidak berminat, saya tidak menghalang mereka mengambil semula anak mereka daripada jagaan," katanya.


Bagaimanapun, dia sedia bekerjasama dengan ibu bapa jika ada masalah dan mencari jalan penyelesaian bagi mengelak timbul salah faham dan kekeliruan di masa akan datang.


"Walaupun penat memandu sehingga ke Universiti Malaysia Pahang di Kuala Pahang, saya tetap melakukannya kerana saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak jagaan saya.


"Saya berjaya terapkan nilai murni itu kepada kakitangan dan hasilnya ada di kalangan mereka yang kekal bekerja sejak zaman remaja sehingga berumah tangga," katanya yang mesra dengan panggilan Mama Sal di kalangan pelajar ciliknya.


Ibu kepada lima putera Hilmy Sazlin Abdul Aziz, 31, Hilffy Sazzyu, 28, Aifee Zaffan, 22, Zakwan Izzat, 19 dan Aiman Ikmal, 17, berkata kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah perlu diberi perhatian sewajarnya kerana peringkat umur itu penting dalam membentuk minda anak-anak.


"Perkara ini harus dipandang serius kerana kita bukan saja mahu menumpukan kepada pembangunan negara malah kepada pembangunan modal insan," katanya.


Siti Salmah yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska dan pengendali Pusat Jagaan Kuantan (Harmoni) berkata, ibu bapa perlu memberi perhatian sewajarnya kepada anak-anak supaya nasib mereka tidak terabai sebagaimana banyak kejadian malang menimpa golongan kanak-kanak yang masih belum memahami asam garam kehidupan.


"Dengan pelbagai kejadian menakutkan sejak akhir-akhir ini yang membabitkan kanak-kanak dan remaja, lebih baik ibu bapa membuat persediaan awal mengawal anak-anak dan memberi perhatian lebih kepada mereka.


"Kita tidak mahu peribahasa 'sudah jatuh baru tengadah' menguasai kehidupan kita dan ketika itu baru baru hendak menyesal," katanya yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.


Sesibuk mana pun tugasnya sebagai wanita berkerjaya, Siti Salmah tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawabnya kepada lima puteranya.


"Pendidikan anak-anak menjadi keutamaan dan saya sentiasa memberi perangsang dan dorongan untuk mereka berusaha sehingga menjadi individu berjaya," katanya.


Anak sulungnya adalah lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini bergelar peguam, kedua memilih kerjaya sebagai jurutera mekanikal dan ketiga bertugas sebagai akauntan.


"Anak keempat sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Mekatronik di Institut Jerman Malaysia (GMI) manakala yang bongsu bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim).


Sebagai pemilik pusat asuhan berpengalaman luas, Siti Salmah menasihatkan ibu bapa supaya bersikap lebih peka dalam soal memilih pusat asuhan kanak-kanak demi menjamin keselamatan anak ketika mereka keluar bekerja.


"Ibu bapa seharusnya memilih taska atau pusat jagaan yang diiktiraf Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan asuhan dan pendidikan awal yang diberikan lebih berkualiti selain terjamin selamat.


"Ini kerana kebanyakan ibu bapa biasanya memilih sesebuah taska itu atas faktor bayaran yurannya yang murah serta lokasi berhampiran rumah tanpa mengambil kira sama ada taska itu berdaftar dengan JKM atau tidak.


"Sebagai pengasuh, kita tidak boleh memandang ringan perkara ini malah mempunyai tanggungjawab besar dalam menjaga, mengasuh dan mendidik mereka," katanya.


Menurutnya, tugas pengasuh bukan saja memberi makan dan minum, malah perlu memberi asuhan, kasih sayang dan perhatian daripada semua aspek termasuk keselamatan dan kesihatan supaya anak-anak dapat membesar serta mengalami perkembangan menyeluruh.


"Setiap pengusaha taska dan pengasuh perlu mengikuti kursus JKM sebelum memohon untuk didaftarkan.


"Bukan itu saja, mereka perlu mengikuti kursus dan menjalani ujian sebelum diberi hak menjadi pengasuh atau membuka taska," katanya yang sentiasa berpenampilan menarik ketika bertugas.


Bersama kakitangan seramai 53 orang termasuk pemandu dan guru, Taska Anakku Comel semakin dikenali dan sehingga kini mempunyai 12 cawangan di Kuantan dan Pekan.


"Saya bersyukur kerana setiap halangan, cabaran dan rintangan berjaya ditempuh dengan jayanya walaupun pada peringkat awal penubuhan taska ini saya sering mengeluh kerana tiada pelajar berdaftar dengan kami.


"Ketika pertama kali dibuka, hanya tiga pelajar mendaftar tetapi saya tetap beroperasi kerana yakin, Allah sudah menetapkan rezeki untuk umat-Nya dan kita perlu berusaha mencarinya," katanya.


Selain beroperasi sebagai pusat jagaan kanak-kanak dan asuhan, Siti Salmah turut menyediakan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) bagi memudahkan ibu bapa menyediakan proses pembelajaran awal untuk si kecil mereka.


"Ia ibarat pusat jagaan setempat, sebaik saja anak-anak tiba di pusat jagaan seawal jam 7 pagi, kami akan uruskan segala keperluan mereka daripada A hingga Z. Ibu bapa hanya perlu mengambil anak mereka di sebelah petang atau menghantar mereka pulang ke rumah jika menggunakan pengangkutan di sini.


"Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana saya sudah terapkan nilai murni dan tanggungjawab sebenar kepada pengasuh dan kakitangan," katanya.


Sebagai pusat ilmu yang memberi pendidikan awal kanak-kanak, pusat pengajian awal ini menyediakan kelas bahasa Inggeris, Kelas Bacalah Anakku, modul pembelajaran harian, bacaan Iqra', aktiviti luar bilik darjah, kelas renang, celik komputer, kem motivasi dan majlis hari jadi.


"Dengan perkembangan dunia semakin laju dan ledakan sistem telekomunikasi hari ini, kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan tidak lagi sekadar dijaga, diberi makan dan minum mahupun tidur.


"Sebaliknya mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti bagi menjana minda positif dan persediaan memasuki alam persekolahan.


"Saya berbangga apabila ada kalangan kanak-kanak ini sudah boleh membaca dan mengaji dengan baik seawal usia empat tahun," katanya.


Mengenai cabaran dalam perniagaan, Siti Salmah mengakui tidak dapat mengelak mengenainya tetapi mempunyai kaedah tersendiri untuk menggalakkan ibu bapa mendapatkan perkhidmatan daripada pusat penjagaan terbaik.


"Bagaimanapun, persaingan tidak menggentarkan saya untuk terus berkembang maju di bidang ini sebaliknya sentiasa peka dalam mengharungi persaingan.


"Bagi menghadapi persaingan pada masa akan datang, saya sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dalam memberi perkhidmatan terbaik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: