Monday, February 14, 2011

Pasangan terbaik

  • Foto

  • Foto

Calon Anugerah Seri Angkasa ini tidak berpura-pura apabila berbicara soal rumah tangga

DI sebalik wajah serius serta perwatakan Fauzi Nawawi yang tampak kasar, sebenarnya dirinya dipenuhi sikap humor seperti diperakui teman terdekat serta isteri tercinta, Lisdawati.Karektor semula jadi bapa kepada dua cahaya mata hasil perkongsian hidup mereka, yang sebelum ini sering ditonjolkan sebagai antagonis membuatkan khalayak lebih nampak sifat garang berbanding sisi halusnya.
Tidak hairan dek perwatakan yang gila-gila itu, ada di kalangan pengarah sudah mula menawarkannya watak komedi - sesuatu yang belum pernah ditonjolkan sebelum ini!

Apakah Fauzi sudah muak atau puas membawakan watak jahat? Atau sudah tiba masanya tampil bersama imej baru selepas menyandang gelaran Aktor Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin, baru-baru ini?

“Hakikatnya tiada apa yang perlu saya buktikan. Cuma sebagai pelakon saya perlu mencabar diri. Kebetulan selepas tampil dengan pelbagai watak antagonis, baru tahun ini ada beberapa penerbit menawarkan watak komedi.

“Barangkali mereka juga mahu melihat saya dalam sisi berbeza selepas puas menyaksikan lakonan saya sebagai samseng, suami pendera, anak derhaka dan sebagainya,” kata lelaki yang bakal tampil dalam telefilem komedi, Masak Lemak Cili Api.
Menggayakan kemeja rona merah berkotak ditemani si isteri yang selesa dengan jeans dan blaus putih, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada September 2007 itu cukup bersahaja tatkala diminta beraksi di hadapan kamera.

Sudah tentu pengalaman sepanjang berada dalam program Sehati Berdansa musim dua yang menyaksikan mereka bergelar juara bukan hanya menyemarakkan lagi ikatan suci, malah turut menyuntik keyakinan supaya percaya terhadap kebolehan diri.

Bagi Fauzi yang aktif sebagai pereka seni pertarungan dan pelakon lagak ngeri itu, biar ditawar watak apa pun dirinya akan berusaha menonjolkan hasil cemerlang, malah sekali pun meraih gelaran Aktor Terbaik menerusi Sebelum Akhirat baru-baru ini, tidak terdetik di hatinya untuk bermegah-megah.

“Bukan mudah untuk menagih kepercayaan orang dan kemenangan pada Anugerah Skrin pula ialah satu rahmat. Apa-apa pun, diri saya masih seperti dulu. Mendapat trofi itu antara mandat supaya saya berusaha lebih gigih. Tiada istilah ‘demand’ atau tarik harga apabila berjaya menggenggam trofi.

“Sebagai pelakon sepenuh masa, inilah periuk nasi saya. Apabila sudah berkeluarga, kebajikan isteri dan anak-anak berada di tangga teratas. Jika saya tidak bekerja, bagaimana dengan mereka? Malah sebagai ketua keluarga, saya perlu menabung untuk masa depan pendidikan anak,” katanya ditanya soal gelaran yang baru diterima.

Dedah Fauzi lagi, telefilem Sebelum Akhirat yang turut merangkul anugerah Pengarah Terbaik untuk Murali Abdullah itu turut meninggalkan kesan dalam hidupnya supaya sentiasa ingat kepada balasan Tuhan, malah ia nyata kisah yang sangat menginsafkan.

“Digigit lipan, tercicir dompet ketika mahu membeli persalinan untuk watak Mubarak - ceti haram dan along, selain seakan melihat diri saya sendiri dalam keadaan tersenyum di hujung katil tatkala terjaga dari tidur bagai peringatan untuk saya tidak lupa bumi dipijak,” katanya lagi yang turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010.

Lisda hanya mengangguk tanda mengiyakan kenyataan Fauzi. Sesekali senyuman manis dilemparkan kepada si suami saat mata mereka bertaut.

'Tiada lakonan dalam hubungan'

TATKALA diaju soalan, katanya sebagai insan yang rapat dengan lelaki itu, tidak dinafikan dirinya bahagia dikurniakan teman hidup yang penyayang dan memahami, sekali pun di luar sana banyak suara sumbang yang meragui kemesraan mereka.

“Biarlah... Kerana mulut orang tidak boleh ditutup. Barangkali orang bercakap sebab kami selalu tidak bersama. Hendak tergelak pun ada apabila terdengar cerita tak masuk akal. Prinsip kami suami isteri senang saja, tiada lakonan dalam hubungan! Beginilah hubungan kami yang sebenar,” katanya yang asyik tertawa apabila kerap disakat Fauzi.

Akui Lisda, mereka kini juga jarang ditawarkan berlakon di bawah satu penerbitan sama. Hakikatnya, dia tiada masalah untuk beraksi dengan suami kerana sebelum mendirikan rumah tangga mereka sudah kerap bergandingan di lokasi.

“Masa awal kahwin dulu mungkin terasa sikit apabila suami menegur lakonan kita. Tetapi bila difikirkan balik, insan terdekat dalam hidup kita tentu saja individu paling tulus untuk mengkritik. Ada bagusnya kita mempunyai teman yang sedia mengeluarkan pendapat tidak kira baik atau buruk, demi mempertingkatkan mutu lakonan,” katanya yang turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada ASA 2010 menerusi telefilem sama.

Malam kemuncak ASA 2010 yang turut mengiktiraf hasil kerja untuk TV dan radio akan berlangsung pada 19 Februari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), manakala sehari sebelumnya diadakan majlis penyampaian trofi untuk kategori sampingan.

Mengenai pencalonan, masing-masing enggan meletakkan sasaran walaupun Sebelum Akhirat dicalonkan dalam enam kategori kerana berpendapat drama terbabit sudah berjaya apabila mampu meninggalkan kesan di kalangan penonton.

Sementara itu, Lisda kini berdebar menanti tarikh 25 Februari apabila buat pertama kali akan mengerjakan umrah, pada masa yang sama menjalani penggambaran Dia Bukan Maryam terbitan Global Station untuk siaran TV9 ini yang mengambil lokasi di Makkah.

Rombongan diketuai Erma Fatima selaku pengarah itu turut disertai Siti Shahrizah (Eja) dan Fahrin Ahmad. Mereka dijangka berada di sana kira-kira dua minggu.

“Saya bersyukur diundang menjayakan drama ini, seterusnya mengerjakan umrah. Sebelum ini pun sudah ada perancangan untuk ke sana tetapi belum ada rezeki. Saya harap diberi kesihatan yang baik untuk menyelesaikan penggambaran dan menjalani ibadat terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: