Tuesday, February 1, 2011

Lempoyang antikanser servik


AHMAD BUSTAMAN (empat dari kanan) memberikan penerangan kepada penyelidik bersekutunya tentang kajian mereka.


KIRA-KIRA 80 peratus kes kanser serviks didiagnosis berlaku dalam kalangan penduduk di negara membangun.

Kanser serviks ialah kanser pangkal rahim yang berlaku dalam kalangan wanita disebabkan faktor genetik, pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Bagi kalangan wanita Malaysia pula, risiko mendapat penyakit itu ialah 19.7 per 100,000 penduduk.

Fakta itu cukup menakutkan. Lebih menggerunkan, kanser serviks adalah pembunuh wanita kedua tertinggi di negara ini selepas barah payu dara.

Rentetan daripada itu, dari semasa ke semasa, kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif merancakkan kempen kesedaran tentang peri penting mencegahnya.

Terbaru, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui teknologi baru rawatan mencegah kanser serviks peringkat awal.

Khasiat halia hutan

Mungkin selama ini ramai yang memandang enteng terhadap potensi halia hutan atau lempoyang tetapi penyelidik-penyelidik itu berjaya membuktikannya.

Secara asasnya, lempoyang adalah daripada spesies halia yang juga dipanggil halia hutan atau liar. Ia agak mudah ditemui kerana tumbuh liar di kawasan semak samun. Pokoknya yang mempunyai bunga cantik, menyerupai pokok bunga kantan dengan daun tirus.

Menurut ketua penyelidik kajian itu, Dr. Ahmad Bustamam Abdul dari Institut Biosains UPM, herba hutan itu mempunyai kemampuan rawatan yang sama seperti ubat antikanser komersial selain tidak membunuh sel-sel normal manusia.

“Teknologi ini selamat dan ia mempunyai kemampuan tinggi membunuh sel-sel kanser pangkal rahim serta mengurangkan komplikasi pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi,” ujarnya yang juga bertindak sebagai pensyarah dan penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Jelas Ahmad Bustaman, bahan yang menjalani ujian pra klinikal itu terbukti mampu memberi dos terapeutik tinggi yang selamat.

“Bahan semula jadi ini mampu dikomersialkan dalam bentuk cecair (pencuci alat sulit) dan dan jenis yang dimasukkan ke dalam faraj. Ia kini berada di peringkat akhir iaitu peringkat pembangunan produk bertaraf komersial untuk tujuan pemasaran,’’ terangnya.


SAINTIS UPM berjaya menemui manfaat perubatan ke atas herba lempoyang atau halia hutan.


Justeru, Ahmad Bustaman berharap syarikat-syarikat farmaseutikal tempatan mengambil peluang untuk memasarkan bahan semula jadi ini sebagai ubatan herba anti kanser di peringkat global.

Kos lebih murah

Beliau memberitahu, para pesakit boleh mengambil ubat itu dalam dos yang tinggi tanpa merosakkan tisu normal.

Kepada yang masih musykil terhadap kenyataan itu, Ahmad Bustaman menegaskan, pihaknya secara serius telah menjalani kajian ke atas manusia serta model haiwan yang berpenyakit kanser serviks di makmalnya.

“Sebagai tambahan, makmal kami telah mengubah sesuai struktur molekulnya bagi membolehkan ia dilarutkan dalam air dengan amat mudah.

“Larutan cecair yang diperoleh akan memudahkan bahan semula jadi ini dihasilkan dalam formula dalam bentuk paling sesuai agar ia bertindak sebagai bahan ubat antikanser,” katanya.

Selain Ahmad Bustaman, sebanyak lima penyelidik lain yang terlibat dalam kajian itu termasuklah Profesor Dr. Rashedee Abdullah, Profesor Mohd. Aspollah Sukari, Profesor Datuk Tengku Azmi Tengku Ibrahim, Doktor Murali Syam Mohan dan Profesor Madya Siddiq Ibrahim Abdel Wahab.

Kajian itu secara keseluruhan mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk disiapkan.

Susulan daripada penemuan teknologi itu, kos rawatan pesakit kanser pangkal rahim menjadi lebih rendah berbanding penggunaan ubatan yang diimport atau dengan rawatan kemoterapi.

Ditanya bila ciptaan itu akan dipatenkan, kata Ahmad Bustamam, kajian yang banyak membantu golongan wanita telah pun difailkan untuk tujuan itu.

Kajian tersebut yang dibiayai oleh Geran Penyelidikan UPM dan Majlis Kanser Nasional (Makna) boleh juga digunakan sebagai gandingan dengan rawatan antikanser.

Pengiktirafan

Kredibiliti penyelidikan yang boleh diaplikasi dalam industri herbapeutik sememangnya tidak boleh dipertikaikan kerana ia diiktiraf menerusi beberapa pertandingan.

Antaranya ialah meraih pingat emas dalam Ekspo Teknologi Malaysia pada tahun 2008 dan pada tahun 2006 memenangi 17th International Invention Innovation Industrial Design & Technology Exhibition (ITEX).

Selain itu, pada Anugerah Bio Inno dan Bio Malaysia 2009, Ahmad Bustaman meraih gangsa.

Dalam International Trade Fair Ideas-Invention-New Products IENA (2006) serta Bio Inno dan Bio Malaysia (2010), produk mencegah kanser serviks itu berjaya mencuri perhatian pengadil apabila dianugerahkan pingat perak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: