LEPAK...kumpulan remaja melepak di bangsal yang dijadikan tempat berkumpul dan menyimpan komponen motosikal.
TERBENGKALAI...kawasan medan selera yang terbengkalai dijadikan tempat remaja berkumpul dan menyimpan komponen motosikal.
AMPANG: Bingit dan mengganggu. Itu yang boleh dikatakan apabila jalan raya baru dibuka kepada orang ramai berhampiran sebuah pasar raya besar, dekat sini, bertukar ‘litar lumba’ sekumpulan lebih 40 Mat Rempit terutama setiap hujung minggu.
Penduduk di kawasan perumahan berdekatan mendakwa suasana bising deruman enjin motosikal itu yang berlarutan hingga jam 3 pagi mengganggu tidur mereka.
Penduduk, Ramli Othman, 37, berkata masalah itu berlarutan sejak lapan tahun lalu dan kumpulan remaja terbabit seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila tidak mempedulikan kehadiran mereka yang meronda di kawasan itu.
“Banyak laporan dibuat, tetapi sebaik saja rondaan selesai dijalankan, mereka akan mengerumuni kembali di tempat sama seperti tiada apa yang berlaku.
“Ada penduduk yang menegur kumpulan terbabit, namun tidak diendahkan, malah beberapa remaja mengekori kami hingga ke rumah menyebabkan penduduk berasa terancam dan takut untuk keluar pada waktu malam,” katanya.
Ramli berkata, lebih membimbangkan, kumpulan Mat Rempit itu disertai warga asing yang semakin bertambah daripada sehari ke sehari.
“Ada di antara mereka menjadi mekanik upahan kumpulan terbabit yang berlumba secara haram menyebabkan ramai remaja yang turut serta dengan mencecah sehingga 70 orang pada satu-satu masa.
“Saya juga dimaklum jiran, ada di kalangan Mat Rempit itu warga asing yang memiliki taraf penduduk tetap (PR).
“Keadaan ini menyebabkan penduduk tidak selesa apatah lagi mereka berlumba saban minggu yang menjadi hari untuk penduduk berehat bersama keluarga,” katanya.
Ramli turut mendakwa, ahli kumpulan itu terbabit aktiviti menghidu gam dengan menjadikan kawasan medan selera yang terbengkalai sebagai tempat melepas gian dan stor untuk menyimpan komponen motosikal yang digunakan untuk berlumba.“Penduduk di sini juga khuatir bangsal itu dijadikan tempat menyimpan motosikal curi kerana sejak kehadiran ‘jaguh lumba’ di kawasan itu, kes kecurian motosikal juga meningkat,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Umno Bahagian Pandan, Mejar (B) Mohd Iszeham Hamid, berkata pihaknya menerima banyak aduan penduduk di Pandan Prima, dekat sini, berhubung masalah ini dan akan mengadakan perbincangan dengan polis dalam masa terdekat.
“Kami sedia maklum dengan masalah yang dihadapi dan kebelakangan ini gejala terbabit semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan kegelisahan orang ramai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan di balai polis berdekatan jika mendapati kegiatan terbabit masih berlarutan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: