KHAMIS lalu, di luar lobi Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkumandang paduan muzik tradisional. Paling ketara ialah bunyi gendang. Walaupun alunan itu kedengaran carca-merba, muziknya begitu menusuk tenang ke pendengaran.
Makin menghampiri lokasi, ritmanya begitu menggetar jiwa. Berderau juga jiwa apabila sekali sekala mendengar paluan gong bergema.
Melewati pekarangan lobi berkenaan, kelihatan di sudut kanan dan kirinya, pemain-pemain muzik khusyuk mengalunkan instrumen pilihan masing-masing. Ternyata, ketukan adunan alatan muzik yang kebanyakannya daripada tembaga menghiburkan mereka.
Yang membanggakan, kesemuanya kelihatan masih muda remaja. Harus diakui, bukan semua mampu menghadam naskhah seni sebegini dengan penuh keikhlasan.
Ada yang menumpukan kepada instrumen bonang, manakala sekumpulan gadis bertudung sibuk meneliti not muzik gambang. Masih ada yang ragu-ragu bagaimana bermain saron pekin, saron barong dan juga kenong.
Melihat kesungguhan mereka berlatih, menyedarkan penulis bahawa kesenian muzik keagungan orang Melayu sebenarnya masih utuh meskipun bergelut dengan arus kemodenan.
Remaja-remaja itu memilih untuk bertaut pada klasifikasi muzik tradisional walaupun disogok dengan putaran muzik hip-hop dan indie di corong-corong radio.
Kumpulan Gamelan Seni Alam
“Inilah instrumen gamelan yang merupakan muzik istana,” sapa Pegawai PKSSAAS, Mohd. Dzulhafiz Zulkepli, 29, yang mengejutkan lamunan penulis yang berwajah kosong dan canggung tentang muzik tradisional itu.
Duduk bersembang dengan Mohd. Dzulhafiz, sememangnya dia mempunyai babak penceritaan yang menarik tentang gamelan. Bagaimanapun, pada awal perenggan, dia meluahkan kekecewaan terhadap sebilangan belia yang meminggirkan seni muzik itu.
“Agak terkilan juga, ramai pelajar kata, mereka sebenarnya suka, tapi masa yang ada perlu tumpukan kepada pembelajaran,” katanya.
|
|
Namun, dia sedikit lega apabila universiti yang sudah bertapak selama 30 tahun itu mengambil peranan memperkenalkan irama gamelan secara berterusan.
Pusat kebudayaan tersebut menubuhkan Kumpulan Gamelan Seni Alam. Usianya sudah menjangkau 20 tahun lamanya.
Katanya, penubuhan kumpulan tersebut antara lain adalah sebagai usaha mengekal dan menyuburkan seni muzik. Ia juga sebagai satu gelanggang terbaik untuk golongan muda meningkatkan kecintaan terhadap seni agar ia terus kekal dipertahankan.
Setakat ini, terdapat 28 pelajar yang sedia bermain dengan instrumen gamelan. Kumpulan itu juga terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang dianggotai oleh pelajar saja dan di kalangan staf UPM.
Berhubung dengan konduktornya pula, pelajar-pelajar itu dilatih oleh guru yang sering bertukar ganti. Terkini, mereka dilatih oleh pemain gamelan terkemuka negara, Ku Zahir Ku Ahmad. Setiap kali majlis konvokesyen, kumpulan gamelan tersebut akan menjadi tunjang kepada upacara berkenaan.
Pewaris gamelan
Saat Mohd. Dzulhafiz meninggalkan penulis seketika, peluang itu digunakan sebaiknya untuk mendekati Khairul Anuuar Ismail, 21. Pelajar jurusan Sains Pertanian itu petah berbicara. Penulis menyogoknya dengan satu pertanyaan untuk melihat sejauh mana kegigihan dan keikhlasannya terhadap muzik yang mula bertapak di Riau Lingga, Johor itu.
Kenapa memilih muzik gamelan sedangkan ramai yang sebaya dengan anda memilih instrumen seperti gitar yang dianggap lebih kontemporari? Jawab remaja ini penuh keyakinan: “Kalau tidak saya yang meneruskan muzik ini, siapa lagi, saya berbangga bermain dengan muzik istana ini. Sayalah pewaris gamelan negara.
“Seperkara, tiada istilah ketinggalan zaman bagi apa jua rentak muzik,’’ Dia boleh bermain peralatan bonang dan saron.
Nurdalila Mat Salleh, 21, pula beranggapan, muzik gamelan itu bukan ‘muzik orang tua’. Dia yang baru mula berjinak-jinak dengan gamelan sejak dua tahun lalu, berkata, kecenderungannya memang kepada aktiviti kebudayaan.
“Saya terlibat dalam teater. Namun sebelum itu saya sering terdengar budak-budak UPM bermain gamelan dan akhirnya saya teruja untuk menyertainya,” katanya.
Nurdalila berdepan dengan kesukaran pada peringkat awal. Ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian itu, bermain gambang dan saron memerlukan lebih kurang setahun untuk mahir.
Apa signifikan gamelan terhadap pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia, Nor Arfah Anuar, 23, pula? “Subjek yang saya belajar semuanya berat-berat belaka, percaya atau tidak, dengan bermain gamelan, jiwa saya tenang dan hilang serabut di kepala,” ujarnya.
Menurutnya yang mesra disapa Pa’ah, muzik gamelan telah sebati dengannya sejak dia berada di sekolah menengah lagi. “Saya tak segan untuk bercerita dengan orang bahawa saya berkebolehan bermain alatan tradisional, muzik kita klasik dan ada jiwa,” ujarnya. Setakat ini, dia sudah berpengalaman bermain gamelan pada konvokesyen UPM selama dua tahun berturut-turut.
Hal yang sama bagi Farhah Izzati Syukor, 23. Gadis berkulit mulus itu mempunyai kisah yang lucu mengenai muzik gamelan. Pada asalnya, dia berfikiran bahawa gamelan adalah sejenis tarian. “Bila saya dah mula turut serta dengan grup ini, ia adalah sebaliknya. Saya bukan saja jatuh cinta dengan instrumennya tapi saya dapat mempelajari betapa tinggi warisan yang ditinggalkan nenek moyang kita,’’ ujarnya. Dia mahir bermain baron dan gambang.”
Memartabatkan seni warisan
Remaja-remaja ini berkata, mereka tidak pernah jemu untuk memperjuangkan muzik gamelan bagi memastikan seni itu tidak luput ditelan zaman. “Satu kerugian kepada individu-individu yang menganggap muzik gamelan sebagai muzik picisan,” luahnya. UPM terus unggul dalam memartabatkan seni dan budaya Melayu. PKKSSAAS apabila menjadi medan kepada generasi muda untuk berlatih, mengasah dan mengembangkan bakat terpendam yang dimiliki.
Menyingkap seketika sejarah PKKSSAAS telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 25 April 1996.
Menurut pengarahnya, Mahfoor Harron, aspirasi PKKSSAAS sangat tinggi. “Kami mahu pusat kesenian dan kebudayaan ini terus memperkukuhkan warisan masyarakat dulu yang nilainya sangat tinggi,’’ katanya.
PKKSSAAS secara keseluruhannya, dilengkapi infrastruktur dan prasarana yang cukup dalam melaksanakan program atau urusan rasmi. Ia turut merangkumi Dewan Besar yang mempunyai kapasiti 2,800 orang pada satu-satu masa. Di situ juga, muzik gamelan bergema tatkala urusan–urusan rasmi seperti majlis konvokesyen universiti diadakan.
Selain di dewan berkenaan, ritma gamelan turut berdendang di satu lokasi dinamakan Panggung Percubaan yang mempunyai kapasiti 400 orang.
Kemudahan istimewa lain termasuk seperti Bilik Gamelan dan Bilik Cak Lempong untuk pelajar-pelajar itu berlatih.
“Apa juga seni warisan yang ditinggalkan, kita harus sama-sama memelihara dan kembangkan. Pusat ini merupakan alternatif dalam pembangunan seni pada peringkat akar umbi, semoga usaha yang kecil ini dapat memberi kesan kepada seni tanah air,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: