Thursday, February 3, 2011

Komuniti bantu jaga keselamatan


KESELAMATAN kediaman di kejiranan bandar adalah tanggungjawab bersama komuniti setempat dan pihak berkuasa.


ISI borang sebelum balik kampung? Pasti ramai tertanya-tanya tentang borang yang dimaksudkan itu. Persoalan seterusnya pula mungkin berkisar tentang kesan yang boleh terjadi jika tidak ambil pusing mengenainya.

Penjelasannya, anda digalakkan mengisi borang ketika meninggalkan kediaman di bandar untuk pulang beraya atau bercuti di kampung. Borang yang telah diisi itu akan dihantar ke balai polis berhampiran dan segala maklumat tentang keselamatan rumah anda kini dalam kawalan pihak berkuasa.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PJS 9, Bandar Sunway, Selangor, Mohd. Nor Ahmad berkata, inisiatif tersebut adalah sesuatu pendekatan baru yang digunakan oleh KRT di bawah pengawasannya.

Ia sebagai langkah memudahkan pihak polis memantau dan mengawasi kawasan perumahan mereka sepanjang masa terutamanya ketika mereka tiada di rumah dalam tempoh yang lama pada musim perayaan.

Mohd. Nor berkata, dengan berbuat demikian, penduduk di kawasan PJS 9, Bandar Sunway yang ingin meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina senang hati kerana pihak polis telah sedia maklum kediaman mereka yang kosong pada tempoh yang dinyatakan dalam borang itu.

“Saya menyeru orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak polis dalam menangani masalah jenayah terutama di kawasan taman-taman perumahan dengan menyalurkan maklumat secepat mungkin,” katanya ketika ditemui wartawan Kosmo! di majlis Kempen Pencegahan Jenayah anjuran MCPF di Sunway Pyramid, Selangor, baru-baru ini.

Peka keselamatan sekeliling

Pengerusi Persatuan Penduduk kawasan SS14, Subang Jaya, Selangor, Joe Mahinder Singh juga sependapat dengan Mohd. Nor. Menurutnya, setiap komuniti perlu peka terhadap keselamatan kawasan sekeliling dan sentiasa menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dalam menangani kes-kes jenayah.

“Jika mahukan sesebuah komuniti itu selamat, kita perlu bekerjasama dan bertindak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” kata Joe.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah mengulas, Kempen Balik Kampung Secara Selamat itu akan merapat hubungan antara komuniti di negeri tersebut dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).


TUN HISAN (kiri) beramah mesra bersama pengunjung Kempen Balik Kampung Secara Selamat sambil diperhatikan Jeffrey (kanan).


“Sebagai pihak bertanggungjawab menangani gejala jenayah, kami akan sentiasa memantau dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada anggota masyarakat serta menjadi orang pertama ke hadapan dalam menghadapi kes-kes jenayah di kawasan anda,” kata Tun Hisan.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi MCPF Selangor, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah, beliau sangat berbesar hati apabila mendengar pengumuman keputusan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah diperkenal kerajaan bahawa indeks kes jenayah di negeri itu telah menurun antara 16 peratus hingga 38 peratus pada tahun lalu.

Perkembangan itu jelas menggambarkan hasil kerja keras semua anggota PDRM selama ini telah membuahkan hasil.

“Syabas kepada seluruh anggota PDRM dan masyarakat majmuk di negara ini yang bersama-sama bersatu dalam memastikan kejadian kes jenayah dapat dibanteras tanpa prejudis,” kata Jeffrey

Berjaga-jaga.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, statistik itu tidak bermakna masyarakat boleh bersenang hati dan berasa selamat kerana jenayah berlaku tanpa mengira waktu, tempat dan individu tertentu.

Di samping itu, beliau juga menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina supaya berhati-hati di jalan raya serta memastikan rumah dikunci dan semua barang-barang berharga telah disimpan di tempat yang selamat.

Dalam majlis itu juga, pihak PDRM menyeru semua komuniti terutama di Lembah Klang untuk menjadi ahli Rakan COP supaya segala kejadian jenayah dapat dilaporkan dengan segera.

Untuk mendaftar menjadi ahli, setiap individu hanya perlu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon bimbit masing-masing dengan menaip mesej RC DAFTAR dan hantar ke 32728 dan anda akan menerima kod pengesahan menjadi ahli Rakan Cop menerusi SMS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: