Sunday, February 6, 2011

Pejabat bak galeri seni


Bangunan berusia 30 tahun itu diberi nafas baru yang lebih kontemporari namun dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri nostalgia


KEINDAHAN sesebuah ruang bukan diukur dari sudut usia. Lama tidak bererti buruk, baru bukan penentu menawan.

Hanya perlu diberi sedikit sentuhan, ia mampu mengubah sesebuah ruang menjadi lebih segar dan tak jemu mata memandang. Begitu transformasi yang dialami Menara Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF) yang terletak di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Bangunan berusia 30 tahun itu diberi nafas baru yang lebih kontemporari namun dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri nostalgia. Sebagai sebuah struktur yang berdiri kukuh di kawasan segitiga emas ibu kota, pastinya perubahan itu sesuatu yang bersifat positif apatah lagi membawa imej sebuah badan korporat yang disegani.

Ketua Pegawai Operasi (COO), Azizi Mustafa berkata, proses mengubah suai bangunan tersebut mengambil masa sekitar dua tahun dan siap sepenuhnya pada tahun lalu.

"Selain ruang pejabat, bilik mesyuarat, surau dan dewan seminar, kami juga melakukan pengubahsuaian dengan menambah beberapa ruang baru seperti perpustakaan, staf lounge dan bilik rekreasi yang menempatkan gimnasium dan pelbagai jenis permainan.

Ruang

"Bangunan ini juga disewa oleh sebuah klinik persendirian, kedai serbaneka dan Swiss Oven Cafe di tingkat bawah, malah kami masih mempunyai beberapa ruang untuk disewa," kata beliau.

Melantik Quill Design sebagai pereka, MIDF turut membentuk satu pasukan khas memantau proses pengubahsuaian dengan diketuai oleh Azizi sendiri.

Daripada perubahan luar bangunan yang kini lebih kelihatan moden, hingga ke ruang dalam diberi perincian teliti setiap sudut. Lobi bangunan menempatkan ruang penyambut tetamu berlatar belakang koleksi foto-foto peribadi MIDF. Kolam ikan koi yang menempatkan pasu-pasu rustik, mengalirkan air jernih menyerikan suasana.

Perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara MIDF dengan Universiti Teknologi Mara (Uitm) dalam mempromosikan hasil sentuhan pelajarnya memberi kelebihan untuk bangunan pejabat itu berubah seakan sebuah galeri seni.

Pelbagai jenis lukisan dan arca pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dari Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah dipersembahkan untuk tatapan umum di setiap sudut. Bukan sekadar menjamu mata pengunjung, hasil kerja tangan tersebut turut dijual seandainya ada yang berminat.

Bilik-bilik mesyuarat yang ditempatkan di tingkat 18 berkonsepkan negeri-negeri dan tempat di Malaysia. Sarawak misalnya sebagai sebuah negeri yang paling besar dinamakan pada bilik mesyuarat yang bersaiz sedemikian dan turut dilengkapi lukisan motif negeri tersebut.

Sebuah meja lama besar ketika era Tun Dr. Ismail (1980-an) lagi menarik perhatian. Menurut Azizi, meja tersebut asalnya sangat unik kerana ia ditukang di dalam bilik yang menempatkannya ketika itu. Proses pemindahannya sahaja menjadi sangat rumit kerana ia perlu dileraikan terlebih dahulu dan kemudian dipasang semula kerana saiznya yang besar.

Bilik Kuala Lumpur menarik perhatian kerana ia menempatkan lukisan sekumpulan anak muda moden pelbagai gaya. Bilik menunggu pula diberi nama pulau-pulau peranginan seperti Langkawi, Tioman, Pangkor dan Redang. Pemilihan perabot bergaya kontemporari dan urban menjadikan ruang itu kelihatan sangat menawan.

Turun kembali ke aras satu, boleh dikatakan ruang tersebut sebagai apresiasi kepada pekerja MIDF yang setia untuk merehatkan diri daripada tekanan kerja. Letih dan penat usai kerja atau antara waktu kerja, menghabiskan masa bersama teman di situ pastinya mampu merapatkan hubungan sesama mereka.

Bawa diri ke pusat rekreasi yang dilengkapi mesin treadmills dan basikal, juga meja ping pong, meja pool, mesin foosball dan papan dart. Di sebelahnya terletak sebuah perpustakaan dan pusat sumber. Sebuah ruang baru diberi nama staf lounge sesuai untuk pekerja menikmati hidangan atau sekadar berbual. Menyediakan air percuma, ruang itu diberi sentuhan segar dengan pemandangan terbuka jalan di belakang bangunan.

Turun kembali ke aras paling bawah menempatkan sebuah dewan seminar besar, Dewan Permata (menampung hingga 800 tetamu atau 30 meja untuk makan malam) yang boleh diubah menjadi lima buah bilik bersaiz sederhana. Juga sebuah surau di sebelahnya yang mendapat sentuhan kreatif Inai Design turut menyerlah suasana.

Secara keseluruhan, padanan bijak antara dekorasi moden dan himpunan karya seni di Menara MIDF menjadikan bangunan itu tak ubah seperti sebuah galeri yang menarik perhatian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: