Sunday, February 6, 2011

Pilihlah tekstil yang anda suka


Pilihan tekstil yang ditawarkan di Pasar Mayestik, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan amat murah dan berbaloi.


TIDAK ada sebab untuk mudah menyalahkan para suami di Malaysia seandainya isteri mereka menyatakan hasrat untuk datang ke Indonesia.

Para suami wajar bimbang kerana seandainya dibiarkan si isteri datang ke Indonesia, jawabnya orang rumah mereka akan 'kelemasan' sama ada di pusat-pusat beli-belah mega mahupun di pasar-pasar kecil yang menawarkan pelbagai pilihan buat mereka.

Tinggalkan kaum wanita seharian di situ sekali pun mereka akan 'hidup' kerana membeli-belah di Indonesia sebetulnya sangat menyenangkan.

Pilihan yang ada cukup luas mencakupi barang kegunaan harian seperti pakaian, pinggang mangkuk, kelengkapan perkahwinan dan sebagainya.

Justeru, tidak hairanlah kenapa sehingga ke hari ini, Indonesia menjadi persinggahan utama segenap lapisan rakyat Malaysia untuk membeli-belah selain sebagai destinasi percutian.

Selama ini juga di kalangan rakyat Malaysia, Bandung sering menjadi pilihan kerana di sana banyak benar pilihan pakaian selain harganya yang cukup menawan.

Sama ada sedar atau tidak, Pasar Mayestik di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan juga menjadi pilihan kebanyakan pelancong Malaysia.

Berada di pasar menjual pelbagai jenis tekstil yang diimport dari pelbagai negara di seluruh dunia itu boleh membuatkan penggemar tekstil mahu menghabiskan masa seharian di sana.

Hanya untuk tempoh singkat ketika berkunjung ke pasar berkenaan baru-baru ini, penulis dapat mengesahkan bahawa suami-suami di Malaysia memang tidak wajar untuk disalahkan andai tidak menggalakkan isteri mereka membeli-belah di Indonesia.

Kaum wanita di situ (terdiri daripada orang Malaysia dan Indonesia) cukup ralit membeli-belah sehingga ada yang duduk bersila kerana jurujual akan datang membawa satu persatu kain ela untuk ditunjukkan kepada mereka.

Pilihan tekstil yang ditawarkan di sini amat murah dan amat berbaloi buat mereka yang menggemari jenis kain seperti sutera, linen, cotton dan sebagainya.

Bahkan, bagi bakal pengantin baru, Pasar Mayestik harus dijadikan keutamaan buat anda jika mahu mencari material bagi dijadikan kain untuk persalinan di hari bahagia nanti.

Renda

Sebut saja apa jenis renda, dari mana renda itu diimport, apa saiz dan macam-macam lagi, semuanya ada. Yang perlu dibimbangkan sebelum ke pasar berkenaan ialah apakah wang saku mencukupi untuk berbelanja.

Ada lebih daripada 10 kedai tekstil besar yang memberikan pilihan berkenaan sementara rata-rata usahawan tekstil di pasar berkenaan terdiri daripada peniaga berketurunan India dan mereka mewarisi perniagaan daripada datuk atau ayah masing-masing.

Namun, dengan wajah peranakan usahawan-usahawan berkenaan ditambah kefasihan bertutur dalam bahasa Indonesia (kerana sudah lama menetap atau dilahirkan di Indonesia) menyebabkan anda senang sekali berurusan dengan mereka.

"Orang Malaysia memang suka membeli-belah di sini. Saya juga pada awalnya agak terkejut melihat kuasa membeli rakyat Malaysia. Tapi saya percaya, mereka mampu berbuat demikian. Jadi, saya amat senang sekali untuk berurusan dengan mereka," kata Vishal Topandasani salah seorang usahawan tekstil ketika ditemui di kedai Fancy Textile yang diusahakannya di pasar berkenaan.

Usahawan yang cukup peramah dan mudah didekati itu memberitahu, selama ini rakyat Malaysia hanya terfikir untuk membeli-belah di Bandung sehingga terlupa bahawa Jakarta juga menawarkan banyak pilihan buat mereka.

"Sebenarnya, kain yang dijual di Pasar Mayestik juga jauh lebih murah di tempat lain. Tetapi kerana promosi tiket kapal terbang yang murah ke Bandung dari Kuala Lumpur menyebabkan ramai yang terlepas pandang di Jakarta," ujar Vishal yang sebelum temu bual tidak menang tangan membantu kakitangannya melayan pelanggan yang tidak putus-putus berkunjung ke gedungnya yang sudah bertapak selama 23 tahun di situ

Bagi Vishal, kunjungan rakyat Malaysia ke Pasar Mayestik amat dialu-alukan kerana teman dari negara jiran itu berkongsi minat, selera dan budaya yang sama dan langsung tidak menyukarkan urusniaga.

Bahkan, di Pasar Mayestik khususnya di Fancy Textile, banyak sekali pereka fesyen dan ahli perniagaan yang datang mendapatkan bekalan untuk dipasarkan di Malaysia.

Jangan tidak tahu, ada juga usahawan dari Malaysia yang pernah datang ke pasar-pasar tekstil sebegini di Indonesia dan berurusan dengan peniaga di sini secara eksklusif di luar waktu perniagaan.

Kerana hubungan yang baik sesama mereka, urusniaga dibuat selepas waktu perniagaan dan kedai itu dibuka khusus untuk 'pelanggan-pelanggan eksklusif' saja.

Ketika itu, usahawan atau pereka fesyen dari Malaysia boleh membuat urusniaga untuk membeli secara pukal dan sebagainya. Layanan yang diterima pula, jangan sesekali dirisaukan kerana tauke tekstil ini semuanya berpegang kepada prinsip mempercayai orang Malaysia.

Sistem urusniaga berkenaan bagi ahli perniagaan seperti Vishal memberikan pulangan yang positif kepada kedua-dua negara selain akan terus membantu memelihara hubungan adik beradik antara Malaysia dan Indonesia.

"Pernah saya berurusan dengan seorang pereka fesyen dari Malaysia berlandaskan kejujuran dan kepercayaan. Sehingga hari ini, kami sangat akrab dan sentiasa menawarkan ruang perniagaan sesama kami," jelas Vishal yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan tekstilnya di Malaysia pada masa depan.

Bagi kaum lelaki khususnya ahli-ahli perniagaan yang sering memerlukan pakaian rasmi seperti persalinan suit, di sini juga adalah tempat paling ideal untuk menempahnya.

Pilihan kain untuk suit juga disediakan dan sebut saja potongan apa yang diminati, semuanya bisa diuruskan di Pasar Mayestik!

Pendek kata Pasar Mayestik adalah destinasi yang cukup sesuai untuk suami dan isteri.

Elok benarlah ketentuan itu. Kalau sudah suami isteri sampai ke Pasar Mayestik maknanya kedua-duanya pula harus saling menasihati antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: