KERAJAAN Filipina giat menjadikan kawasan lapang di sekolah-sekolah menengah sebagai kebun sayur dalam usaha untuk menangani masalah ketagihan makanan ringan dari Amerika Syarikat (AS). Isu itu dipercayai menjadi punca kepada masalah kesihatan di kalangan warga Filipina.
Pada satu pameran projek makanan kesihatan di salah sebuah sekolah di Manila, para pelajar dan guru dibantu oleh ibu bapa menyemai benih pelbagai sayur-sayuran.
Setiap inci kawasan tanah terbiar di sekolah itu digunakan untuk menanam sayuran hijau yang dituai mengikut kitaran untuk diagih-agihkan kepada pelajar miskin atau dijual untuk menampung kehidupan mereka.
Di kawasan yang tidak bertanah, kaedah berkebun secara hidroponik diaplikasikan. Penggunaan botol plastik yang dikerat menjadi asas utama dengan balang air digantung secara simetri.
"Ia menakjubkan kerana banyak perkara yang anda boleh lakukan dengan menggunakan sedikit pembaharuan dan imaginasi," kata Pengetua Sekolah Rendah Paranaque Sentral, Edita Baggayan, 65, sambil tangannya ligat memeriksa buah tomato di dalam rumah hijau mini.
"Kanak-kanak diajar mengenai khasiat pemakanan yang seimbang dan kami mengajak ibu bapa untuk turut serta kerana mahu mendidik mereka supaya menjauhi amalan memakan makanan ringan."
Tidak jauh dari situ, kelihatan beberapa pelajar lelaki berseluar khaki sibuk mencabut rumput dan menyiram hasil sayur yang bakal dituai seperti bendi, terung dan daun moringa.
Terdapat batas untuk kobis, pokok buah yang menjalar dan labu air yang sering digunakan dalam kebanyakan makanan tradisional Filipina. Ia menjadi makanan pertama yang akan habis di meja makan dan makanan segera.
Brokoli dan kobis bunga merupakan tumbuhan yang akhir sekali dituai tetapi ia tetap tumbuh untuk musim kedua, kata Baggayan.
Tinjauan mendapati, para pelajar begitu berselera menikmati sup sayur ayam ketika makan tengah hari dengan sebahagian daripada mereka menambah juadah tersebut.
Pakar pemakanan dan masakan sekolah, Dulce Aranda memberitahu, program tersebut mempunyai kesan yang mendalam.
Tuai sayuran sendiri
Katanya, 100 daripada kanak-kanak yang kurang nutrisi merupakan antara 3,000 pelajar yang dipilih untuk program pemakanan menggunakan sayur-sayuran yang dituai sendiri sejak inisiatif itu dilancarkan tahun lalu.
"Carta kami menunjukkan mereka kini lebih sihat, lebih fokus dan menonjol di sekolah. Kami berharap mereka akan berterusan seperti itu hingga dewasa. Terlalu ramai orang yang sihat," jelas Aranda.
Restoran makanan segera memang sedia wujud di Filipina berbanding di Amerika Syarikat (AS). Makanan segera menguasai negara-negara Asia Tenggara dari zaman kolonial sejak tahun 1898.
Filipina dikenali sebagai negara yang mempunyai rangkaian restoran makanan segera buatan sendiri di bandar ketika banyak jenama makanan segera AS kian berkembang di situ.
Di rumah, beras masih lagi menjadi makanan ruji mereka tetapi makanan sampingan digoreng dengan menggunakan minyak yang banyak.
Ekoran itu, penyakit seperti hipertensi dan diabetes menghantui golongan dewasa terutama mereka yang berumur antara 20-an hingga 40-an, sekali gus memberi sumber kekayaan kepada firma ubat-ubatan.
"Kini semuanya berasaskan makanan segera dan makanan yang diproses," kata pengarah perubatan ubat-ubatan Perancis Sanofi Aventis di Manila, Dr. Carmela Pagunsan.
"Kita mempunyai tabiat makanan yang buruk dan cara hidup yang banyak duduk. Ibu bapa dan anak-anak mereka tidak lagi keluar untuk melakukan aktiviti riadah, tidak makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
|
|
"Jika anda ke pasar raya, anda akan melihat terlalu ramai kanak-kanak dan remaja yang obes. Mereka tidak dilatih untuk cergas dan mempunyai diet yang terkawal."
Masalah itu telah menjadi budaya warga Filipina yang cenderung menambah makanan bergaram, berlemak dan makanan manis lebih-lebih lagi ketika musim perayaan dan sambutan tertentu.
Kajian yang dilakukan oleh kerajaan Filipina pada tahun 2009 menunjukkan, 27 peratus orang dewasa obes manakala 25 peratus lagi mengalami hipertensi.
"Ia suatu peningkatan yang tidak dijangka dalam pemerhatian saya. Ramai orang tidak mengetahui mereka menghidap hipertensi, tidak tahu ubat yang mereka perlukan dan tidak berjumpa doktor.
"Akibat tidak didiagnosis, mereka tidak mempunyai sebarang paksaan untuk mengawal cara hidup tanpa menyedari komplikasi yang wujud," kata Pagunsan.
Syarikatnya memasarkan lima ubat-ubatan antihipertensi kepada penduduk tempatan di samping menjual ubat-ubatan oral dan insulin untuk penghidap diabetes.
"Pasaran hipertensi masih lagi berkembang," kata Pagunsan yang menambah jumlah ibu bapa yang memohon ubat untuk hipertensi akibat keturunan semakin meningkat di Filipina.
Jabatan Pelajaran melancarkan projek sayur-sayuran tahun lalu. Mereka berharap kejayaan yang dicapai di sekolah di Paranaque dan lain-lain di serata Manila akan melahirkan generasi baru Filipina yang menyedari tentang pentingnya kesihatan.
Kata Pagunsan, projek itu pernah dikritik tetapi ia memerlukan masa yang panjang untuk mengubah pemikiran rakyat Filipina.
"Kesedaran awam mengenai masalah masih lagi berada di kedudukan rendah dan pertengahan. Mereka secara amnya sedar tetapi tidak mahu berbuat sesuatu mengenainya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: