Thursday, February 17, 2011

Pengorbanan Fouziah Gous


Pelakon utama Kala Terbit Cinta, (dari kiri) Rozie Rashid, Riezman Khuzaimi dan Fouziah Gous.


PROFIL lakonan si jelita yang cukup sinonim dengan imej berambut panjang mengurai, Fouziah Gous semakin terserlah akhir-akhir ini.

Ini menggambarkan betapa dirinya semakin bijak memilih watak yang bersesuaian dengan kematangan pengalaman lakonannya berbanding awal kemunculannya dahulu.

Seiring dengan kematangan pembabitannya di bidang lakonan, Fouziah menjelaskan kini masanya sudah tiba untuk dia meneliti skrip lakonan yang ditawarkan kepadanya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Ini bukan bererti si jelita yang kini berusia 28 tahun semakin besar kepala atau memilih watak. Tetapi baginya, sebagai pelakon dia wajar mencari kepuasan berlakon untuk membuktikan kemampuan diri.

Terbaru, Fouziah melakonkan watak Juliana dalam rantaian 12 episod terbaru, terbitan Global Station, Kala Terbit Cinta yang bersiaran setiap Rabu sehingga Jumaat di rangkaian stesen televisyen AlHijrah pada pukul 8.30 malam.

Selain Fouziah, pelakon lain yang turut menjayakan siri tersebut ialah Adi Putra, Azam Pitt, Riezman Khuzaimi dan Rozie Rashid.

Berbeza dengan watak yang pernah dilakonkan olehnya sebelum ini, Fouziah kali ini sedia menurut syarat yang ditetapkan oleh stesen tersebut untuk mengenakan hijab.

Tidak kekok mahupun berasa janggal, dia yang sudah biasa memperagakan pelbagai fesyen tudung di awal pembabitan seninya tidak lama dahulu menggunakan pengalaman tersebut sebagai satu kelebihan.

Bertemu si jelita ini pada sesi penggambaran drama tersebut di Taman Ampang Utama, Selangor baru-baru ini menjelaskan, kepuasan yang di terimanya kali ini amat berbeza.

"Kebetulan ketika menerima tawaran berlakon drama ini saya turut ditawarkan berlakon drama dari sebuah stesen TV lain.

"Memang tidak dinafikan kedua-duanya menarik hati tetapi saya harus berkorban demi melebarkan sayap saya ke stesyen TV lain.

"Syarat-syarat ketat yang dikenakan kepada pelakon oleh AlHIjrah menarik minat dan rasanya saya tidak salah pilih.

"Saya harap pengorbanan ini berbaloi demi masa depan saya," kata Fouziah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: