Monday, February 14, 2011

Wakil tunggal Malaysia ke Kazakhstan


Wakil Prism, Ong Peng Chu (kiri sekali) bersama ibu bapa Shila yang turut serta.


SABAN hari menantikan peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa, baru-baru ini penyanyi yang cukup popular dengan lagu Memori Tercipta membuktikan yang dia memang layak diangkat ke tempat tinggi.

Bukan mendabik dada dengan peluang yang terhidang di depan mata, tetapi Shila Amzah ada sebab untuk berbangga apabila berpeluang berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi hebat dari seluruh dunia baru-baru ini.

Dia yang baru sahaja selesai mengadakan persembahan sempena Asian Winter Games kali ketujuh di Astana, Kazakhstan cukup teruja apabila lagu berbahasa Melayu berkumandang di negara tersebut.

Menjejakkan kaki ke Astana mulai 30 Januari hingga 5 Februari yang lalu, anak sulung kepada empat beradik ini cukup teruja.

Penampilan untuk ke sekian kalinya di pentas antarabangsa cukup dinantikan apatah lagi membuka jalan yang cukup luas pada masa hadapan.

Dia yang dipilih oleh Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) yang juga merupakan agensi yang bertanggungjawab mengutip royalti persembahan artis di tempat awam.

Bertemu anak kepada penyanyi ND Lala baru-baru ini, pelbagai cerita menarik yang sempat dikongsikan bersama dengan Pancaindera.

“Memang Shila berbangga apabila berpeluang membawa nama negara ke pentas dunia. Semuanya hebat-hebat merupakan wakil dari negara-negara besar yang lain.

“Perasaan gementar tu memang ada. Cuma Shila bertuah sebab dah selalu terlibat dalam pelbagai pertandingan. Jadi Shila lebih fokus untuk menghiburkan penonton yang hadir.

“Tapi di sana cuaca sangat sejuk. Suhu pada siang hari -25 darjah celsius dan pada sebelah malam mencecah -40 darjah celsius. Memang sangat sejuk.

“Bila sampai saja sana, Shila alami batuk-batuk. Alhamdulillah, ia tidak mengganggu persembahan Shila pada masa itu,” katanya lagi.

Saat melihat persembahan wakil negara lain, ternyata mereka juga merupakan penyanyi yang hebat kerana mampu memukau hadirin yang datang.

Kata Duta Safi Balqis ini lagi, di pentas ini juga dia kembali berjumpa dengan rakan lamanya dari negara Kahzakstan yang pernah sama-sama bertanding dalam pertandingan Penang Shanghai World Star Quest..

“Memang Shila ada kenal dengan kumpulan Rin’go ni sejak menyertai pertandingan pada tahun 2008 yang lalu. Bila Shila hubungi mereka untuk ke sana, mereka langsung tak balas.

“Tapi bila sampai sahaja di sana, rupa-rupanya mereka pun turut sama membuat persembahan. Saja nak buat kejutan untuk Shila.

“Wakil Indonesia pun tak kurang hebat juga. Bila dah duduk di sana hampir lapan hari, dah jadi kawan baik. Dia penyanyi baru kelahiran Indonesia yang cukup hebat.

“Shila memang seronok bila dapat menyertai pertandingan di luar negara. Lepas ni memang banyak lagi pertandingan yang mahu Shila sertai pada masa hadapan.” jelasnya lagi.

Berkunjung ke negara orang cukup mengujakan buat gadis manis ini. Dia melihat Astana merupakan satu bandar yang cukup unik terutama melihatkan deretan bangunan yang bercirikan seni bina campuran.

Hampir lapan jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kazakhstan, Astana merupakan salah satu bandar yang sering kali menjadi tumpuan pelancong.

Hanya memiliki keluasan bandar lebih kurang 722 kilometer persegi, bandar cantik ini hanya didiami tidak sampai sejuta penduduk yang rata-rata didiami oleh pelbagai bangsa campuran termasuklah penduduk Kazakhstan, Ukrain, Russia dan Jerman yang sudah menetap sejak dahulu lagi.

Paling terkesan, sudah pasti melihatkan deretan masjid yang cukup banyak di sekitar bandar menjadikan rombongan yang disertai ibu dan bapanya tambah menarik.

Tiga Suara

BERCERITA lanjut mengenai karier seni yang semakin berkembang, Shila cukup teruja apabila sudah menghasilkan album 3 Suara yang menggabungkan dirinya bersama dengan Ning Baizura dan Jaclyn Victor.

Album yang akan dilancarkan pada 23 Februari ini bagaikan menyambung “nyawa” kepada dirinya yang sudah sekian lama tidak muncul dengan produk terbaru.

Paling membanggakan apabila namanya terpilih di untuk merealisasikan impian untuk bekerjasama dengan nama-nama besar yang lain.

Projek khas istimewa atas pelawaan seorang lelaki yang cukup berminat dengan industri muzik tempatan itu mencipta sejarah apabila kesemua lagu yang terkandung dalam album itu menyatukan vokal mantap ketiga-tiga mereka.

“Ada 10 lagu yang terkandung dalam album itu dan banyak perkara menarik yang boleh dikongsi bersama.

“Bayangkan kami hanya mengambil masa kurang seminggu untuk merakamkan suara yang dipantau oleh komposer hebat dari Indonesia yang pernah menghasilkan lagu Januari nyanyian Glen Fredly.

“Yalah, selama ini belum pernah Shila buat secepat ini. Memang satu pengalaman baru yang cukup menarik bagi diri Shila,” ujarnya.

Tidak mahu terus meratap kecewa dengan album Bebaskan yang menemui kegagalan, dia cukup optimis untuk menghasilkan album kedua tidak lama lagi.

Dia yang bernaung di bawah pengurusan 8Unit ini sudah mempunyai bakat mencipta lagu yang akan dimuatkan dalam album barunya yang mendapat sentuhan kreatif komposer Aubrey Suwito.

“Memang Shila ada tulis dan cipta lagu sebelum ini. Ada lebih kurang 20 lagu yang telah Shila serahkan pada Aubrey untuk dinilai seterusnya dimuatkan dalam album itu nanti.

“Kalau boleh memang Shila mahu album ini berjaya setelah album sebelum ini kurang sambutan. Kalau kita patah semangat, kita tak akan ke mana-mana.

“Jadi lebih baik Shila tumpukan pada pembikinan album baru nanti. Mudah-mudahan orang akan nampak bakat yang ada dalam diri Shila,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: