Saturday, February 19, 2011

Sertai Cuba Skuba untuk keluarga esok


Program Cuba Skuba esok akan turut menjemput ibu bapa mencuba pengenalan selam skuba yang membolehkan mereka meneruskan ke kursus Open Water jika berminat.


SELEPAS berjaya mengadakan program pengenalan selam skuba 'Cuba Skuba' untuk kanak-kanak di kolam renang PJ Palms, Petaling Jaya Ahad lalu, sekali lagi Kelab Skuba Water Kids akan mengadakan program yang sama di lokasi yang sama esok bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Namun kali ini, Water Kids akan turut menjemput ibu bapa yang masih tidak mempunyai lesen selam skuba untuk turut serta dengan anak-anak mereka dalam program Cuba Skuba.

Jika minggu lepas mereka hanya melihat sahaja dari atas, kali ini Water Kids akan membawa jurulatih Open Water untuk turut sama memberi tunjuk ajar kepada ibu bapa yang berminat untuk mengetahui mengenai selam skuba.

"Jika sebelum ini ibu bapa kanak-kanak yang menyertai program Cuba Skuba kami hanya melihat dari atas, kali ini kami merasakan mereka juga boleh turut serta dalam program itu sama seperti anak-anak mereka.

"Mereka juga akan mengikuti kelas penerangan yang sama dengan anak-anak mereka cuma peralatan yang mereka gunakan adalah untuk orang dewasa.

"Menariknya, jika mereka okey dengan Cuba Skuba, mereka boleh meneruskan untuk mengambil lesen selam skuba Open Water yang kami turut anjurkan," kata jurulatih Water Kids, Faizal Jamat.

Malah menurut Faizal, bukan hanya ibu bapa kanak-kanak sahaja boleh menyertai Cuba Skuba tetapi mereka yang dewasa dan berminat untuk mengetahui apa itu selam skuba boleh turut menyertainya.

Namun, Water Kids menurut Faizal tetap menumpukan usaha untuk memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menjadikan selam skuba sebagai hobi.

"Apa yang kami mahu ialah generasi muda diperkenalkan dengan hobi ini yang sedikit sebanyak akan membantu mereka meningkatkan keyakinan diri bila berada di dalam air," katanya.

Untuk itu, jika mana-mana keluarga yang berminat untuk menyertai program Cuba Skuba untuk keluarga yang bermula pukul 10 pagi, sila daftarkan diri di buzzme@waterkids.info dengan melawat www.waterkids.info atau menghubungi 013-2520109.

Setiap peserta tidak kira kanak-kanak atau dewasa akan dikenakan bayaran RM160 seorang yang merangkumi penerangan mengenai selam skuba dan pengunaan kolam dan peralatan selam skuba.

Bagi mereka yang hanya mahu bersuka ria di kolam PJ Palms, setiap orang akan dikenakan bayaran RM5 sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: