Tuesday, February 1, 2011

Karya menghidupkan imaginasi




DERETAN lukisan bersaiz besar dan sederhana yang berwarna-warni kelihatan elok tergantung di dinding. Figura makhluk asing yang digambarkan mengikut imaginasi tersendiri bagaikan menarik perhatian setiap mata yang memandang.

Apa yang pasti, setiap mahkluk yang dilukis mempunyai karakter tertentu. Ada yang memakai baju Melayu berona biru firus lengkap bersamping dan bersongkok sedondon.

Di sebelahnya pula terpampang lukisan bertajuk Holy Clown iaitu badut unik yang memegang sebuah buku berkulit merah. Realiti badut yang digambarkan itu jauh berbeza dengan badut sarkas seperti yang dilihat di dunia nyata.

“Lukisan-lukisan ini saya lakar mengikut imaginasi yang datang. Pada awalnya saya menggemari lukisan doodles.

“Doodles bermaksud sesuatu benda yang kita lakar secara bebas tanpa terikut dengan apa-apa gaya lukisan. Selain itu, saya juga banyak menggunakan teknologi komputer dalam penghasilan lukisan tersebut,” kata Muhd. Najib Tumiran, 27, yang merupakan pengasas kumpulan pelukis kreatif Eightyfourcube.


KREATIF. Antara karya unik yang pernah dihasilkan oleh kumpulan Eightyfourcube.


Mula ditubuhkan secara bebas pada tahun 2003, Eightyfourcube merupakan kumpulan yang dianggotai oleh beberapa anak muda sewaktu menuntut di Kolej Poly-Tech Mara di Ipoh, Perak ketika itu.

Najib dan beberapa rakannya yang mengikuti jurusan Interaktif Multimedia bertindak mewujudkan kumpulan tersebut untuk mencari kepuasan diri dalam dunia seni visual yang tiada batasan.

“Pada mulanya kami sekadar suka-suka menubuhkan kumpulan Eightyfourcube kerana mahu melakukan sesuatu yang menyeronokkan untuk diri dalam aspek seni visual.

“Jika ada masa terluang, kami akan berusaha menyiapkan lukisan dan karya-karya untuk koleksi peribadi. Di samping itu, kami juga aktif memuat naik gambar-gambar lukisan yang telah siap dilukis di laman forum berkaitan seni untuk tatapan khalayak. Ternyata karya kami berjaya menarik perhatian ramai terutama golongan remaja,” jelas Najib sambil asyik melakar di helaian putih buku seninya.

Kemudian, apabila ada peluang, Eightyfourcube tidak ketinggalan menyertai pelbagai acara berkaitan kesenian untuk memaparkan koleksi lukisan mereka sekali gus mendapatkan respons peminat seni.

Impian sebuah galeri


PENUBUHAN Galeri Studio Eightyfourcube memberi ruang untuk kumpulan seni ini terus berkarya.
NAJIB (kanan) dan Rashid mahu menonjolkan kreativiti mereka melalui karya yang dihasilkan.


Namun, menyedari kepayahan untuk terus maju dalam kesenian sebegitu, Najib dan rakan-rakannya sekadar menjadikan ia sebagai kerjaya sampingan dan aktiviti menghabiskan masa lapang.

Bagaimanapun disebabkan minat yang mendalam terhadap dunia lukisan dan muzik, Najib berusaha membuka sebuah studio muzik dan galeri seni untuk kumpulannya berkarya.

Akhirnya pada pertengahan 2008, barulah impian Najib terlaksana apabila Galeri Studio Eightyfourcube beroperasi dengan rasminya di Taman Dagang, Ampang, Selangor.

Bagi menjana pendapatan, Najib turut menawarkan perkhidmatan rekaan grafik dan motion graphic untuk iklan-iklan televisyen.

Sebelum itu, anak jati Kuala Lumpur berkenaan pernah bekerja di production house bagi mencari pengalaman. Namun, kerjaya itu membuatkan Najib sukar meluangkan masa terhadap seni lukisan yang dicintai.

Lantaran itu, dia akhirnya nekad berhenti kerja untuk memberi sepenuh perhatian pada bidang yang sudah dianggap seperti nyawanya sendiri.

Walaupun pada mulanya sukar untuk Najib mendapatkan pelanggan, tetapi lama-kelamaan khidmat yang ditawarkan semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

“Terus-terang saya akui dengan hanya melukis, ia tidak boleh membuatkan kita menjadi kaya, tetapi demi minat yang sudah sebati dalam diri, kepuasan yang dikecapi daripada setiap lukisan yang dihasilkan tidak dapat diungkap dengan kata-kata,” tegas Najib sekali gus membuktikan semangat anak seni yang membara dalam diri.

Insiden melukis atas pasir




Sementara itu, salah seorang ahli Eightyfourcube yang aktif, Abdul Rashid Abdul Raman, 27, turut berkongsi pengalaman sebagai pelukis kreatif kumpulan tersebut.

Menurut Rashid atau nama penanya Abdulrashade, kebanyakan karyanya lebih menjurus kepada tema grafiti tetapi tidak terikut dengan gaya barat.

Sebaliknya, Abdul Rashid menumpukan pada elemen grafiti yang memuatkan unsur-unsur tempatan seperti flora dan fauna yang kemudian diubahsuai dalam bentuk abstrak.

“Saya rasa seronok berkecimpung dalam dunia lukisan grafiti ini. Malah, minat melukis yang bercambah sejak kecil membuatkan saya rasa seperti tidak boleh hidup kalau sehari tidak memegang pen, berus atau
KANAN: Antara aktiviti dan pameran yang disertai kumpulan Eightyfourcube.


menconteng sesuatu,” tutur anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu.

Tambah Abdul Rashid, sewaktu kecil dia suka melukis menggunakan tangan di atas pasir di sekitar halaman rumah. Gambar seperti lori, dinosaur, kereta, jentolak dan sebagainya menjadi subjek pilihannya.

Bahkan, gara-gara asyik mengasah bakat melukis di halaman rumah, dia pernah dilanggar kereta yang dipandu bapa saudaranya yang tidak menyedari Rashid berada di situ.

“Akibatnya saya terperosok di bawah kereta dan mengalami kecederaan teruk di badan. Tetapi, insiden itu tidak menghalang minat saya untuk terus melukis sehinggalah berjumpa dengan Najib di kolej,” terang Abdul Rashid sambil tersenyum apabila mengingati memori zaman kanak-kanaknya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Eightyfourcube, layari laman web www.eightyfourcube.com. atau facebook/eightyfourcubestudiogallery.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: