Tuesday, February 1, 2011

Habuan untuk warga 3 wilayah

Hari ini penduduk di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Pulau Labuan dan Putrajaya menyambut Hari Wilayah. Kali ini kementerian galak warganya berekreasi dan beriadah, banyak tawaran menarik disediakan kepada warganya.


SELEPAS empat dekad Kuala Lumpur kini dihiasi dengan bangunan-bangunan pencakar langit.


TAHUN ini merupakan kali ketujuh Hari Wilayah Persekutuan disambut secara bersama dengan menggabungkan ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sejak kewujudan Kementerian Wilayah Persekutuan sejak 27 Mac 2004.

Sambutan pada kali ini bertemakan 1 Wilayah Persekutuan Menjuarai Transformasi. Pemilihan tema itu bersesuaian dengan misi dan visi kepimpinan negara. Ia diterjemahkan sebagai Wilayah Persekutuan yang mampu menjuarai sekali gus menjadi penanda aras kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pada tahun ini, genaplah 37 tahun bagi bandar raya Kuala Lumpur, 27 tahun bagi Labuan dan hampir sedekad bagi Putrajaya di bawah entiti Wilayah Persekutuan. Majlis pelancaran sambutan telah pun diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 Januari lalu.

Walaupun bajetnya tidak sebesar mana, perjalanan program yang sudah berlalu sangat meriah. Lebih-lebih lagi, melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang disatukan dalam bentuk perhimpunan rakyat 1Malaysia.

Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengambil kesempatan melancarkan lagu baru rasmi Wilayah Persekutuan.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 40 pengisian pelbagai program dan acara yang dirancang bagi menceriakan lagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Khas untuk rakyat Malaysia khususnya warga Wilayah Persekutuan ini, ada hadiah yang disediakan untuk anda. Berikut dinyatakan secara spesifik 'habuan' yang bakal diterima sekiranya pengunjung berkunjung di tiga Wilayah Persekutuan.

Kuala Lumpur

* Diskaun sebanyak 50 peratus ke atas kadar sewa bagi penggunaan kemudahan-kemudahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti gelanggang sukan, dewan serbaguna, pusat komuniti sepanjang bulan Februari.

* Keahlian percuma Perpustakaan Kuala Lumpur bagi pendaftaran yang dibuat sepanjang bulan Februari 2011.

* Diskaun sebanyak 50 peratus untuk bayaran masuk ke KL Bird Park, Taman Tasik Perdana pada 1 Februari 2011 sahaja.

* Tambang percuma bagi warganegara Malaysia dan diskaun 50 peratus ke atas warganegara asing bagi menaiki bas KL Hop On Hop Off pada 1 Februari 2011 sahaja.

* Menara Kuala Lumpur pada 1 Februari 2011 sahaja. Bayaran masuk untuk warganegara Malaysia (kanak-kanak dan dewasa) ke dek pemerhati sahaja RM10 seorang. Warganegara asing/pelancong dikenakan RM31 seorang untuk dewasa dan kanak-kanak RM23 seorang bagi pakej kombo (auditorium/kampung budaya dan dek pemerhati).

* Konsert-konsert yang dianjurkan oleh DBKL di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana bermula 1 Februari dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Putrajaya

* Bayaran masuk secara percuma bagi pelawat-pelawat ke taman-taman awam Putrajaya pada 1 Februari 2011. Walau bagaimanapun, kelonggaran itu tidak termasuk bayaran sewaan untuk kemudahan lain seperti penggunaan trem, sewaan ruang, gelanggang permainan atau sukan, kayak, basikal, wall climbing dan sebagainya.

* Diskaun sebanyak 30 peratus kepada pemegang myKad warga Wilayah Persekutuan yang bermula dari 29 Januari 2011 sehingga 1 Februari 2011 untuk perkhidmatan Cruise Tasik Putrajaya. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-8888 5539.

* Lawatan berpandu ke tempat-tempat menarik di sekitar Putrajaya dengan menaiki bas Nadi Putra secara percuma bermula dari Centre Dataran Putra pada 1 Februari 2011. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-8887 7584.

Labuan

* Pendaftaran keahlian percuma di Perpustakaan Awam Labuan bermula 1 Februari sehingga 28 Februari 2011.

* Bayaran secara percuma kepada beberapa kemudahan di Labuan seperti di bawah bermula dari 20 Februari 2011 hingga 28 Februari 2011:

n Kemudahan gelanggang futsal dan boling padang.

n Kemudahan penggunaan dewan serbaguna Perbadanan Labuan.

n Auditorium Mini Anjung Budaya

n Peralatan aktiviti berkayak

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: