Tuesday, February 8, 2011

Penyatuan hati Raj, Mei




LATAR belakang kehidupan Subaraj Rajasekaran, 31, atau mesra disapa sebagai Raj Wong, Shuk Mei, 28, atau Mei sudah ditakdir berbeza sejak mereka lahir ke dunia. Raj yang dibesarkan di Segamat, Johor merupakan penganut agama Hindu manakala Mei menganut agama Buddha dibesarkan di Kota Bharu, Kelantan.

Tetapi, ia bukanlah halangan untuk pasangan yang melayari alam percintaan selama tujuh tahun itu untuk mendalami budaya dan adat pasangan masing-masing. Pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka bulan Januari lalu bakal disatukan di jinjang pelamin pada 18 Februari ini.

“Ramai yang tidak percaya kami akan berkahwin selepas bercinta terlalu lama tetapi kami membuktikan perhubungan kami bertambah mesra dan erat,” kata Raj pada satu pertemuan di studio Utusan baru-baru ini.

Justeru, tidak hairanlah pasangan tersebut memilih Tahun Arnab yang dikatakan tahun yang baik bagi mereka yang ingin berumah tangga. Raj memberitahu, walaupun dia tidak berpegang teguh kepada kepercayaan itu, ia dilaksanakan bagi menghormati kepercayaan keluarga isterinya.

“Agama Hindu dan Buddha ada persamaan terutama mengenai tahun yang baik untuk melangsungkan perkahwinan. Sehubungan itu, saya tidak berasa janggal untuk melaksanakan permintaan keluarga isteri untuk melangsungkan perkahwinan pada Tahun Arnab.

“Selain menyenangkan hati kedua-dua belah keluarga, ia merupakan permulaan yang baik untuk berkahwin pada Tahun Arnab kerana ia dipercayai membawa kebahagiaan kepada pasangan yang berkahwin pada tahun ini,” katanya.

Mei memberitahu, Raj melamarnya pada tahun 2009 tetapi rancangan untuk melangsungkan perkahwinan ditetapkan pada tahun ini bagi mengambil keberkatan Tahun Arnab.

“Tahun lalu adalah Tahun Harimau. Bagi masyarakat Cina dan penganut Buddha, ia merupakan tahun pantang untuk melangsungkan perkahwinan. Bapa saya juga tidak bersetuju sekiranya kami melangsungkan perkahwinan pada tahun lalu.

“Tahun Harimau dikatakan tahun yang dipenuhi kesukaran dan mengundang suasana yang tidak begitu baik. Tetapi Tahun Arnab pula adalah tahun yang baik untuk melangsungkan perkahwinan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Raj, perkahwinan mereka tidak diaturkan oleh keputusan sebelah keluarga sahaja. Perkahwinan mereka bakal diraikan dalam tiga majlis iaitu mengikut perkahwinan India dan Cina yang akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan, dekat kuil di Petaling Jaya dan di Kelab Golf Subang.


RAJ melamar Mei dua tahun lalu di pantai Port Dickson sebagai suri hatinya.


“Perkahwinan campur memerlukan toleransi dan penerimaan kedua-dua budaya dan kepercayaan yang diamalkan. Tetapi kini, banyak perkahwinan campur berlaku di Malaysia dan masyarakat menerima penyatuan budaya ini dengan baik,” katanya.

Lintas budaya

Mengimbau detik perkenalan, Raj dan Mei merupakan rakan sepejabat di Asia Assistance, Petaling Jaya selama setahun sebelum Mei berpindah tempat kerja. Raj masih bekerja di syarikat yang sama sebagai pengurus operasi manakala Mei merupakan seorang eksekutif di CIMB Viva.

“Pada peringkat awal percintaan, kami juga bimbang untuk memberitahu keluarga masing-masing tetapi saya terlebih dahulu memperkenalkan Mei kepada ibu bapa saya dan mereka menerima kehadirannya dengan baik walaupun bapa saya agak terkejut pada mulanya,” kata Raj.

Mei memberitahu, hanya bapa dan adiknya sahaja yang mengetahui tentang hubungannya dengan Raj, manakala ahli keluarga yang lain hanya mengetahuinya selepas Raj melamarnya dua tahun lalu.

“Keluarga saya menerima Raj dengan baik tetapi masalah yang timbul ketika itu ialah masalah komunikasi kerana ibu bapa saya tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris kerana mereka lebih banyak bercakap dalam dialek Kelantan,” katanya.

Begitupun, Raj dan Mei berasa terharu kerana kedua-dua buah keluarga dapat mengatasi masalah itu walaupun ibu bapa Raj tidak begitu fasih berbahasa Melayu dan lebih banyak berbahasa Inggeris.

“Ketika pertemuan keluarga diadakan, kedua-dua belah keluarga menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi. Kami cepat menjadi mesra. Ia merupakan peristiwa yang tidak dapat dilupakan,” kata Raj.

Dilahirkan dalam dua budaya dan adat yang jauh berbeza, Raj dan Mei tidak menjadikannya sebagai halangan kerana mereka memilih untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa wujud perasaan prejudis.

Persamaan yang mereka miliki, akui Raj ialah penerimaan kepada kepercayaan masing-masing tetapi hidup dalam bertoleransi. Justeru, dalam perkahwinan mereka dua buah majlis bakal diadakan dalam dua suasana budaya yang berbeza.

“Saya akui sukar memenangi hati Mei pada mulanya, mungkin disebabkan perbezaan budaya dan kepercayaan, lebih-lebih lagi Mei tidak pernah mempunyai teman lelaki berlainan kaum.

“Sedangkan, saya pernah mempunyai teman wanita kaum Cina jadi saya sudah terbiasa dengan budaya yang berlainan,” katanya.

Selepas bertahun-tahun bersama, barulah mereka terbuka sepenuhnya mengenai hubungan tersebut dengan keluarga masing-masing terutama keluarga Mei.

“Apa yang membuatkan saya tertarik dan menerima Raj ialah kasih sayangnya yang membuatkan saya sering tersentuh dan percaya dialah lelaki terbaik buat saya.

“Malah, semasa Raj melamar saya di pantai Port Dickson dua tahun lalu saya kehilangan kata-kata sehingga dia terpaksa mengulangi lamarannya sekali lagi,” ujar Mei berseloroh.

Raj turut menyenangi sikap positif Mei yang membuatkan perhubungan mereka lebih mesra saban tahun.

“Kebanyakan hubungan semakin hambar setiap tahun tetapi Mei mempunyai keistimewaan kerana dia sentiasa mahu menggembirakan hati semua orang. Disebabkan itu, sehingga kini hubungan kami penuh dengan gelak tawa dan senda gurauan.

“Perkara ini membuatkan ada di kalangan teman yang berasa pelik kerana setiap tahun, hubungan kami bertambah erat dan lebih menghargai pasangan,” kata Raj.

Raj juga tidak sukar mendalami budaya masyarakat Cina kerana dia dibesarkan dalam persekitaran masyarakat berbilang kaum dan mempunyai ramai rakan daripada kaum Cina.


MEI (kanan) dan Raj mengakui perkahwinan dua budaya memerlukan toleransi daripada kedua-dua belah pihak.


“Saya tidak mempunyai isu kepercayaan malah menghormati budaya kaum lain. Malah, saya juga tahu serba sedikit dialek Kantonis dan tidak mempunyai masalah mengikut pantang larang mereka,” katanya.

Dalam pada itu, mengikut kalendar Cina, Tahun Naga yang bakal berlangsung tahun hadapan dikatakan tahun yang baik untuk menimang cahaya mata. Tetapi Raj dan Mei tidak tergesa-gesa untuk menambah bilangan ahli keluarga.

“Kami belum mempunyai perancangan ke arah itu (mempunyai anak). Ia mungkin menjadi salah satu perancangan kami selepas melangsungkan perkahwinan tetapi belum ditetapkan bila. Kami mahu menikmati perkahwinan ini terlebih dahulu,” kata Mei.

Raj pula menambah, mereka mungkin mempunyai masalah apabila memiliki cahaya mata iaitu memilih nama yang sesuai.

“Kami pernah berbincang mengenai perkara ini dan belum membuat keputusan sama ada memilih nama mengikut nama saya atau isteri. Tetapi Mei mahukan nama anak yang canggih-canggih,” ujarnya berseloroh.

Tahun untuk berkahwin

Tahun Arnab adalah tahun yang sinonim dengan hubungan cinta dan kasih sayang, kata pakar feng shui dari Good Feng Shui Geomantic Centre, Kenny Hoo.

Menurut beliau, pada Tahun Arnab, cinta bertebaran di udara dan ramai akan mengambil kesempatan itu untuk mendirikan rumah tangga atau memulakan sesuatu perhubungan.

“Saya percaya tahun ini ramai pasangan akan mendirikan rumah tangga bagi mengambil keberkatan Tahun Arnab selepas melalui Tahun Harimau yang merupakan tahun sukar dan pantang bagi masyarakat Cina untuk melangsungkan perkahwinan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, menurut kalendar Cina, Tahun Arnab bukanlah satu-satunya tahun yang baik untuk melangsungkan perkahwinan.

“Selain Tahun Arnab, Tahun Kuda dan Tahun Ayam Jantan juga merupakan tahun yang baik untuk melangsungkan perkahwinan.

“Walaupun ada yang mengatakan Tahun Naga baik untuk menimang anak selepas melangsungkan perkahwinan pada Tahun Arnab, ia hanyalah kepercayaan umum,” katanya.

Selain itu, mereka yang paling sesuai melangsungkan perkahwinan pada Tahun Arnab adalah mereka yang lahir terutamanya pada Tahun Anjing.

“Mereka yang lahir pada Tahun Harimau dan Tahun Kuda juga sesuai melangsungkan perkahwinan pada Tahun Arnab mengikut kepercayaan masyarakat Cina,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: