ERAT...hubungan baik memudahkan perjalanan salun.
PENDORONG...bersama suami, pasangan ini rajin berkonvoi dengan bermotosikal di waktu petang.
SUSAHNYA mencari salun memotong rambut wanita sahaja. Semuanya uniseks!
Memang ada tetapi jumlahnya sangat kecil. Hendak mencari, sukar sekali. Baik salun bukan Islam ataupun Islam, uniseks pendekatan utama tuan punya salun. Kononnya untuk mendapat lebih pelanggan.
Di alaf baru ini, semakin ramai pengguna Islam yang menyedari tuntutan agama. Sebenarnya salun khas wanita terutama untuk memotong rambut sangat didambakan kerana ada yang terpaksa memotong sendiri rambut mereka di rumah.
Ada juga yang meminta ahli keluarga membantu walaupun ahli keluarga itu langsung tiada ilmu di bidang itu.
"Apabila rambut panjang, suami terpaksa memotong rambut saya kerana itu jalan yang terbaik. Saya tidak mahu bercampur baur di salun dengan lelaki. Kita pula perlu membuka tudung ketika itu," kata seorang teman sambil mengeluh.
Sebenarnya dia hendak sangat memotong rambutnya di salun kerana mahu gaya yang lebih cantik dan juga diurut-urut kepalanya. Namun apakan daya, sekiranya ada cuma di kampungnya.
Penulis sendiri terpaksa mengambil kesempatan ketika pulang bercuti ke Kuala Kangsar, Perak untuk memotong rambut kerana salun Rambulan Emas ada di situ.
"Bukan hanya anda tetapi ramai lagi anak Kuala Kangsar yang berbuat demikian. Balik kampung bercuti kemudian datang ke sini untuk memotong rambut dan rawatan kecantikan yang lain kerana sukar mencari salun Muslimah sahaja," kata Normala Lot, 42, tuan punya salun Rambulan Emas yang sudah beroperasi sejak 2002 lagi.
Di pintu masuk salun ada tertera, 'Kedai Gunting Rambut Wanita,' dan 'Lelaki dilarang masuk'."Saya tidak langsung meletak tempat menunggu di luar salun kerana semua pelanggan kena masuk ke dalam. Sekiranya pelanggan datang bersama suami, suami perlu menunggu di tempat lain," janji anak kelahiran Senggang, Kuala Kangsar ini.
Normala, anak ketujuh daripada 11 beradik bersyukur kerana memasuki bidang ini. Daripada menyewa sekadar dua lot kecil, ia berkembang menjadi tiga, lebih luas dan boleh dibahagi ruang khas untuk rambut, muka dan perawatan badan.Isteri artis seni arca besi pertama (sepenuh masa) di Malaysia, Raja Shahriman Raja Aziddin, sentiasa memikirkan yang terbaik demi pelanggannya.
"Apa yang saya ceburi bukan hanya kerana keuntungan tetapi di samping itu, dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutama untuk wanita yang prihatin hal aurat. Alhamdulillah, salun ini mendapat sambutan baik sejak ia dibuka," katanya.
Mendengar cerita awal Normala ternyata wanita kecil ini bijak menggunakan kreativitinya. Sebelum membuka salun dia pernah terbabit di bidang jualan langsung dan menjual kain.
"Saya jual kain dari pejabat ke pejabat. Apa yang istimewa, saya ambil tempahan menjahit baju itu sekali. Jadi apabila membuka salun, pelanggan yang datang kebanyakannya pelanggan ketika saya berniaga dahulu. Daripada situ, ia mula berangkai dari mulut ke mulut. Cuma sekarang, saya sudah besarkan skop pengiklanan saya dengan mengiklankannya di radio," katanya.
Ramai yang bercerita mengenai salun Normala terutama kerana aspek 'wanita sahaja' yang diberi penekanan. Pelanggan datang daripada pelbagai peringkat masyarakat, ada yang bekerja, suri rumah dan golongan pelajar.
Menyingkap sejarah awal penubuhan salun itu, asalnya ia hanya menawarkan rawatan muka dan resdung. Tetapi pelanggan Normala ada permintaan lain.
"Pelanggan bertudung meminta saya membuka salun rambut dan daripada situ, saya sedar keperluannya. Jadi saya mengambil inisiatif menghadiri kursus rambut di Taiping demi memenuhi permintaan ini," katanya.
Untuk memahirkan diri, Normala sering berlatih. Dia tidak menganggapnya bebanan tetapi hanya sekadar cabaran baru walaupun sebelum itu, rambut bukan kepakarannya.
"Untuk mahir kita kena selalu memotong rambut jadi saya buat promosi percuma kepada pelajar beberapa bulan dalam tempoh itu. Ia untuk memahirkan dan meyakinkan diri. Sebenarnya selepas tiga minggu kita sudah boleh mahir. Untuk teknik rambut yang lain, saya mula menimba ilmu satu persatu," katanya.
Normala yang mempunyai empat pekerja sepenuh masa tidak kisah melatih pekerja yang datang tanpa pengalaman dan pengetahuan salun.
"Sekiranya saya ada 10 ilmu, 10 ilmu itu saya berikan kepada mereka. Mereka juga saya hantar menghadiri kursus rambut supaya mereka ada kemahiran.
"Saya mahu mereka manfaatkan ilmu yang diberi untuk melestarikan impian sendiri. Takkan mereka hendak bekerja dengan saya selama-lamanya. Suatu hari nanti mereka mesti mahu mempunyai salun sendiri.
"Kemahiran kecantikan ini tidak semestinya perlu ada salun khas sahaja. Sekiranya hendak buat secara sambilan, di rumah pun boleh. Ia boleh menyumbang kepada ekonomi keluarga.
"Hubungan sesama pekerja dan kebajikan mereka juga sentiasa dijaga jadi kebanyakan pekerja bekerja lama dengan saya. Sekiranya berhenti pun selalunya kerana mereka hendak bekerja di jabatan kerajaan," katanya.
Rawatan kecantikan muka dan rambut serta urut memang popular di salun Normala justeru dia sering mengadakan potongan harga sekiranya pelanggan mahu mendapatkan beberapa perkhidmatan sekali gus secara pakej.
Kini, Normala boleh berbangga dengan pencapaiannya kerana cawangan kedua sudah pun dibuka tahun lalu di kawasan stesen bas Kuala Kangsar.
"Asalnya saya mahu khaskan salun itu untuk rambut sahaja, mudah untuk orang yang selalu bertumpu di stesen bas seperti orang bekerja dan pelajar. Tetapi pelanggan minta saya sediakan rawatan muka jadi saya sudah ubah suai supaya ia ada dua rawatan sekali gus," katanya.
Langkah Normala belum mahu berhenti kerana dia sentiasa mahu meningkatkan diri.
"Insya-Allah saya mahu membuka akademi kecantikan sendiri. Jadi sekarang saya mencari pengalaman mengajar sebanyak mungkin. Ini untuk sasaran masa depan, mungkin setahun atau dua tahun lagi.
"Biar suatu hari nanti, salun Muslimah terutama rambut tumbuh lebih banyak lagi dan memudahkan pengguna Islam," katanya.
Katanya, jangan berhenti mencari ilmu. Tiada had henti dalam pencarian ilmu walaupun ia di bidang rawatan kecantikan.
"Semakin kita belajar, semakin kita tahu ada lagi yang kita tidak tahu. Di samping itu mesti ada kreativiti dalam merancang perjalanan kerjaya.
"Suami penyokong utama saya kerana tanpa restu dan kebenarannya tidak mungkin saya masuk ke bidang ini," katanya.
Kini, pelanggan Normala bukan hanya meliputi Kuala Kangsar tetapi juga seluruh Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Ada yang menelefon untuk temu janji dan ada yang terus datang sahaja.
"Musim cuti adalah waktu sibuk bagi kami kerana semua orang mengambil kesempatan membuat temu janji. Tetapi saya seronok dan puas dengan apa yang saya lakukan ini," kata Normala.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: