Tuesday, February 15, 2011

Mizz Nina lebar sayap ke peringkat antarabangsa



Bukan mudah untuk mencipta peluang beraksi dan mempromosikan album di pasaran antarabangsa. Namun figura bernama Mizz Nina ini telah membuktikan bahawa tidak ada yang mustahil jika sentiasa berusaha keras.

Tindakan bijaknya berkolaborasi dengan penyanyi dan komposer terkenal dari Amerika Syarikat, Colby O Donis, yang turut terbabit dalam pembikinan album Lady Gaga dan Akon membuka mata rami pihak akan bakat gadis berusia 31 tahun ini.

Meskipun ada yang mengatakan Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman sudah lambat mencipta nama, namun dia tidak ambil pusing. Baginya rezeki ada di mana-mana.

Tidak hanya itu, Nina juga akan terbang ke luar negara untuk membuat persembahan sekali gus mempromosikan albumnya pada Mac dan April depan.

“Saya akan ke Rottherdam pada Mac ini kerana di undang menghadiri sebuah Konvensyen Hip Hop Antarabangsa bersama Joe Flizzow bagi mewakili Malaysia.

“Saya terkejut dengan pemilihan ini. Walaupun masih baru, saya diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia membuat persembahan di sana. Tambah pula bersama Joe Flizzow yang sememangnya seorang yang bagus dan sangat dihormati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Bukan hanya membuat persembahan, Nina akan ke Paris bersama kumpulan Hujan dan kumpulan Tilu untuk satu pertandingan Grenoble Games anjuran pelajar Malaysia di sana.

“Inilah peluang untuk saya menembusi pasaran luar negara. Dengan mengadakan persembahan di sana dan mempamerkan bakat di tempat orang.

“Ini juga antara impian saya sejak kecil lagi. Jadi apabila sudah ada peluang, saya tidak mahu dikenali dengan bakat saya dan bukannya penyanyi yang ‘asal boleh’ saja,” katanya.

Dengan kejayaan manis berduet bersama Colby, ramai pihak mengakui tidak sabar untuk melihat kolaborasi di antara Nina dengan artis luar negara.

Malah dua bintang ternama, Justin Timberlake dan Rihanna antara nama yang disebut-sebut bakal bersatu dengan tunang Moh daripada kumpulan Hujan ini.

“Buat masa ini, saya tidak pernah mengumumkan apa-apa tentang perkara itu (bekerjasama dengan Justin dan Rihanna). Mungkin pihak yang mengada-adakan cerita itu tidak sabar menanti album kedua saya.

“Saya akui sedang mencari material untuk single terbaru saya dan masih belum ada nama-nama artis yang akan bekerjasama dengan saya. Apa yang pasti, cerita mengenai Rihanna dan Justin Bieber cuma khabar angin semata-mata,” katanya.



Teruja bakal bergelar isteri



Walaupun sibuk dengan kerjayanya, namun Nina juga tidak mengetepikan persiapan perkahwinannya. Bakal mengakhiri zaman bujangnya pada julai depan, Nina dan Noh sudah tidak menang tangan dengan persiapan menjelang hari paling bermakna di dalam hidup mereka.

“Buat masa ini persiapan baru 20 peratus. Segala perancangan sudah dibuat cuma menanti persiapannya sahaja. Apabila sudah mencecah angka 30 tahun, pastinya saya tidak sabar untuk bergelar isteri. Secara mental dan fizikal, saya memang sudah bersedia untuk menjadi isteri,” katanya yang telah menghadiri kursus perkahwinan bersama Noh di Islamic Outreach Center baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: