Thursday, February 17, 2011

Jins Shamsuddin di Dewan Filharmonik




Bagi memberi penghormatan kepada seniman dan pengarah tersohor Tan Sri Jins Shamsuddin yang banyak berjasa kepada industri filem, Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) akan mengadakan persembahan Imbauan 3 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC selama dua hari berturut-turut.

Pemilihan Tan Sri Jins Shamsuddin adalah kerana beliau seorang tokoh dunia perfileman Melayu yang tiada tolok banding, memulakan kariernya seawal tahun 1956 dengan Malay Filem Productions di Singapura. Kini beliau bergerak aktif dalam pelbagai kegiatan masyarakat.

Imbauan 3 yang akan berlangsung pada 28 Februari 2011 dan 1 Mac 2011 ini adalah susulan kepada kejayaan Imbauan 1 pada tahun 2008 yang menampilkan penyanyi Dato’ Khadijah Ibrahim, dan disusuli dengan Imbauan 2, yang telah mengimbau lagu-lagu nostalgia nyanyian Normadiah, pada tahun 2010, yang menampilkan penyanyi Azlina Aziz, Liza Aziz dan Musly Ramlee.

Imbauan, yang bermaksud ‘mengenang kembali’ atau ‘mengingati semula’, bakal mempersembahkan lagu-lagu malar segar yang digubah kembali dan diberi sentuhan baru dalam bentuk simfonik orkestra oleh penggubah-penggubah dari KSPP.

Persembahan Imbauan 3 bakal diserikan dengan penampilan penyanyi Roy dan Dayang Nurfaizah.

Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan dalam Imbauan 3 ialah Menanti Hari Esok, Sungguh Kau Istimewa, Gelombang, Esok Untuk Siapa, Wajah Rahsia Hati, Debu Di Hati, Dari Masa Hingga Masa, Arti Cinta, Bunga Tanjung dan Si Paku Lanang.

Pemuzik-pemuzik KSPP bakal dipimpin oleh pengarah muzik Ahmad Muriz Che Rose manakala penerbit persembahan ialah Hartini Hj Abdullah.

Harga tiket dijual antara harga RM60, RM50, RM30, dan RM15. Untuk maklumat layari laman web www.dfp.com.my

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: