HIDUP berkeluarga ibarat sepohon pokok rendang, punya dedaun hijau, ranting kecil dan besar, dan yang penting pangkal pokok yang menjadi paksi kepada seluruh ahli keluarga berpaut.
Pun begitu dalam sebatang pokok tidak semua rantingnya kukuh dan boleh berpaut. Ada kala ia akan reput dan patah begitu sahaja.
Ada kalanya juga, dedaun yang hijau menjadi kering dan gugur ke bumi.
Namun yang pasti, pangkal pokok sebagai paksi tentunya tetap kukuh dan tegak berdiri untuk terus memayungi dahan, dedaun dan ranting yang masih bertahan.
Begitulah juga ikatan keluarga yang bagaikan pepatah, air di cincang tidak akan putus, sebusuk-busuk daging, dibakar, di cicah dan dimamah juga.
Itulah keserasian hidup berkeluarga, saling bergantung antara satu sama lain sarat dengan rasa tanggungjawab, kasih sayang dan membantu di kala suka mahupun berduka.
Itulah yang ingin saya kongsi dengan anda pembaca minggu ini. Kisah Perhimpunan Keluarga Besar Warisan Haji Md. Noor Ya'akob, yang telah berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 5 Februari lalu.
Cuti panjang sempena Tahun Baru China baru-baru ini menjadi sejarah kepada kami anak cucu Warisan Keturunan Keluarga Md. Noor Ya'acob dan Noriah Abdul Rahman kerana dapat berhimpun beramai-ramai merealisasikan rancangan yang telah bertahun-tahun tertangguh.
Syukur kepada Allah SWT kerana hajat untuk mengadakan perhimpunan ini sempurna dilangsungkan dalam suasana sayu, hiba dan gembira.
Kehadiran hampir 150 keluarga generasi pertama hingga ke empat Md. Noor Ya'akob sudah mencukupi untuk membawa kami anak cucu cicitnya menghayati satu kisah sejarah yang amat unik.
Semuanya bermula pada hari raya tahun lalu, ketika saya dan sepupu-sepupu bertemu dan berbincang untuk mengadakan perhimpunan keluarga ini setelah kaji selidik mengenai salasilah keturunan Md. Noor dilakukan dengan menemu bual beberapa saudara mara warga emas berusia 70 tahun ke atas.
Dengan sokongan bapa dan ibu saudara, Ahmad Dahaman, Shamtaefah, Jamaluddin dan lain-lain usaha ini dipanjangkan kepada seluruh ahli keluarga di seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas mereka.
Sebuah laman web yang diuruskan oleh sepupu saya, Saiful Yazan berjaya di wujudkan. Alhamdulillah, usaha itu mendatangkan hasil. Hampir 300 ahli keluarga mendaftar menyokong usaha murni kami.
Dalam tempoh dua bulan maklumat dan data keluarga serta fakta mengenai salasilah Md. Noor berjaya di kumpul.
Majlis yang dinamakan, Perhimpunan Keluarga Besar Warisan Haji Md. Noor dan Hajah Noriah berlangsung di banglo Nadwah Ilmu, Taman Mahkota, Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah.
Biarpun jumlah yang hadir tidak sepenuhnya kerana masing-masing ada komitmen yang perlu dipenuhi, kami bersyukur kerana ia mendapat sambutan.
Seawal 8 pagi 5 Februari, ahli keluarga mula sampai dan mendaftar diri. Dimulai dengan bacaan doa oleh Ahmad Dahaman, kemudian ucapan aluan Pengerusi majlis, Jamaluddin, kami di bawa kembali untuk mengingatkan tentang datuk dan moyang yang telah kembali menghadap Ilahi melalui tayangan multimedia generasi ke generasi.
Kecuali tiga orang, kesemua ahli keluarga generasi pertama hadir.
Selesai perasmian, sukaneka kanak-kanak mengambil tempat. Semua yang masuk, dapat hadiah, tidak kira menang atau kalau. Yang paling kalut adalah ibu bapa mereka yang menjerit memberi sokongan kepada anak masing-masing.
Makan tengah hari kami amat istimewa, lauk kampung diselikan dengan ikan keli goreng panas dan ayam golek bakar dicicah air asam.
Selesai makan tengah hari, majlis tahlil dan doa selamat diadakan setelah solat Zuhur disempurnakan oleh seluruh ahli keluarga.
Terasa amat sayu
Terasa amat sayu saat ini. Ramai yang menitiskan air mata kerana terkenangkan moyang, datuk, nenek dan keluarga yang telah dijemput Ilahi.
Sebelah petang acara sukaneka dewasa mengambil tempat. Bayangkan 'kalutnya' apabila yang dewasa tidak mendengar kata dan asyik 'mengelat' untuk menang.
Pendek kata semua yang datang membawa pulang hadiah dan cabutan bertuah serta doorgift. Bukan hadiah yang direbut tetapi suasana meriah untuk sama-sama bergembira tambahan pula sepanjang sukaneka berjalan, char koe teow panas, rojak buah dan air batu campur menjadikan kami semua tidak senang duduk.
Mengenali arwah datuk saya, Md. Noor adalah seorang pesara guru yang dilahir dan dibesarkan di Pekan Langgar, Alor Setar, kedah. Moyang saya, Ya'akob seorang penghulu di Mukim Langgar satu ketika dulu.
Arwah mendapat pendidikan di Sekolah kebangsaan Langgar dan melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung, Malim, Perak.
Arwah datuk saya juga adalah anak jati Langgar yang pertama belajar di luar dari negeri Kedah dan berkelulusan tinggi ketika itu.
Arwah pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Derga, Sekolah Kebangsaan Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan Kanchut dan Sekolah Kebangsaan Mergong sehingga bersara pada awal tahun 1960-an ketika saya berada di tahun 4.
Arwah juga hebat dalam kehidupannya kerana beristeri empat, isteri pertama Noriah Abdul Rahman dan mereka dikurniakan 10 orang anak termasuk ibu saya, Rona sebagai anak sulung. Anak-anaknya Bahari (meninggal dunia), Siti Zainab, Shamtaefah, Jamalaudin, Mutalib, Siti Aishah, Nawawi, Asari dan Jamil.
Pernikahan dengan Saadiah said dikurniakan dua orang anak, Rodziah dan Md Salleh sementara bersama Bibi Fatimah dikurniakan dua anak perempuan, Rabiah dan Raudzah sementara bersama isteri keempat, Solehah Mat dikurniakan seorang anak perempuan bernama Kalsom.
Biarpun berpoligami, kehidupan arwah datuk saya sangat aman. Seingat saya, kami anak cucunya boleh berkunjung kesemua rumah nenek-nenek kami tanpa halangan.
Malah yang saya amat merasa sayu dan hiba apabila mengenangkan sampai saat ini, kami amat menyayangi ibu-ibu saudara dan bapa saudara berlainan ibu kepada arwah datuk kami.
Arwah datuk saya Md. Noor juga seorang bapa yang tegas dan garang. Kesemua anak-anaknya diberi pendidikan setinggi yang mampu kecuali ibu saya yang mengikut cakap bapanya dan tidak bersekolah.
Namun saya bersyukur biarpun tidak bersekolah ibu saya mampu menjaga dan memberi kasih sayang dan menjadi tempat adik-adiknya menumpang kasih sehingga ke hari ini.
Tiga orang ibu saudara saya, Zainab, Shamtaefah dan Siti Aishah menerima pendidikan di sekolah Inggeris dan berjaya sebagai pendidik walaupun ketika itu apabila anak gadis bersekolah Inggeris mereka akan dicemuh dan dihina.
Apa pun sebagai cucu saya amat berbangga dan kagum dengan ketabahan datuk saya memberi pendidikan dan kasih sayang kepada seluruh ahli keluarganya.
Bayangkan, dengan empat isteri dan 15 anak arwah telah meninggalkan warisan yang cukup berharga untuk kami semua, cucu dan cicitnya yang kini telah mencecah hampir 170 orang.
Saya bersyukur kerana perhimpunan yang berlangsung semakin mendekatkan kami dengan adik-beradik lain. Jika dulu hanya mendengar nama dan cerita, hari itu kami bersuka muka dan mengenali antara satu sama lain.
Saya berharap permulaan perhimpunan ini akan lebih menyedarkan kaum keluarga saya erti kasih sayang dan ikatan keluarga yang cukup bermakna. Sakit demam, suka duka, biarlah sama ditanggung.
Semoga keakraban dan kekuatan ini berterusan selagi hayat di kandung badan. Salam
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: