Thursday, February 17, 2011

Pasdec taja 4,375 akhbar Utusan Malaysia di lima sekolah


GOH Song Han (tiga dari kiri) menyampaikan tajaan akhbar Utusan Malaysia kepada Teo Sook Mooi (lima dari kanan) di Kuantan, semalam. Turut sama, Eksekutif Pemasaran Utusan Zon Pahang, Omar Ibrahim (kiri) dan Ketua Biro Utusan Pahang, Yusri Sahat (dua kiri).


KUANTAN 16 Feb. - Syarikat hartanah, Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) menaja sebanyak 4,375 naskhah akhbar Utusan Malaysia kepada empat sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di daerah ini dan Temerloh.

Kelima-lima sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Setongkol, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Semambu dan SK Balok Baru di sini serta SK Paya Pulai di Temerloh.

Sebuah lagi adalah Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Tanjung Lumpur, di sini.

Majlis sumbangan akhbar tersebut dilancarkan di dua sekolah di sini iaitu SJKC Semambu dan SK Bukit Setongkol.

Pada majlis di SJKC Semambu, Naib Presiden Kanan Sumber Korporat Pasdec, Goh Song Han menyampaikan 25 naskhah akhbar Utusan Malaysia kepada Guru Besar sekolah itu, Teo Sook Mooi.

Berucap pada majlis itu, Song Han berkata, tajaan akhbar tersebut dilakukan pada setiap Rabu selama 35 minggu kepada murid-murid tahun empat hingga enam.

Ini kerana, kata beliau, pada hari tersebut, akhbar Utusan Malaysia mewujudkan sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) yang sangat bermanfaat untuk dijadikan rujukan kepada murid-murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

''Sisipan itu sangat berguna kepada murid-murid untuk meningkatkan pemahaman dalam subjek Bahasa Malaysia," jelasnya.

Sumbangan tersebut, tambahnya, merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan oleh Pasdec kepada masyarakat.

Sook Mooi pula berkata, sumbangan akhbar itu dapat memupuk semangat membaca di kalangan murid-murid selain meningkatkan kemahiran dalam penguasaan bahasa Melayu.

Beliau yakin menerusi sumbangan tersebut, prestasi murid-murid sekolah itu dalam subjek Bahasa Malaysia dapat dipertingkatkan terutama kepada calon UPSR.

Pada satu lagi majlis sumbangan, Guru Besar SK Bukit Setongkol, Roslan Ramli berkata, pihaknya amat berharap sumbangan syarikat korporat dalam meningkatkan lagi prestasi pencapaian murid-murid yang bakal menduduki UPSR tidak lama lagi.

Beliau juga yakin menerusi sumbangan itu, sasaran seramai 30 murid sekolah itu mendapat 5A dalam UPSR tahun ini akan tercapai.

''Pada tahun lalu, seramai 20 murid mendapat 5A dalam UPSR iaitu meningkat seramai empat orang berbanding 16 murid pada 2009," jelasnya.

Menerusi pembacaan akhbar juga, tambahnya, murid-murid dapat meningkatkan pengetahuan am mereka berhubung isu-isu yang berlaku di dalam dan luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: