Friday, February 25, 2011

Bukan sekarang...Ana Raffali

pix_gal0
Kerjaya seni jadi keutamaan

TIADA perkahwinan tahun ini. Itu penjelasan Ana Raffali mengulas khabar angin yang menyatakan dia akan menamatkan zaman bujangnya akhir tahun ini.

Calon Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010) ini masih meletakkan kerjayanya dalam bidang seni sebagai keutamaan berbanding kepentingan peribadinya.
Tambahan pula, tanggungjawab terhadap keluarga yang membuatkannya serius melangkah ke dunia hiburan secara tidak langsung meletakkan diri gadis berusia 26 tahun itu dalam keadaan belum bersedia melangkah ke fasa seterusnya, walaupun mengakui ada insan istimewa bertakhta di hatinya.“Matlamat asal mahu membantu keluarga belum mencukupi. Tambahan pula saya bukan daripada keluarga senang. Ayah pesara manakala ibu hanya suri rumah. Banyak lagi yang perlu saya usahakan sebelum memikirkan fasa seterusnya dalam kehidupan.

“Sesiapa pun pasti ada perancangan untuk berkahwin, begitu juga saya. Namun rasanya bukan dalam waktu terdekat ini. Saya mahu membantu keluarga terlebih dulu,” katanya yang baru-baru ini menerima wang tunai RM35,000 hasil kejayaan sebagai penulis lagu, penulis lirik dan penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku pada Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25).

Walaupun awalnya enggan mengiyakan hati sudah dimiliki, selepas lama berbual baru dia mengakui mempunyai teman istimewa yang sudah lama mengenalinya.
“Dia lebih kepada teman karib yang ada sisi saya sejak dulu lagi, ketika saya tidak punya apa-apa. Ya, dia menyokong dan memahami keutamaan saya pada masa ini,” kata pemilik nama sebenar Ana Nur Hidayah Mohd Raffali itu saat ditanya soal teman istimewa.
Tambahnya lagi, bukan niat mahu menyembunyikan kekasih atau enggan berkongsi soal hati, namun pihak pengurusan ‘menasihatkannya’ untuk lebih banyak berbicara perihal kerjaya, bukan memperbesar-besarkan cerita berbaur peribadi.

Sebak dengan sokongan peminat

ANA tidak melupakan hajat mengadakan kenduri kesyukuran di atas kemenangan yang diraih dengan memilih Mac ini bagi meraikan mereka yang sentiasa menyokongnya, dengan menganjurkan dua majlis.

“Sebenarnya saya segan memanggil mereka peminat. Mereka ialah penyokong yang membuatkan saya mampu berdiri di sini. Saya mahu berkongsi rezeki ini dengan mereka yang sentiasa mempercayai bakat saya. Ini tanda terima kasih saya buat semua.

“Saya mahu buat dua majlis sebab berharap tiada yang tertinggal atau berkecil hati,” katanya yang bercadang melancarkan kelab penyokongnya, Ana Raffali & The Marhains pada majlis terbabit.

Hingga kini, menerusi laman sosial Facebook, dirinya sudah mengumpul 142,000 rakan malah sejak memenangi AJL 25, setiap minggu bilangan pengikut (fanpage) meningkat hampir 5,000 orang setiap minggu.

“Saya mahu mengekalkan nama The Marhains iaitu nama kumpulan pengiring saya sejak dulu kerana marhain membawa maksud rakyat dan merekalah yang menyokong saya hingga kini.

“Penyokong yang tidak mempunyai akaun sosial juga ramai. Di sebalik ramai yang mengkritik dan komen negatif, ramai juga yang datang kepada saya dan meminta saya bersabar. Itu juga penguat semangat hingga membuatkan saya sebak,” katanya lagi.

Tegas Ana, walau sejarah kemenangannya masih diungkit dengan kata-kata mencalar rasa, gadis itu enggan menganggap ia sebagai halangan sebaliknya melihat semua itu sebagai cabaran untuk meneruskan langkah jitu.

Bercerita soal projek terbaru, anak jati Kuala Lumpur itu bakal muncul dengan single terbaru Sehabis Baik yang juga menjadi lagu tema filem arahan Othman Hafsham, Karipap-Karipap Cinta.

“Lagu ini mempunyai nilai sentimental buat saya. Ia berkait rapat dengan pengalaman sepanjang AJL25. Ia adalah luahan hati saya terhadap segala yang berlaku sebaik saja menyertai anugerah ini,” katanya penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: