|
|
KEHADIRAN penyanyi evergreen, Sohaimi Mior Hassan di majlis perasmian Kempen Kami Prihatin Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Mantin, Negeri Sembilan hari ini, ternyata akan memeriahkan suasana apabila Sohaimi menyampaikan lagu popularnya Kalau Berpacaran.
Kemunculan Sohaimi berduet dengan Heliza Helmi (penyanyi asalnya, Ana Raffali) mendendangkan lagu yang sarat dengan mesej dan pengajaran untuk golongan muda khususnya remaja itu bukan sekadar hiburan kosong.
Sebaliknya, lagu tersebut terkandung mesej positif untuk difikir dan dinilai oleh para pelatih PLKN yang rata-ratanya terdiri daripada golongan remaja.
Selain Sohaimi, Kempen Kami Prihatin yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut diserikan dengan persembahan Aizat & The Band.
Menurut Sohaimi, beliau menghasilkan lagu dan lirik Kalau Berpacaran, khas untuk tiga orang anak perempuannya dan golongan remaja amnya.
"Lagu itu ada mesej yang ingin saya sampaikan kepada kumpulan sasar iaitu remaja di luar sana. Liriknya bukan sekadar satu pesanan dan nasihat tetapi juga mengingatkan remaja supaya sentiasa menjaga adab dan sopan," katanya ketika dihubungi Hits baru-baru ini.
Beliau berkata, sekiranya ada yang berpandangan lagu tersebut adalah sebuah lagu penyelamat remaja, beliau tidak menafikannnya bahkan merasa bangga kerana lagu itu dapat diterima pendengar.
"Ketika mencipta melodi dan lirik Kalau Berpacaran, ia bukan ditulis secara sembrono. Tetapi dengan niat mendidik golongan muda supaya sentiasa mendukung nilai dan adab sopan supaya tidak menconteng arang di muka keluarga," kata Sohaimi yang gembira dapat hadir di majlis perasmian Kempen Kami Prihatin di Kem PLKN Sri Perkasa, Mantin, Negeri Sembilan.
Kempen tersebut yang dianjurkan oleh pihak kementerian dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia, Astro dan Karyawan.
Sementara itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat KPWKM, Alice Suriati Mazlan berkata, selain lagu tema Harapan Tanpa Suara, Kalau Berpacaran nyanyian Sohaimi dan Heliza dipilih sempena Kempen Kami Prihatin PLKN kerana ia amat dekat di jiwa remaja.
"Lagu itu secara tidak langsung dapat membentuk sikap positif dalam aspek kesihatan reproduktif dan sosial di kalangan remaja.
"Lagu tersebut sarat dengan pengajaran kerana ia dilihat dapat membentuk golongan remaja supaya berakhlak, bertanggung jawab dan mampu mengukuhkan jati diri.
"Menerusi Kempen Kami Prihatin kita mahu memberitahu golongan muda tentang masalah anak yang tidak sah taraf, di samping menerangkan kepada golongan remaja mengapa gejala sosial seperti ini boleh timbul," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: