Monday, February 14, 2011

Johor: Atap kuarters bersejarah dicuri

 PENDUDUK melihat genting yang dikumpulkan di tepi Jambatan Parit Sulong.
PENDUDUK melihat genting yang dikumpulkan di tepi Jambatan Parit Sulong.
Penduduk Parit Sulong mahu warisan sejarah dipulihara

BATU PAHAT: Pihak tidak bertanggungjawab dikesan cuba mencuri barangan di kuarters tinggalan bersejarah yang dipercayai pernah menempatkan anggota tentera ketika Perang Dunia Kedua ketika Tanah Melayu diserang tentera Jepun di Parit Sulong, dekat sini dengan menjual kayu dan atap genting yang masih elok.Perbuatan berkenaan dikesan penduduk setempat yang ternampak sekumpulan lima lelaki mula mengumpul atap genting dan menanggalkan kuda-kuda bangunan itu dan apabila ditegur, lelaki berkenaan mendakwa mendapat kelulusan tetapi gagal menunjukkan dokumen bagi membuktikan dakwaan mereka.
Kuarters berkenaan dipercayai menempatkan tentera British dan Australia ketika Perang Dunia Kedua, malah ia juga pernah dijadikan markas tentera Jepun selepas tertera bersekutu ditumpaskan ketika perang berkenaan.

Lokasi bersejarah itu bukan saja diketahui penduduk tempatan, malah menjadi acara tahunan bagi keluarga tentera Australia yang terkorban, datang memberikan penghormatan di kawasan berkenaan dengan menaburkan bunga di atas jambatan.

Penduduk, Baharudin Puteh, 47, berkata beliau melihat lima lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an sejak petang Jumaat lalu, memunggah dan mengumpul atap genting bangunan bersejarah itu ke tanah lapang berhampiran jalan besar bersebelahan jambatan Parit Sulong.

Beliau yang hairan dengan perbuatan kumpulan berkenaan terus bertanya kepada ketua kumpulan itu dan lelaki itu mendakwa dia diarahkan sebuah jabatan kerajaan untuk merobohkan meleraikan bangunan itu.
“Saya tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan kerana ia adalah tapak bersejarah dan mustahil ada orang mengarahkan ia dileraikan sebaliknya ia sepatutnya dipulihara.

“Saya kemudian meminta lelaki berkenaan menunjukkan bukti dokumen berkaitan, namun dia gagal berbuat demikian sebelum menghilangkan diri bersama rakannya tidak lama kemudian.

“Tapak kuarters kerajaan itu adalah warisan sejarah Parit Sulong dan penduduk membesar dengan mendengar pelbagai cerita menarik terutama ketika Perang Dunia Kedua, jadi saya tidak faham kenapa pula ia hendak dileraikan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Penduduk, Mohd Hanafi Sowarni, 22, berkata penduduk dibesarkan dengan cerita sejarah betapa tentera British, Australia dan dibantu tentera Melayu meletupkan jambatan dan berjuang bagi melambatkan kemaraan tentera Jepun ke Johor Bahru.

“Semua peninggalan lain hilang dan bukti cerita itu hanyalah kuarters berkenaan bersebelahan tapak balai polis yang sudah pun musnah ditelan zaman. Namun, ada pula pihak yang mengambil kesempatan ingin mengaut keuntungan dengan menjual kayu dan genting bangunan itu.

“Berikutan itu, saya berharap pihak berkuasa akan memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian ini berulang.

“Jika bangunan itu dipulihkan, saya rasa lebih ramai pelancong luar negara yang akan datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Yong Peng, Zulkurnain Kamisan ketika dihubungi berkata, sebelum ini pihaknya ada meminta peruntukan bagi memulihara bangunan bersejarah itu.

“Nilai sejarah bangunan bersejarah ini terlalu tinggi untuk dibiarkan saya berharap, pihak berkuasa akan mengambil langkah bagi memulihkannya sekali gus menjadikannya sebagai lokasi pelancongan Parit Sulong,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: