FUTEBOL de Salao atau futsal yang mula dimainkan pada 1930 di Uruguay, pantas menggamit jutaan peminat. Untuk rekod, sukan itu dikatakan telah dimainkan oleh jutaan pemain di hampir 100 buah negara di seluruh dunia.
Popularitinya juga dikatakan setanding dengan sukan bola sepak. Buktinya, sudah terdapat Liga Profesional di Amerika Selatan dan Eropah malahan telah bergerak secara aktif di sesetengah negara di Asia seperti di China serta Filipina.
Rentetan perkembangan itu, Faizul Ali Anui, 32, mengambil peluang keemasan dengan mewujudkan kelab Vikings Futsal Malaysia (VFM). Tujuannya adalah untuk mengasah bakat baru pemain tempatan.
Menariknya, anak muda itu sanggup mengeluarkan wang dari poketnya sendiri untuk membiayai kelab tersebut.
Bukan kelab picisan
VFM sememangnya bukan sebuah kelab picisan. Mereka mempunyai hubungan baik dengan Persatuan Futsal/Bola Sepak di seluruh dunia termasuk menjadi ahli gabungan Vikings Futsal Antarabangsa.
Dengan kelebihan itu, Vikings Futsal diberikan hak untuk menganjurkan siri jelajah peringkat antarabangsa seperti di Brazil, Chile, Argentina, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Jepun.
Bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vikings Futsal ASEAN, Faizul ketika ditemui berkata, kelab itu mula beroperasi pada 31 Mac 2010 dan diuruskan sepenuhnya oleh Vikings MY Futsal Management.
“Matlamat utamanya adalah untuk melahirkan bakat-bakat futsal yang ada di negara ini. Kita juga mendidik serta memberi tunjuk ajar tentang futsal kepada para peminat futsal,” katanya sambil menambah VFM juga mengendalikan sejumlah pertandingan dan latihan di serata dunia.
Antaranya adalah di New Zealand, Australia, China, England, Brunei, Singapura, Indonesia dan Filipina. Peranan VFM turut diperluaskan lagi apabila bersama-sama bertindak membantu jurulatih dan pengadil tempatan menajamkan skil mereka dengan bimbingan kelab ini.
Untuk tahun ini, VFM kata Faizul, akan menganjurkan Kursus Kejurulatihan Futsal Tahap 0 (Asas) bagi melatih individu yang berminat dalam sukan futsal untuk menjadi jurulatih di peringkat akademi dan sekolah.
Kursus itu menitikberatkan aspek latihan asas futsal seperti kawalan bola, hantaran, kecergasan, posisi, teknik dan latihan penjaga gol.
Peserta yang berjaya menamatkan kursus selama dua hari itu ujarnya, akan diberi peluang untuk mengendalikan Akademi Gol Brazil.
Peringkat seterusnya ialah Kursus Kejurulatihan Futsal Tahap 1 (Lanjutan). Ia bakal mengujakan sesiapa sahaja yang mengikutinya lantaran ia dikendalikan tenaga pengajar yang bertauliah dan berpengalaman luas dari Brazil.
Kata Faizul yang mempunyai sijil kejurulatihan Tahap 1, menjadi ahli gabungan Vikings Futsal Antarabangsa memberi banyak manfaat.
“Saya berkata demikian kerana di negara kita peluang untuk bermain di gelanggang antarabangsa sangat kurang, jadi dengan menjadi ahli gabungan, VFM dapat membawa pemain kita beraksi di gelanggang dunia untuk menimba pengalaman,” ujarnya.
Visi besar
Dia optimis, dengan inisiatif VFM yang bermatlamatkan mengangkat martabat futsal tanah air, pemain-pemain tempatan mampu mencuri perhatian dunia.
“Siapa tahu suatu hari nanti, pemain-pemain di bawah VFM disunting oleh oleh kelab profesional luar untuk bermain di sana.
“Sekurang-kurangnya, kita sedaya upaya mengasah bakat mereka untuk tersenarai sebagai pemain kebangsaan,” kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu.
Mungkin Faizul boleh berbangga kerana meskipun usia kelab itu masih mentah, mereka telah diberi kepercayaan menganjurkan Kejohanan Futsal Sedunia 2010 yang telahpun berlangsung pada 25 hingga 30 Oktober tahun lalu. Malaysia, New Zealand, China, Singapura, Brunei dan Australia adlah antara pasukan yang mengambil bahagian.
“Kita akan teruskan usaha sebegini pada masa akan datang, lebih banyak penganjuran, lebih bagus,” tuturnya.
Barangkali impian itu bakal menjadi kenyataan sekelip mata. Tambahnya, beberapa negara sudah menyatakan kesediaan secara lisan untuk mengambil pemain futsal tempatan.
“Kita masih menunggu pengesahan daripada beberapa pihak dari China, New Zealand, Australia, England dan Sepanyol,” ujarnya.
Untuk merancakkan program kelab tahun ini, VFM difahamkan akan menyertai beberapa kejohanan di peringkat dunia.
Antaranya ialah Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun (U20) di Chengdu, China pada 24 hingga 30 April ini, Kejohanan Dunia (U16) di Christcurch, New Zealand pada 12 hingga 18 Julai ini dan kejohanan Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Brisbane, Australia pada bulan September.
Sehubungan itu, VFM mempelawa kepada semua ibu bapa atau individu yang berumur dari enam tahun dan ke atas yang berminat boleh mendaftar sebagai ahli VFM. Setiap keahlian dikenakan yuran tahunan sebanyak RM150 dan yuran bulanan Akademi Gol Brazil sebanyak RM30 sebulan.
Bagi kursus kejurulatihan pula, yuran sebanyak RM350 seorang dan setiap peserta secara automatik akan menjadi ahli VFM bagi tahun 2011.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: