BERJAYA...usahawan wanita yang mencipta nama dalam bidang perhubungan awam.
BUKAN mudah untuk mencuri masa dengan wanita ini kerana deretan temu janji menunggunya selain tuntutan kerja yang memaksanya terbang ke sana ke mari.
Namun, dengan bantuan staf syarikatnya, Ilya, masa emas wanita kecil molek ini berjaya dicuri untuk mengadakan sesi fotografi di pejabatnya baru-baru ini, selepas hampir tiga bulan mencuba.
Kesabaran itu nyata berbaloi kerana pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Salina & Associates PR Sdn Bhd, Selina Yeop Jr, 41, bukan calang-calang wanita.
Bagi mereka yang pertama kali bersua dengannya mungkin berpendapat wanita yang mengusahakan syarikat perhubungan awam ini kelihatan sukar untuk dihampiri.
"Saya amat terbuka terhadap seseorang dan ibu bapa mendidik kami semua untuk tidak menghakimi atau prejudis terhadap seseorang. "Mungkin sekali cara pembawaan dan penampilan diri membuatkan umum beranggapan saya susah didekati tetapi sebenarnya saya tidak sebegitu," katanya.
Pembabitannya dalam bidang perhubungan awam tidaklah dirancang walaupun dia mendapat pendidikan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pengiklanan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, awalnya, kerjaya dalam bidang kewangan korporat di sebuah syarikat persendirian menjadi pilihan tetapi pada masa sama, turut menyelia jabatan komunikasi korporat mereka.
Bertitik tolak daripada situ, dia mula merasakan bidang perhubungan awam mampu berkembang dan pergi jauh apatah lagi jika dia turut memanfaatkan pengetahuannya dalam bidang pengiklanan yang dipelajari."Selepas meletak jawatan, saya sedar masa depan sebenarnya terletak di bahu kita sendiri. Walaupun ketika itu boleh dikatakan masih baru dalam bidang ini, saya bulatkan tekad untuk membuka syarikat ini pada 2000.
"Alhamdulillah, selepas hampir 11 tahun beroperasi, syarikat ini makin kukuh dan terus mendapat kepercayaan daripada pelanggan," katanya.
Anak kelahiran Ipoh, Perak ini berkata, untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburinya sekarang seseorang itu mesti kreatif dan komited dengan tugas diamanahkan. Kreativiti penting untuk mencari pelbagai peluang selain mendapat tempat di hati pelanggan. Selain itu, Selina berkata, amat penting untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan orang ramai tanpa mengira bangsa dan jenis perniagaan yang mereka jalankan.
"Tidak rugi kita mengenali orang lain kerana ia juga umpama bonus bagi kita mengembangkan perniagaan sendiri.
"Jadi, prinsip 'pelanggan selalunya benar' perlu diamalkan oleh perunding perhubungan awam kerana ia adalah antara faktor untuk menawan hati pelanggan," katanya.
Baginya, rezeki ada di mana-mana. Persaingan perniagaan yang sihat merangsang seseorang itu untuk bekerja lebih keras bagi mencapai apa yang diimpikan. "Setiap bidang mempunyai persaingannya sendiri dan bagi saya, walaupun persaingan itu sengit, kita kena yakin pada kebolehan sendiri.
"Paling penting, kita kena memahami teknik untuk memasarkan perniagaan dan siapa yang sepatutnya kita hubungi untuk meluaskan empayar perniagaan," katanya.
Ibu kepada tiga anak lelaki ini berkata, seperti kebanyakan syarikat perhubungan awam lain, pihaknya turut berdepan dengan salah tanggapan antara khidmat perhubungan awam dan pengiklanan.
Justeru, pihaknya harus bijak membuat penilaian manakala setiap keputusan yang dibuat perlu rasional dan tidak berkompromi mengenai aspek integriti.
"Penilaian perlu dibuat secara menyeluruh dan perlu melihatnya daripada segi jangka masa panjang. Ini kerana mungkin tawaran yang kita berikan kepada pelanggan itu mampu membuahkan hasil yang baik dan menyerlahkan lagi kredibiliti firma ini.
"Jadi, kami perlu terlebih dulu mengukur keberkesanan serta berkongsi perbezaan perhubungan awam dan pengiklanan melalui rangkaian aktiviti perhubungan awam yang boleh dilaksanakan," katanya yang kini mempunyai lapan kakitangan tetap dan dua rakan sekutu perniagaan.
Sebagai ketua, Selina berpendapat, dia harus sentiasa memberikan motivasi kepada pekerja dengan berkongsi visi dan misi firma serta memastikan mereka adalah sebahagian daripadanya.
Jelasnya, bukan mudah untuk menjadi seorang ketua wanita yang baik kerana ia memerlukan sifat toleransi dan kesabaran yang tinggi bersama pekerja serta pelanggan.
"Manusia tidak semuanya sama dan kadang-kadang ada yang agak sukar untuk dibawa berbincang. Namun sebagai ketua, kita harus membuat keputusan secara praktikal dan bukan mengikut agenda peribadi," katanya.
Selina turut mengakui, kejayaan yang diraihnya hari ini adalah daripada inspirasi ibu, Datin Seri Faridah Abdullah dan ayahnya, Datuk Seri Yeop Junior, kerana mereka berdua yang memberi pengaruh paling banyak dalam hidupnya.
"Ayah banyak membentuk cara saya berfikir, menilai dan melihat sesuatu perkara dengan pandangan berbeza manakala ibu pula membesarkan kami tiga beradik dengan keunikan dua budaya iaitu Cina dan Melayu," katanya.
Meskipun sibuk menguruskan syarikat, Selina memastikan dapat meluangkan masa bersama keluarga terutama anak-anaknya. Dia sedaya upaya memastikan tidak menghadiri apa juga jemputan majlis di waktu malam secara berturut-turut kerana mahu menikmati makan malam bersama keluarga tersayang.
"Waktu makan malam memang penting buat saya kerana ketika itu saya dan suami berpeluang mengetahui aktiviti harian anak-anak.
"Pada hujung minggu pula, kami sekeluarga meluangkan masa melakukan aktiviti yang digemari anak-anak," katanya.
Selina mengakui amat bertegas mendidik anak-anak kerana mahukan anaknya berdisiplin dan mengetahui pengurusan masa yang betul.
"Mereka mempunyai jadual harian khusus yang membahagikan waktu antara bermain, belajar dan berehat. Sebagai ibu, saya mahu anak berdisiplin dan menghargai waktu dengan sebaiknya," katanya.
Sementara itu, dalam menjaga kesihatan, Selina percaya bahawa tiada jalan pendek untuk kekal menawan. Seseorang wanita itu harus sentiasa menjaga dan menitikberatkan aspek kecantikan yang merangkumi mental, fizikal dan rohani.
Dia pula kurang mengambil makanan berminyak dan mengawal pengambilan nasi.
"Saya memastikan makanan yang diambil adalah berkualiti dan merangkumi nutrisi yang diperlukan badan. Pengambilan pelbagai bijirin yang kaya dengan protein dan serat juga penting. "Memandangkan kami mempunyai darah Cina, saya juga amat menggemari sup," katanya.
Untuk kecantikan, Selina mengamalkan rejim penjagaan kulit asas iaitu membersih, menggunakan penyegar dan pelembap. Dia juga tidak berkompromi mengenai aspek kesihatan atau kecantikan lantas tidak ketinggalan memakai serum antipenuaan, serum pencerahan, masker, melakukan lulur wajah dua kali seminggu serta pengelupasan sebulan sekali.
"Bagi mengekalkan stamina dan kecergasan badan, saya sering mendaki, berlari, melakukan yoga serta kick boxing, bergantung kepada kesesuaian masa.
"Kesibukan dengan kerjaya dan keluarga bukan alasan untuk wanita meminggirkan aspek kesihatan dan kecantikan kerana kita memerlukan kedua-duanya," katanya yang meredakan tekanan dengan membaca buku bercorak motivasi.
>Profil:
NAMA: Selina Yeop Jr.
JAWATAN:
CEO Salina & Associates PR Sdn Bhd
Pemilik Face Factors (klinik astetik di Sri Hartamas)
UMUR: 41 tahun.
STATUS: Berkahwin, tiga anak lelaki.
PENDIDIKAN:
Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Southern Pacific, New York
Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan Universiti Teknologi Mara
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: