Thursday, February 3, 2011

Misi menyelamatkan paus terbelit tali


PELBAGAI cara dilakukan untuk menyelamatkan paus yang terbelit.


PARA pengkaji di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) kini mempunyai cara baru untuk menyelamatkan paus yang kian terancam akibat terperangkap pada tali nelayan. Paus berkenaan ditenangkan menggunakan tembakan sedatif supaya mereka dapat didekati dan mengelakkan maut.

Kaedah itu mula digunakan sejak pertengahan Januari lalu di lautan Florida untuk membebaskan anak paus di utara Atlantik yang tersekat pada tali nelayan sepanjang 15 meter pada pada mulut dan siripnya. Pemantau satelit yang dipasang pada paus tersebut ketika proses menyelamat menunjukkan ia selamat dan hidup sihat.

"Ia adalah langkah besar bagi kami," kata Michael Moore, pakar penyelidik kanan dekat Institut Laut Woods Hole di Massachusetts yang merupakan salah seorang pasukan penyelamat. Pasukan yang sama telah mencuba teknik berkenaan pada satu lagi operasi menyelamat seekor paus lain.

Pihak berkuasa hidupan liar selama bertahun-tahun mencuba pelbagai cara untuk menyelamatkan paus yang terperangkap sehingga mencederakan mereka, menyukarkan mereka makan, menyebabkan jangkitan dan kebuluran.

Ia adalah ancaman utama kepada 300 ke 400 ekor paus yang terancam di utara Atlantik yang masih ada. Mereka selalunya berhijrah secara bermusim dari Lower Bay dekat Fundy di Kanada semasa musim panas ke laut Florida pada musim luruh dan musim sejuk.

Mengehad pergerakan

Sekurang-kurangnya dua ekor paus di utara Atlanta mati akibat terbelit di antara tahun 2005 hingga 2009, walaupun terdapat 28 ekor paus lagi turut terbelit pada tempoh masa sama. Pakar mengatakan jumlah berkenaan termasuk paus yang mati atau terbelit yang dilaporkan, bermakna kemungkinan ada paus lain yang mati tetapi tidak diketahui.

"Ia merupakan kematian yang perlahan dan menyakitkan," kata Michael Walsh, Pengarah Bersekutu Program Kesihatan Haiwan Akuatik di Universiti Florida. Bekas veterinar laut itu membantu membangunkan campuran sedatif berkenaan.


SEEKOR paus North Atlantic yang terbelit dengan tali ditemui di Daytona Beach, Florida, Amerika Syarikat.


Apabila paus yang terbelit ditemui, pasukan penyelamat akan mengikat bot dan mengapungkan tali yang ditarik haiwan itu bagi memperlahankan dan mengehadkan pergerakannya. Krew kemudiannya menggunakan pisau untuk memotong tali yang membelit itu.

Teknik itu tidak sempurna. Berada di belakang paus adalah selamat bagi manusia, tetapi ia sukar untuk mencapai belitan pada bahagian hadapan paus itu. Kadar kejayaan yang bergantung kepada spesies dan belitan adalah rendah lebih-lebih lagi apabila tali membelit sirip dan rahang. Apabila bot mendekati, paus berkenaan cenderung untuk berenang jauh ke dalam air.

"Mereka berasa sangat tidak selesa," kata Jamison Smith yang melihat proses menyelamat seekor paus bersaiz besar di Atlantik berkenaan oleh Pentadbiran Atmosferik dan Laut Kebangsaan (NOAA).

"Mereka tidak mahu diganggu oleh bot yang kecil," katanya.

Idea memberikan sedatif berkenaan muncul pada tahun 1999 ketika NOAA meminta para saintis membantu membebaskan paus yang teruk terbelit di New England dan teluk Kanada. Pegawai NOAA bertanya kepada para penyelidik sama ada mereka boleh memberikan haiwan berkenaan antibiotik.

Dalam maklum balas yang diterima, mereka membuat alat suntik yang dipasang pada sebuah tiang kira-kira sembilan meter panjang. Jarum itu digunakan untuk menyuntik paus berkenaan dengan antibiotik atau sedatif.

Jamison memberitahu, para penyelamat menggunakan sistem itu pada tahun 2001 untuk menenangkan seekor paus yang teruk terbelit di tenggara Nantucket, Massachusetts. Ia tidak berkesan. Pergerakan haiwan itu atau bot akan menyebabkan jarum suntikan membengkok dan menyukarkan sedatif itu untuk menyerap masuk. Tanpa kajian mendalam, saintis tidak menggunakan campuran ubat yang terbaik, kata Jamison.

Sistem anak panah


PIHAK berkuasa hidupan liar bertungkus-lumus menyelamatkan paus yang terbelit menggunakan sedatif.


Sesi memerah otak kemudian dilakukan. Paxarms, syarikat yang berpangkalan di New Zealand dan berpengalaman dalam mengambil sampel tisu paus memulakan penyelidikan mereka, membangunkan satu kumpulan dan membina alat yang mampu melemparkan anak panah sepanjang 0.6 meter ke arah paus.

Sistem tersebut dilengkapi dengan pengesan jarak, oleh itu kekuatan tembakan dapat disesuaikan mengikut jarak tertentu. Apabila anak panah dilepaskan, ubat disuntik dalam beberapa saat. Setiap anak panah disambungkan dengan pelampung. Sekiranya paus itu berenang, pelampung itu akan mencabut suntikan itu daripada badan paus.

Tetapi terdapat risiko apabila terlalu banyak perubatan digunakan sehingga ia mampu menyebabkan paus berkenaan lemas. Tetapi saintis berkata, paus terapung berbanding spesies lain dan mereka memulakan eksperimen menggunakan dos yang rendah.

Selepas diuji ke atas paus yang terdampar, penyelidik mula menggunakan kaedah tersebut ke atas seekor paus yang dilihat terbelit di laut Georgia pada Januari 2009. Dua percubaan pertama gagal. Pada percubaan ketiga, krew bot memberitahu, paus berkenaan kurang memberontak, memudahkan bot mendekatinya dan memotong tali tersebut.

Percubaan kedua berlaku pada Hari Krismas apabila paus berusia dua tahun itu didapati terbelit di Florida. Pasukan terlatih dari agensi hidupan liar Floria dan Georgia memotong tali sepanjang 45 meter daripada paus itu menggunakan teknik tradisional tetapi mereka tidak dapat membebaskannya. Saintis kemudiannya mencuba menggunakan sedatif.

Berlepas menggunakan bot dari pelabuhan Canaveral, mereka sampai kepada paus itu dalam masa setengah jam, memasang penanda satelit pada kulitnya dan menembaknya dengan sedatif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: